Kita Sebenarnya Sudah Tahu Kita Rasis

Kita Sebenarnya Sudah Tahu Kita Rasis

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Farahani R

Ramai yang sedar, tapi tidak ramai yang berani menyatakan ataupun menukilkan kenyataan ini: Kita sebenarnya sudah tahu kita rasis.

Tulisan ini tidak lahir dari hati yang buruk dan busuk. Saya nasionalis Sabah yang lahirnya di tanah bawah bayu dan tidak pernah menetap lama di luar negeri. Sepanjang hidup, saya nomadik; saya membesar di pantai Timur dan Barat Sabah, duduk setahun lebih di kawasan pedalaman Sabah (Mendulong, tidak berpeluang untuk sampai ke Long Pasia). Berjiwa kampung hutan berdekatan dengan sempadan Sabah-Sarawak. Sepanjang hidup saya yang masih muda lagi, saya melihat keadaan masyarakat Sabah dan memerhati pemikiran mereka. Kaum saya etnik minoriti di Sabah, tapi agak banyak di Sarawak. Jadi ya, saya memang berdarah Borneo sejati. Tiada campuran dari ‘warga Malaya’, ‘warga Kalimantan’, dan, ‘warga selatan Sulu’. Saya memang original Sabahan dan warga bersemangat Hidup Borneo.

Baik, selesai mengabsahkan ‘kelayakan kaum’ saya. (Bukankah itu yang kita akan hentam dahulu?)

Percayalah bila saya katakan: kita sebenarnya sudah tahu kita rasis. Kita mendiskriminasikan orang berdasarkan di mana mereka lahir, kepada siapa dia lahir dan kaum apa dia lahir. Kita kata orang tempatan harus dapat kerja, ya memang orang tempatan dapat kerja. Orang tempatan masih ada haknya yang tidak diragut oleh migran haram ataupun yang berpasport. Kerajaan kita tidak seperti kerajaan Kanada yang memberi kewarganegaraan suka hati. Projek IC pula sudah diakui oleh Royal Commissioner; namun itu adalah tindakan politik terdahulu. Ia bukan tindakan hasil governmentaliti kerajaan Malaysia. Kita harus bijak memisahkan mana satu kerja politikus, mana satu kerja pembuat dasar.

Kita sebenarnya sudah tahu kita rasis. Kita mendada kata kita sayang budaya kita dan amat meninggikan kesejatian bangsa Borneo; walhal kita tidak peduli pun jika Bajau Laut itu hakikatnya adalah sebahagian dari kita, warga Borneo. Kita tidak mahu fikir pun kanak-kanak kotor tepi laut, berpakaian koyak rabak dan busuk menjual ‘kompek’ di pasar itu sebahagian dari bangsa Borneo sejati atau tidak. Bilamana seorang kanak-kanak kotor: jangan dekat, itu pendatang! Hah, bagaimana jika mereka hanya miskin? Pedulikah kita jika Bajau Laut itu tarafnya patut dikenal sebagaimana kita hormat hak Bumiputera Borneo untuk memilih hidup dengan budaya sendiri? Atau dengan ayat yang lebih sopan, ‘berhenti panggil mereka pendatang’.

Kita sebenarnya sudah tahu kita rasis. Kita berulang kali mengajar anak-anak kita untuk bersikap seperti kita dengan harapan bahawa kita tidak rasa bersalah tiap kali kita menuturkan istilah memundurkan untuk sekelompok kecil yang tidak berkuasa seperti kita. Tidak percaya? Sepanjang saya mendewasa, istilah ‘palak’ digunakan di Semporna khas buat Bajau Laut yang tinggalnya di perahu. Istilah ‘pilak’ pula digunakan di Penampang buat imigran. Kedua-duanya melahirkan persepsi ini: orang yang tinggal di perahu adalah pendatang berbahaya dari Filipina dan Indonesia. Apatah lagi dengan warga tanpa negara, ‘hidup segan mati tidak mahu’. Tidak dapat dibunuh, tidak dapat dihalau, tidak dapat dibakar, maka dilayan endah tak endah dan lebih rendah dari orang yang paling miskin di Sabah. Semacam kasta masyarakat di India, pilak adalah intouchables.

