Kesultanan Brunei

  • Post category:Sejarah

Oleh: Yusry Sulaiman

Pada abad ke-6 dan ke-7 sudah terbentuknya sebuah kerajaan pusat terkuat di Asia tenggara dari aspek perdagangan dan pemerintahan. Di Kepulauan Borneo, kerajaan yang lebih kuat berbanding kerajaan Kutai dan Boelongan ialah Kesultanan Brunei. Bermulanya kemuncak Kesultanan Brunei adalah pada masa Sultan Mahmud Shah, Sultan Bolkiah, Sultan Saiful Rijal, Sultan Kahar, Sultan Hashim dan Sultan Abdul Momin. Perkataan Brunei berasal daripada perkataan ‘varuni’ yang bermaksud orang yang berani kerana mereka pernah menguasai semua perkara dalam ilmu kelautan. Kesultanan Brunei juga mempunyai hubungan diplomatik yang kuat. Kesultanan Brunei pernah membuat hubungan diplomatik dengan China, India, Arab, Srivijaya, Majapahit, Acheh dan Melaka. Kawasan Brunei merupakan pusat persinggahan bagi banyak pedagang  terutamanya dari China, Arab dan India. Hal ini demikian kerana kerajaan tersebut pernah berinteraksi dengan Sultan Brunei dan raja-raja lain. Kawasan Brunei sesuai untuk aktiviti perdagangan kerana kedudukan yang strategik menyebabkan senang berinteraksi dengan kerajaan lain di Nusantara. Antara benda yang menjadi tumpuan ialah trepang, sutera, lada hitam, mutiara dan sarang burung. Antara kerajaan lain di Nusantara yang juga aktif dalam perdagangan ialah Srivijaya dan Majapahit.

Pada abad ke-14 dan ke-15, Kesultanan Brunei telah meluaskan empayar ke seluruh Kepulauan Borneo dari Tanjung Kidurong hingga Kupulauan Luzon. Hal ini telah membuktikan Kesultanan Brunei sebagai sebuah kerajaan yang kuat setanding kerajaan lain seperti Srivijaya dan Majapahit, dan terpaksa bersaing dari segi politik dan ekonomi. Ketika zaman kegemilangan Kesultanan Brunei, Sultan Bolkiah I berjaya meluaskan serta menjajah beberapa kawasan seperti Kepulauan Luzon, Magindanao, Mindanao, Sulu, Sarawak dan Borneo Utara. Dengan itu,  setiap kawasan di bawah naungan Kesultanan Brunei ketika itu akan membayar ufti kepada Sultan Bolkiah I sebagai hasil pendapatan negara Brunei. Antara yang pernah dijadikan sebagai pemberian ialah sekapur sirih dan emas – simbolik satu penghormatan kepada Sultan Bolkiah I.

    Seterusnya, ketika zaman pemerintahan Sultan Saiful Rijal, Kesultanan Brunei semakin berkembang sehingga berjaya menakluki beberapa kawasan. Sultan Saiful Rijal telah mengemaskini pentadbiran supaya lebih sistematik. Sultan Saiful Rijal menyelaraskan pentadbiran yang terbaharu dengan pembahagian konsep Sungai iaitu Sungai Tulin, Sungai Kuripan dan Sungai Kerajaan. Sultan Saiful Rijal telah berjaya membuat satu konsep pembahagian kawasan melalui  serahan tugas kepada kaum kerabat diraja seperti pembesar Brunei dan meminta supaya mengekalkan pentadbiran tradisional. Dengan itu, Sultan Saiful Rijal berjaya mengawal pentadbiran dan rakyat jelata d ibawah Kesultanan Brunei. Sebagai contoh, di Sarawak (Tanjung Kidurong), kebanyakan pembesar Brunei adalah kaum kerabat diraja yang menjaga beberapa wilayah yang dibahagikan untuk memungut hasil pendapatan melalui cukai. Setiap kawasan pelabuhan dari Tanjung Kidurong sehingga Trusan merupakan kawasan jagaan pembesar Brunei untuk memastikan rakyatnya taat dan patuh kepada Sultan Brunei.

Borneo Utara juga mengamalkan sistem yang sama, bezanya kawasan dipecahkan kepada dua; Barat dan Timur. Bagi kawasan Barat, secara kebiasaannya golongan Pengiran yang juga kerabat diraja Brunei akan melaksanakan tugas Sultan Brunei. Manakala kawasan Timur dijaga oleh golongan Datu yang berasal daripada Kesultanan Sulu.

