Kitar Semula; Satu Industri Bermotif Keuntungan

Kitar Semula; Satu Industri Bermotif Keuntungan

Oleh: Nurhuda Manshoor

Amalan kitar semula sebenarnya telah diamalkan sejak zaman-berzaman lagi, tetapi tujuan kitar semula telah berubah sekitar 1970-an. Dahulunya kitar semula diamalkan akibat kekurangan sumber untuk menghasilkan bahan kegunaan yang baharu. Jadi peralatan lama yang telah rosak dibaiki atau diproses untuk dijadikan produk lain. Pada hari ini kitar semula perlu dilakukan kerana terlalu banyak bahan buangan akibat mudahnya mendapatkan bahan yang baru.  

Pada mulanya kitar semula bahan buangan dilakukan hasil dari kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar. Di mana-mana, kempen diadakan, sekolah dan komuniti diajar cara mengurus bahan buangan untuk dikitar semula, majlis perbandaran memperuntukkan jadual kutipan, pusat-pusat kitar semula tumbuh melata. Di sesetengah negara, perundangan digunakan agar rakyat mematuhi idea ini.

Usaha untuk ‘go green’, menjadi pencinta alam dengan mengamalkan kitar semula memberi rasa menyenangkan –feel good– kerana percaya kita telah membuat perubahan besar untuk kelestarian alam. Begitupun, terdapat kepincangan di dalam amalan kitar semula ini. Amalan yang kita fikir akan menyelamatkan alam ini boleh jadi menambah kemudaratan.

Pada permukaannya, ia kelihatan seperti satu idea yang baik untuk mengitar semula bahan buangan kepada produk baru agar boleh digunakan semula, maka ia tidak menjadi sampah. Tetapi praktiknya lebih rumit daripada teori. Hari ini, amalan ini berkembang menjadi satu industri di mana sampah sarap adalah komoditi. Industri ini memerlukan bekalan sampah yang berterusan maka rantaian bekalan –supply chain– perlu diwujudkan.

Kesedaran masyarakat kepada penjagaan alam sekitar memberi idea perniagaan kepada syarikat-syarikat besar. Mereka mula mengeluarkan barangan dengan label ‘boleh dikitar semula’, ‘mesra alam’, ‘organik’ dan sebagainya. Pengguna kurang merasa bersalah apabila membeli bahan yang boleh dikitar semula. Jadi boleh beli dengan kuantiti yang banyak. Tahap penggunaan bahan-boleh-dikitar-semula melambung tinggi, syarikat terus meningkatkan produksi, mengaut lebih banyak keuntungan, mengeluarkan lebih banyak produk, menghasilkan lebih banyak sisa industri dan melambakkan bahan buangan di tapak pelupusan.

Kitar semula bukan pusat sehenti untuk mencuci dosa-dosa kepenggunaan –consumerism– kita. Seharusnya amalan kitar semula mengajar bagaimana untuk mengawal tabiat kepenggunaan kita dan sekaligus mengurangkan bahan buangan, bukannya menggalakkan kita untuk lebih banyak membeli produk yang dikatakan mengurangkan kesan negatif kepada alam.

Tidak semua produk yang boleh dikitar semula, benar-benar dikitar semula. Kurang 10% produk kitar semula yang pernah dihasilkan, dikitar semula. Proses kitar semula bermula dari selepas produk digunakan sehingga kepada produk baru dihasilkan. Ia memerlukan pengguna membersihkan dan mengasingkan bahan, membuang dengan cara yang betul, di tempat yang betul. Pihak berkuasa pula perlu mengamalkan sistem pengumpulan yang berkesan dan menyediakan kawasan pengumpulan yang mencukupi. Syarikat kitar semula perlu memiliki fasiliti yang sesuai untuk setiap bahan yang akan dikitar semula.

Mempertimbang bahawa tidak semua orang sanggup membersih, mengasing, membawa sampah ke tempat pengumpulan yang mungkin jauh, tidak banyak bahan buangan yang dikumpul untuk dikitar semula. Kemudahan pengumpulan pula hanya terdapat di bandar-bandar dengan bilangan yang kecil dan kawasan yang terhad. Kilang pemprosesan pula sangat sedikit bilangannya. Di setiap peringkat, peratusan pelaksanaan berkurang. Apabila sampai kepada proses mengitar semula, hanya sebahagian kecil sahaja yang berjaya diproses.

Tidak semua bahan yang boleh dikitar semula akan diproses. PVC –polyvinyl chloride secara teknikalnya boleh dikitar semula, tetapi kebanyakan pengitar semula tidak mengendalikan bahan ini. Ia menyerupai PET –polyethylene terephtalate– maka boleh bercampur di dalam mesin kitar semula. Pada suhu tinggi, PVC membentuk partikel perang pada resin, menyebabkan kontaminasi warna kepada bahan yang dihasilkan. Jadi walaupun ia boleh dikitar semula, ia akan diasingkan dan dilupuskan sebagai sisa industri.