Kita sebenarnya sudah tahu kita rasis. Serong pendapat saya jika saya katakan bahawa kita ini benci pendatang semata-mata. Tidak, kita memilih siapa untuk dibenci. Kita tidak bencikan orang putih yang bermandi-manda, berskuba menyelam, berjalan bercium berpegang, misionari yang kerjanya berdiri mengedar risalah Kristian. Kita tidak bencikan orang Brunei yang membeli belah sehingga beratus-ratus harganya dengan gelak ketawa kerana betapa murahnya harga barang di Sabah. Betapa mereka jual harga buah-buahan di pasar Sipitang sedikit mahal dari biasa. Betapa perlahan mereka di jalan raya kerana baru masuk Sabah. Kita bencikan orang miskin, bermuka biasa dan mereka tidak bertutur dialek Sabah adalah suatu fobia bahawa mungkin mereka anasir jahat.

Kita sebenarnya sudah tahu kita rasis. Ramai antara kita sudah pernah ke Semenanjung Malaysia, dan berkawan rapat, barangkali berteman mesra, mungkin berpasangan syurga neraka dengan rakyat Semenanjung Malaysia. Tapi tidak ramai antara kita ini boleh pergi lebih jauh dari menganggap mereka ‘sekufu’ dengan kita. Tidak kira sedalam mana mereka mahu buktikan sumpah cinta mereka kepada Sabah, mereka tetap dilihat ‘bukan Sabahan’. Nasib baiklah zaman ini, kita tidak lagi suka untuk menurut amalan segregasi dan kita masih bersosial dengan mereka penuh mesra. Menerima mereka sebagai tamu. Tapi cukup sekadar itu. Mereka tidak dapat menjadi ‘Sabahan sejati’ kerana lahirnya mereka itu bukan dalam kaum Bumiputera.

Berikut adalah dialog perbualan antara saya dengan nenek saya, seorang Kadazan (tapi lahirnya di Mandangin, Beaufort, jadi tutur katanya agak bercampur dengan dialek Brunei). Berumur hampir 90 tahun. Beliau masih remaja ketika perang dunia kedua, dan sempat menceritakan kisahnya hampir mati ditembak mesin Jepun. Ketika ini, saya sekadar menduga-duga dengan beliau.

“Nek, kalau aku mau beli rumah di Semenanjung, OK kah?”

  “Ndak payah tah. Buat apa kau mau beli sana. Kau kan tinggal sana?”

“Ndak lah bah, saja. Kenapa jua?”

   “Ndak payah tah. Kau buat saja rumah di Sabah ni. Kau kan berlakikan Semenanjung kah?”

“Ndak lah nek. Aku manada kawan sekarang. Malas aku.”

   “Jangan tah kau berlakikan Semenanjung. Nanti kau disia-sia…laki Semenanjung sayang mamak dia, kalau mamaknya suruh kasih tinggal kau, dikasih tinggal lah kau nanti.”

Diam.

  “Kalau boleh janganlah berlakikan Semenanjung.”

Kita orang muda boleh bantah pendapat ini, tapi untuk nenek saya, ini adalah nasihat yang benar. Sungguh, ini tulus dari fikirannya mengenai betapa bezanya ‘orang Sabah’ dan ‘bukan Sabahan’. Lebih khusus, Melayu. Jika saya katakan padanya bahawa ‘nenek ini rasis’, pasti naik tekanan darahnya dan komplikasi kesihatan pula mendatang. Saya agak begitulah juga rupa kita; yang mana terasa perit dengan tulisan ini. Kita sebenarnya sudah tahu kita rasis.

Akhirul kalam, saya harus singkatkan isu ini dengan suatu seruan untuk bijak memisahkan mana satu isu pendatang haram, isu jenayah, isu kewarganegaraan dan isu rasisme. Tulisan ini bertujuan menangkis senyum berani kita yang sibuk menjaja kepalsuan bahawa kita bukan masyarakat rasis hanya kerana kita boleh hidup bersama pelbagai kaum. Isu pendatang haram, jenayah dan kewarganegaraan adalah isu berlainan yang seringkali dibakulkan sekali sebab ‘itu lebih senang’. Ingatlah, pembakulan isu adalah amalan biasa untuk pemikir yang malas.

This Post Has One Comment

  1. Eiscanatalie Jimin Linggahan

    Ko pigila semenanjung mereka 4 Kali ganda lebih racis. Tak suka PTI bukan racis itu semangat patriotik tinggi.Orang asing masuk negara kita secara sah buat apa dibenci.PTI yang kita tak suka.

Leave a Reply