Komentari ke atas Kritikan Anti-Buku Non-Fiksi Melayu
photo from https://www.inlander.com/

Komentari ke atas Kritikan Anti-Buku Non-Fiksi Melayu

  • Post category:Pendapat

Oleh: Farahani R.

“Sempena PBAKL 2021, aku nak cakap aku takkan pernah beli buku bukan fiksyen Melayu.”

Beberapa minggu lalu, saya menemukan sebuah hantaran yang dikarang oleh seorang penulis fiksyen (saya rasa, berdasarkan carian Google). Biasanya saya tidak terlalu peduli dengan kritikan-kritikan literari dari kelompok bukuwan, dan akan skrol sahaja tanpa berfikir panjang. Kritikan literari itu kelaziman yang wajar diraikan, apatah lagi sekiranya ia lahir dari tangan seorang pembaca. Tetapi kali ini, jiwa penulis saya digeletek usai saya membaca hantaran yang saya maksudkan awal tadi. Kritikan literari terhadap penulisan bukan fiksyen oleh penulis fiksyen adalah suatu yang tidak luar biasa, tetapi intipatinya pula amat malang sudah luar logika dan bersikap luar batas mahirnya sebagai seorang bukuwan dan seorang penulis. Maka izinkan pula saya, selaku penulis bukan fiksyen membuka langkah balas.

Pertama sekali, anda siapa untuk menentukan siapa tidak boleh menulis? Tanya saya agak keras, tetapi sekiranya benar telahan saya bahawa dia ini seorang penulis fiksyen; itu mewajarkan pertanyaan saya dan perlu dijelaskan terlebih dahulu. Dari seorang penulis kepada sang penulis kritikan ini, kita berdua tahu dunia kepengarangan ini bukanlah hitam putih sebagaimana perundangan. Ia subjektif dan banyak diukur berdasarkan kesukaan seseorang pembaca terhadap hasil penulisan kita. Gaya penulisan yang berbeza dari kita tidak melambangkan mereka itu jauh inferior dari kita. Kepelbagaian gaya tulisan itulah yang menarik hati saya dan merendahkan hati saya untuk rajin membaca buku bukan fiksyen bahasa Melayu. Saya kira sasterawan negara sendiri boleh bersetuju dengan hakikat ini. Kepengarangan ini luas cakupannya, dan tidak berakhir sekadar dalam bidang fiksyen. Kebolehan menulis itu tidak sekalipun diputuskan oleh barisan sasterawan negara; lalu apa yang membuat anda yakin anda memegang piawai tentu ‘kebolehan menulis’ seseorang?

Kemudian pembaca menyaksikan Ayman Rashdan Wong diheret namanya ke selut kritik ini. Saya agak keliru di sini. Mungkin ini tandanya penulis kritikan ini juga kena belajar bagaimana untuk menulis. Turutan idea tidak selari – adakah ini kritikan peribadi ke atas Ayman, adakah ini kritikan peribadi ke atas kualiti perbukuan bukan fiksyen Melayu, adakah ini kritikan serba bingung? Saya tambah pening; bagaimanalah dibezakan pula Ayman Rashdan dan Jared Diamond dari segi pengalaman? Sekiranya penulis kritikan ini lebih cermat berfikir, Ayman Rashdan sendiri menulis berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya bekerja sebagai penjawat awam di jabatan yang memerlukan kepakaran serta kefahaman hubungan antarabangsa. Jared Diamond adalah penulis sejarah yang kerjanya adalah menulis buku sejarah. Dari segi umur, latar hidup dan ilmu bidang sendiri pun sudah berbeza. Saya sendiri merupakan sarjana sejarah sejak 5 tahun lalu– saya tidak perlu terlalu turun padang kerana padang saya adalah buku. Padang saya adalah meneliti tulisan, sepertimana sedang saya lakukan ke atas tulisan hantaran Facebook ini. Selamat datang ke padang saya. Jangan segan mengotorkan kakimu.