Contoh lain ialah bioplastik. Ia menjadi pilihan ramai kerana produk ini dihasilkan dari bahan semulajadi, boleh diurai secara biologi, tidak menggunakan hasil petroleum – maka adalah lebih mesra alam. Malangnya mengitar semula bahan ini memerlukan fasiliti yang khas, berlainan dengan pemprosesan di syarikat konvensional. Fasiliti yang sesuai untuk mengitar bahan bioplastik amat terhad dan bahan ini berakhir sebagai sampah.  

Selain itu, syarikat pengeluar bahan kitar semula tidak memproses bahan buangan dengan tujuan menjaga alam sekitar. Mereka hanya akan memproses bahan tersebut jika ada permintaan terhadap produk yang bakal dihasilkan. Sehingga itu bahan buangan akan kekal sebagai sampah. Bahan buangan juga perlu cukup banyak supaya berbaloi untuk diproses menggunakan mesin yang besar. Untuk memenuhi keperluan ini, syarikat pengeluar produk ‘mesra alam’ akan mengeluarkan dengan banyaknya produk mereka dan melakukan pemasaran besar-besaran agar pengguna membeli barangan tersebut dan seterusnya membekalkan bahan mentah kepada syarikat kitar semula. Inilah putaran yang berlaku dalam industri kitar semula yang disumbangkan oleh sikap kepenggunaan kita.

Kumpulan syarikat  yang mewakili pelbagai kepentingan pembungkusan – plastik, kertas, kaca –  telah menjadi penyokong terbesar dan penaja program-program kitar semula. Di laman web Environmental Protection Agency, kita boleh melihat sumbangan besar syarikat-syarikat industri plastik kepada kempen kesedaran alam sekitar dan penggunaan produk kitar semula.

Jadi pada asasnya, kitar semula adalah satu simbiosis mutualisme kepada pengeluar dan pengguna. Pengeluar menggunakan kesedaran alam sekitar sebagai teknik pemasaran – pengguna memenuhi nafsu kepenggunaan dengan kurang rasa bersalah, malah menyangka mereka membantu alam sekitar – syarikat kitar semula mendapat bekalan bahan mentah – pencinta alam membeli produk kitar semula. Ia adalah situasi menang-menang, semua pihak menang kecuali planet yang kita duduki ini.

Kitar semula bukan lagi industri kecil seperti dahulu, yang beroperasi berdasarkan keperluan. Ia kini menjadi perniagaan komoditi yang menembusi pasaran global. Bahan buangan yang dikumpul di Jepun dan Amerika Syarikat dihantar ke China, negara pengeluar terbesar dunia. Apabila China tidak lagi menerima bahan buangan untuk diproses, bahan yang telah ditumpuk ini perlu mencari tempat baru, maka ia dihantar ke negara yang mahu menerima, termasuklah Malaysia.

Bahan buangan yang diterima oleh negara kita bukanlah berbentuk sedia untuk diproses. Sampah ini perlu diasingkan, dipisahkan komponen-komponennya, dipilih bahagian yang boleh dikitar semula oleh fasiliti yang ada di dalam negara sahaja. Sudahnya, sebahagian kecil sahaja sampah yang dibawa masuk ini akan dikitar semula. Selebihnya akan dibuang atau dibakar, menyumbang pula kepada pencemaran udara.

Ini adalah gambaran sisi gelap di sebalik industri kitar semula hari ini. Seperti mana-mana perniagaan lain, ia tidak semestinya altruistik, ia mengubah keadaan sosial dan memberi kesan yang jelas kepada alam sekitar. Kepercayaan ditanamkan ke dalam minda kita bahawa kitar semula boleh menyelamatkan alam. Kepercayaan yang menyebabkan amalan kepenggunaan yang tidak bertanggungjawab diberi justifikasi.

Jadilah pengguna yang sedar. Semakin kita sedar mengenai isu-isu yang berkaitan kitar semula, semakin terdidik pilihan yang kita buat. Di dalam kes ini, ignorance is NOT a bliss. Kita semua berperanan menjaga bumi kita. Jika kita memejamkan mata dan berharap orang lain yang akan bertindak, orang lain juga boleh berbuat begitu. Jika kita semua melakukan begitu, maka tidak akan lama lagi, kita akan segera dihadapkan dengan masalah yang tidak boleh ditangani lagi. Cuba untuk mengurangkan. Cuba gunakan semula. Dan akhirnya, barulah dikitar semula.

Reduce, reuse, recycle.

Leave a Reply