WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Kita Sebenarnya Malas Melawan Penindasan: LUCU

Kita Sebenarnya Malas Melawan Penindasan: LUCU

Kita sebenarnya malas melawan penindasan: LUCU

Kegagalan yang paling besar pada manusia bukan tidak mampu untuk menyusun tapi tidak pandai untuk membaca. Manakala radikal yang lebih penting bukanlah pada tingkah laku, tetapi pada pemikiran.

Itulah silap Mukmin apabila membaca tulisan aku tentang kegagalan Pas Sementara Sabah (PSS). Terbukti juga kritikan aku pada aktivis yang beromantisme dan terperangkap pada logik ‘demokrasi’, perubahan sosial dijadikan hukum wajib ‘bermula daripada bawah.’ Aku fikir, kalau dinilai semula pada semua keputusan umum yang dibuat dalam hidup kita, banyak sebenarnya tidak melibatkan yang teramai, sebab kita tahu itu common sense dan percaya ‘baik’ untuk semua. Dalam mendidik juga, kita banyak memberi pelajar ruang untuk mereka bersuara, tetapi keputusan dan jawapan sebenarnya kita yang kawal dan tentukan.

Mungkin Mukmin sudah lupa.

Pada tulisan itu jelas aku mengkritik kecelaruan aktivis dan politikus dalam memainkan fungsi masing-masing. Namun pada tulisan ‘marah-marah’ Mukmin, dia menganggap aku menyalahkan/menghina orang awam/kampung/tempatan/rakyat. Setiap penulisan seharusnya dibaca dengan faham konteks isinya, contohnya apabila Karl Marx mengatakan ‘Agama itu candu’, agamawan mengambil sekerat ayat ini dan menuduh Karl Marx, anti agama. Aku harap Mukmin tidak senaif agamawan seperti ini apabila membaca nama Zizek.

Begitu juga dalam membaca PSS, tidak perlu aku berjumpa artis tersohor atau meneka niat-niat politikus untuk aku membaca soal PSS. Tidakkah ada sedikit rasa tangungjawab pada diri sendiri apabila memberi keyakinan kepada politikus bahawa sentimen anti pendatang tidaklah kuat di Sabah tapi pada masa yang sama cuba memusuhi politikus yang bercakap soal ini?

Mukmin mungkin fikir idea PSS ini datang daripada mimpi Azis Jamman dan terus menceritakan kepadanya, semudah itu. Aku maklum bahawa idea ini sudah 7 tahun dibincangkan. Banyak bengkel dan mesyuarat bersama ahli-ahli akademik, Suhakam, NGO, UN dan beberapa aktivis Sabah tentang PSS dianjurkan sebelum ia diumumkan. Silapnya mungkin kita tidak dijemput, maka PSS tidak dianggap serius dan tidak perlu dihiraukan.

Lucu dengan sikap kita seperti ini, kita boleh mengatakan setuju dan menganggap sangat ‘penting’ dengan idea ‘mendokumentasi stateless‘. Tidak pernah juga aku menafikan kebodohan-kebodohan politikus, sebab itu aku turut kritik politikus yang populis dan gagal untuk mengamalkan politik mendidik. Namun buat aktivis yang hanya diam (tidak bersetuju atau mengkritik) ketika PSS diumumkan dan bising selepas ia dibatalkan, aku rasa mereka sangat celaru. Jika kita percaya pada penyelesaian dokumentasi, kita patut terlibat sama ada bersetuju atau mengkritik dasar-dasar ini secara terbuka sejak dari awal lagi.

Tidak perlu juga aku memberitahu berapa peratus tenaga aku perah sepanjang terjun ke lapangan di Sabah. Sangat membosankan apabila masalah aktivis dinilai pada nilai produktiviti beraktivisme (rajin dan malas) seseorang, macam Mahathir mengutuk orang miskin pemalas. Sedangkan Mahathir cukup bulan duit gaji masuk, orang miskin untuk hari esok pun belum tentu ada yang datang suap nasi.

Bilakah kita semua boleh bekerjasama dan faham peranan masing-masing?

Bencilah kita setinggi ego kita, tapi hakikatnya kita tetap perlukan kerajaan untuk selesaikan masalah ini. Dalam kerajaan itu ada ramai tikus-tikus yang perlu kita hadap. Yang paling penting — jangan pernah meremehkan kerja-kerja aktivis, ahli akademik dan NGO yang juga cuba menyelesaikan masalah dokumentasi ini.

Demi anak-anak.

Borneo Komrad

Membangun gerakan anak muda dan mahasiswa yang mandiri dan pro kepada rakyat kelas bawah.

Leave a Reply

Close Menu