Kedua, saya suka apabila penulis kritikan itu menyebut tentang bibliografi. Dalam bidang sejarah iaitu bidang yang saya dilatih secara formal, petikan bibliografi itu seharusnya digunakan untuk membuktikan sesuatu hujah. Ia tidak digunakan untuk menunjukkan penulis itu serba tahu sebagaimana yang difikirkan ramai. Seandainya kita telusuri lumpur-lumpur padang saya ini, kalian akan mendapati bahawa bidang bukan fiksyen juga terlalu luas. Dalam dunia perbukuan, umumnya kita harus akui buku bukan fiksyen ada tingkat kesukarannya. Yang diketahui oleh penulis ini cuma buku popular yang terdampar di alam media sosial. Penulis ini jelas dibayangi sikap keterasingan (alienation) terhadap bahasa dan dunia literarinya sendiri. Buku popular pula ditulis dengan sederhana dan bukan untuk khalayak sarjana yang amat memerlukan bibliografi yang amat banyak. Kertas tugasan 15 halaman tidak memerlukan sejuta bibliografi. Begitulah dengan buku umum; tidak perlulah sampai sejuta bibliografi. Lagipun, kita tidak menulis buku berat setebal 1000 halaman. Untuk buku setebal itu, barulah kena dipertimbangkan untuk dikumpulkan sejuta bibliografi. Saya rasa kalaulah penulis kritikan ini benar-benar cakna dengan dunia perbukuan Melayu dan penulisan bukan fiksyen, dia akan tahu mengenai perkara asas sebegini. Kalaulah. Oleh itu, sekali lagi saya ingin berpesan; selamat datang ke padang saya, dimana saya lebih rajin membeli buku bukan fiksyen Melayu kerana saya kenal padang saya. Penulis kritikan kenalah buka minda dan merdeka semasa meneroka dunia perbukuan Melayu.

Ketiga, kita kena faham bahawa aliran pengetahuan kita tidak pernah ‘original’. Itu terbukti tidak terkira banyaknya dalam sejarah; itu sekiranya penulis kritikan ini juga menghadam imaginasi dan faham sejarah yang kukuh. Jared Diamond itu penulis sejarah. Beliau faham perkara mudah seperti ini. Beliau mesti faham bahawa masalah utama literari bukan fiksyen adalah hak cipta dan kerja salin-menyalin idea tanpa kredit. “Baca dan muntahkan balik” inilah telah berjaya memelihara idea-idea ribuan tahun lalu. Sejarah sendiri ditafsir sebahagian besarnya kerana itu. Penambahan dari semasa ke semasa itu normal dan sepatutnya berlaku sehingga hari terakhir dunia berdiri. Bahkan ilmu pengetahuan yang kita dapat pada hari ini adalah hasil jasa orang terdahulu. Kita berdiri di bahu manusia yang datang lebih dahulu. Jika mahu lebih baharu, tunggulah wahyu datang. Seterusnya, penulis mula berbicara perihal penulis dan pemikir. Ini juga saya berbesar hati untuk mengupasnya.

Sebenarnya, penulis biasanya seorang pemikir, tetapi pemikir tidak semestinya seorang penulis. Selamat datang ke padang saya, dimana saya juga mengkaji tentang sejarah pemikiran intelektual. Di sini, ternyata penulis kritikan sudah tersesat di padang saya. Mari, saya tunjuk jalan pulangnya. Kita temui dahulu Socrates, yang duduk berdialog berdepan anak-anak muridnya. Socrates tidak meninggalkan sebarang penulisan, lalu dengan logik hantaran ini, Socrates bukan pemikir. Socrates cuma sang tua nyanyuk dan kuat bertanya. Atau bagaimana dengan nenek moyang kita; menjelajahi lautan biru dan hutan menghijau sementara berkongsi cerita lisan Melayu kepada moyang-moyang kita sehingga akhirnya ia terpelihara masih dalam kajian orang putih terpuji oleh penulis kritikan ini? Dengan logik yang sama, usaha pencarian sarjana kita terhadap kearifan tempatan itu mesti diranapkan serta-merta kerana tanpa kertas (dan pendokumentasian), kita bukan masyarakat yang berfikiran sehinggalah orang putih datang bawa kertas. Logik ini melanggar asas bidang sains sosial terutamanya antropologi dan arkeologi. Memandangkan tulisan datang selepas ketamadunan yang kemas dibina, logik penulis mendeklarasikan bahawa generasi manusia tidak pernah berfikir (atau bukan pemikir) sehinggalah wujud komuniti elit yang boleh mencipta tulisannya sendiri. Komuniti elit adalah pemikir, manakala komuniti bawahan boleh pergi mati.

