Kita Yang Terperangkap Dalam Hiper Realiti

Kita Yang Terperangkap Dalam Hiper Realiti

  • Post category:Ideologi

Oleh: Farahani R.

Jika saya tanya pada anda, apa itu realiti; jawapannya berlainan, hanya berpusing pada paksi yang sama.

“Fakta.”

“Yang dipercayai benar.”

“Yang kita tahu, rasa dan lihat.”

Dalam bidang falsafah, realiti dicabar sehabisnya. Adakah itu meja? Apa erti meja? Apa maksud ‘meja’? Apa yang membuatkan itu ‘meja’? Terjahan demi terjahan soalan dikenakan hanya untuk menilai apa itu realiti sebuah meja. Tapi ini soalan-soalan falsafah klasik. Soalan ini digunapakai kemudiannya untuk menerangkan Tuhan dengan wujudnya, manusia dengan wujudnya, akal dengan wujudnya, jasad dengan wujudnya, angkasa dengan wujudnya; segalanya dengan wujudnya.

Sekilas pandang, soalan ini tidak lagi kedengaran. Kita sudah tahu terlalu banyak; sains menerangkan kejadian dan proses wujudnya manakala ekonomi menghuraikan istilah-istilah yang merasionalkan jatuh bangun sekecil-kecil nilai definitif diri dan sebesar-besar sebuah negara, psikologi menjawab kenapa-mengapa-bagaimana otak berfungsi lalu merasionalkan tindak-tanduk seseorang. Bidang ilmu bercambah luas dan terus meluas kerana semakin ramai yang mahu mengerti dunia.

Wujudnya Internet sebenarnya mengubah realiti.

Yang lain cuma sejarah perkembangan teknologi manusia yang dinostalgiakan orang yang hidup pada hari-hari yang lepas. Telefon Nokia, Sony Walkman, kaset lagu dan disket empat segi berwarna pastel – itu sejarah yang berhabuk di muzium teknologi manusia.

Soalan-soalan falsafah klasik ini muncul berbaris, cuba untuk menilai apa maksud dunia di sebalik Internet. Kali ini, soalan itu tidak mampu menerangkan lagi apa itu realiti. Di sebalik Internet, kita boleh jadi sesiapa saja. Di sebalik Internet, kita boleh hidup dan berpersonaliti jauh berbeza dengan apa yang keluarga, kawan dan teman istimewa tahu tentang kita. Di sebalik Internet, sempadan geografi hanyalah ilusi ciptaan ahli kartografi.

Hiper realiti terhasil dari kekeliruan ini. Kata Jean Baudrillard, dalam zaman pascamoden ini, kita lebih melazimi peta dan model sebagai realiti lalu terputus dengan keadaan sebenar, difahamkan sebagai hubungan simulasi (paparan) dan simulakrum (imitasi) daripada realiti. Ringkasnya, ia terhasil dari kegagalan manusia memastikan realiti di alam Internet itu wujud atau tidak. Ia terlahir dari kebijaksanaan manusia untuk menghasilkan satu persona, atau simulasi, paparan dunia yang langsung berbeza dari alam yang sebenar.

Filem juga sebenarnya salah satu kejayaan dari konsep hiper realiti. Filem yang baik tidak akan membuatkan anda rasa anda sedang duduk melihat mereka. Filem yang baik akan membuatkan anda hidup di samping mereka dan merasa suasana watak-watak yang sedang berlakon di depan anda. Jika anda pernah menonton filem “Repo Men”, anda tahu apa yang saya maksudkan. Hiper realitilah yang menambah impak pada ilustrasi-ilustrasi distopia, seterusnya pembuat filem akan kaya kerana berjaya mencerminkan kesedaran dengan tukaran wang.

Hiper realiti merupakan titik kepada pelbagai fenomena semasa yang boleh dihuraikan dalam dunia sains sosial. Iklan memanipulasi perasaan anda, memujuk perhatian agar terus subur imej jenama mereka di minda anda. Para selebriti rupawan dan manis, bangga menunjuk kekayaan dan harta agar anda terus cemburu dan kagum, menyukai jurang material (yang ditandai sebagai kuasa) ke atas penonton. Para ahli politik, dengan sinetron maki-caci di wayang media yang diam-diam berkumpulan di WhatsApp, rupanya sedang ketawa dengan perkongsian imej lucu dari Internet bersama. Daripada musuh halus kapitalisme, konsumerisme kepada bentuk yang lebih jelas seperti con artists, dan scammers – mereka berpijak pada platform hiper realiti. Realiti yang melampau. Realiti yang mengaburi persepsi dan pandangan umum ke atas hakikat sebenar.

Teknologi permainan kini sudah selangkah dalam dunia hiper realiti. Daripada virtual reality kepada augmented reality, menzahirkan Pokemon yang kononnya sedang berdiri dan bersedia untuk ditangkap. Versi 3D dimajukan lagi kepada 4D, dan kononnya ingin mencapai 5D dan mungkin 6D. Dimensi-dimensi yang dicipta sedekat mungkin dengan realiti. Dari bentuk bunyinya, suhunya, sensasinya; semua disusun dalam papan catur hiburan yang membawa untung. Syarikat teknologi sentiasa mampu mengaut jutaan wang untuk sebuah platform yang boleh membuatkan orang hidup di dalam hiper realiti.

Budaya warganet juga menyumbang kepada ‘rasa’ berkomuniti yang masih beralaskan hiper realiti. Pak-mak bawang bertopengkan gambar profil kucing comel bersandar sesama lain di laman gosip sensasi artis menunggu mangsa untuk dilampiaskan bakat menyindir dan memuji, menyalahkan dan mentertawakan. Paparan dosa artis kemudiannya digam-lekat pada tiap dinding laman, tidak lagi berhak untuk dilupakan tanpa usul periksa. Hiper realiti ke atas artis atau sesiapa yang ditular boleh jadi pujaan ramai, atau sumpahan buruk seumur hidup. Hiper realiti membina mahkamah berhakimkan warganet tanpa kredibiliti wajah mahupun upaya mentaliti yang cukup matang.

Namun dari satu sudut, hiper realiti tidaklah boleh diboikot sewenang-wenangnya. Hiper realiti kadangkala menjadi saluran escapisme manusia ini. Untuk mencapai hiburan sementara, atau sekadar ingin lupa, hiper realiti selalu ada di samping para manusia yang penat. Hiper realiti bagaikan pelali yang cukup kuat untuk melalaikan sebentar. Apa yang pasti, realiti kini perlu bersempadan pada apa yang nyata tanpa perlu berselindung di tabir hiper realiti yang mengasyikkan, liar dan selamat.

Tidak semua terpapar di Internet itu, buat para pembaca sekalian, adalah realiti hakiki.

Leave a Reply