Keempat, kita dibawa bercakap tentang penulis dan penulisannya. Sekali lagi, renungan ini pernah saya tukangi dalam sebuah buku berjudul Anti-Universiti pada 2018, dimana saya bercakap tentang sejarah dan etika penulis. Saya memisahkan dua istilah iaitu ‘penulis sejarah’ dan ‘sejarawan’. Untuk saya, secara peribadinya saya meletakkan diri saya di tengah iaitu sekadar budak sejarah. Saya belum jadi sejarawan tetapi saya agak tinggi layaknya untuk dipanggil sekadar penulis sejarah. Saya harus akui, bidang sejarah ini terlalu luas dan seringkali kontang dari segi bacaan bersifat pemula atau pengenalan. Penulis sejarah perlu hadir dalam lanskap penulisan sejarah untuk pengetahuan awam, tetapi pada masa yang sama, dipertanggungjawabkan secara moralnya untuk mengamalkan prinsip dan etika penulisan sejarah. Penulis kritikan ini menyampaikan gusar yang pernah saya rasakan dahulu, tetapi saya merumuskan bahawa kita mesti praktikal dalam usaha mengembangkan lagi dunia penulisan dan perbukuan kita. Perkembangan ini kena selari dengan kesedaran dan kesuburan budi akal serta keluhuran seorang penulis.

Kelima, tangan kita ditarik masuk ke dalam dunia lain. Isu bahasa rojak pula digandingkan dengan kematangan. Ini agak aneh memandangkan isu bahasa rojak sudah lama wujud dalam dunia perbukuan alternatif. Fixi dan Lejenpress sendiri ada menerbitkan ala stail urban (campuran bahasa sebahagian dari gaya rumah penerbitannya), dan penulis kritikan ini juga di bawah rumah penerbitan Lejenpress. Saya kembali bingung. Atau adakah kritikan ini cuma sah untuk buku bukan fiksyen? Baik. Dalam penulisan bukan fiksyen biasanya kerana dua perkara: ketiadaan istilah yang sesuai dan untuk mengekalkan nada penulis dalam buku tersebut. Perkara pertama itu wujud sebagai cabaran, yang kedua pula lebih kepada percubaan untuk ‘santai’. Perkara kedua itu saya terpaksa berlepas diri daripadanya, kerana itu hal seseorang penulis dan mungkin satu-satunya kritikan yang perlu ditelan oleh kelompok penulis bukan fiksyen. Kemudian nama Mejar Qayyum terselit.

Mejar tersebut, saya anggap, tidak lebih dari seorang penyalin yang inginkan kekayaan pantas dengan menjual buku. Seorang pembuli yang kaya – tidak memberi kredit, tidak peduli tentang pembaca (dan pembaca tegarnya juga terlalu pasif untuk menegur silapnya), dikatakan memaksa orang menjual dan membeli bukunya, dan mengugut saman apabila orang kritik. Anugerah Buku amat tersilap memilihnya, dan wajib dipertikai proses pemilihannya. Saya harap itu adalah kali terakhir panel pemilihan Anugerah Buku khilaf.

Penulis kritikan itu akhirnya menyimpulkan bahawa buku bukan fiksyen Melayu itu sampah. Suatu keyakinan tidak tertahan-tahan, saya anggap.

Di bawah kesimpulan ini juga, saya menyimpulkan tulisan tersebut datang dari ketidaktahuan yang amat, ketumpulan akal yang tidak cermat dan sekali lagi, berpendidikan tinggi tetapi “tak baca” dan “muntahkan sisa”. Bak kata peribahasa Melayu, lebih sudu dari kuah. Suka saya memetik peribahasa Melayu juga; di mana tidak ada helang, kata belalang akulah helang. Dari seorang penulis kepada seorang penulis, berpada-padalah berfikir dan menulislah selepas berfikir. Kata Arthur Schopenhauer, itulah jenis penulis yang paling jarang didapati.

Leave a Reply