Hal ini telah menunjukkan fungsi konsep Sungai mempunyai ciri-ciri khas yang dilaksanakan oleh golongan pembesar Brunei (Pengiran). Sungai Kerajaan dikuasai oleh Sultan Brunei tetapi tidak boleh diwarisi secara turun-temurun. Sungai Kerajaan yang aktif adalah di kawasan Belait dan Tutong. Sungai Kerajaan merupakan hasil pendapatan utama bagi Kesultanan Brunei. Manakala Sungai Kuripan yang dikuasai oleh golongan wazir daripada golongan Pengiran juga tidak boleh diwarisi secara turun-temurun. Kedua-dua Sungai Kerajaan dan Sungai Kuripan ini hanya boleh berkuasa selagi masih hidup, kemudian ia digantikan oleh Sultan dan golongan wazir seterusnya. Sungai Kuripan hanya dipegang oleh golongan Pengiran sahaja.

Sungai Tulin merupakan kawasan yang paling dominan dari Tanjung Kidurong sehingga Pandasan. Sungai Tulin merupakan hadiah atau simbolik di antara Sultan dan juga pembesar Brunei yang diberi kurniaan secara automatik. Sungai Tulin boleh diwarisi secara turun-temurun. Tambahan pula, Sungai Tulin dipegang oleh golongan pembesar Brunei seperti Pengiran kerana ia memberi sumbangan kepada Sultan Brunei dari segi ketenteraan, ekonomi, dan sosial. Kawasan Sungai Tulin di Borneo Utara yang merupakan penyumbang terbesar dan terkuat adalah Kawang, Kinarut, Simbulan dan Inanam.

Di samping itu, susunan sosiopolitik Brunei sangat tertatur dan jelas terutama ketika zaman kemuncaknya. Sultan terpaksa bergantung kepada cukai, hal pertanian, serahan dan ufti kerana itu merupakan sumber pendapatan ekonomi yang utama. Sultan juga mempunyai kuasa dari aspek tentera. Sultan Brunei mempunyai panglima tentera yang terkuat sepanjang zaman iaitu Pengiran Temenggung Hashim yang terletak di Mekabong Borneo Utara. Sultan Brunei juga memiliki tentera yang teramai kira-kira 10,000 orang termasuk Jomo Samah dan Dusun Lotud. Ini tidak termasuk di Sarawak yang mempunyai jumlah lebih ramai dengan menggunakan kaum Dayak laut dan Dayak darat.

    Dari segi institusi,  keluarga diraja dan pembesar mempunyai tugas khas masing-masing. Pengiran telah dipecahkan kepada empat, Pemancha, Digadong, Temenggung dan Bendahara. Pengiran Bendahara merupakan Perdana Menteri Sultan Brunei yang juga merupakan penasihat Sultan. Pengiran Pemancha pula memastikan hal ehwal adat istiadat khususnya di istana. Pengiran Digadong bertindak sebagai bendahari yang memastikan hal ekonomi negara. Pengirang Temenggung merupakan ketua tentera yang terletak di Mengkabong. Setiap Pengiran mempunyai sumbangan masing-masing.

Sultan Brunei ditaati oleh rakyat Brunei kerana wujudnya konsep mitos iaitu Daulat dan Derhaka. Tambahan pula, setiap rakyat Brunei mesti bertatatusila dan bertatacara dengan Sultan Brunei takut kena tulah. Antara golongan yang taat setia kepada Sultan  Brunei ialah golongan bawahan yang merupakan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa. Selain daripada taat dan setia kepada Sultan Brunei, rakyat juga sentiasa dikerah untuk memberi khidmat dan serahan kepada Sultan Brunei.

    Walaupun Kesultanan Brunei merupakan kerajaan yang kuat, masih berlaku masalah dalaman seperti tidak puas hati akibat pilih kasih, tamak dan dengki. Terdapat beberapa kawasan seperti Simbulan, Mukah, Tanjung Kidurong dan Pandasan yang juga memberontak kepada Sultan Brunei kerana zalim. Bermulanya tanda-tanda kemerosotan Kesultanan Brunei adalah ketika pemerintahan Sultan Bolkiah I, Sultan Hashim, Sultan Omar Ali Saifuddin II dan Sultan Abdul Momin. Kejatuhan bermula ketika wujudnya pertikaian serta perebutan kuasa dalam kalangan keluarga diraja Brunei. Kesultanan Brunei juga bertambah lemah semenjak kedatangan James Brooke dan Syarikat Borneo Utara British. James Brooke mudah menguasai semua kawasan Sarawak atas bantuan daripada Pangeran Raja Muda Hashim. James Brooke berkomunikasi dengan Pangeran Raja Muda Hashim untuk menjatuhkan Sultan Omar Ali Saifuddin dari Tanjung Kindurong hingga Lawas. Kejatuhan kuasa Kesultanan Brunei bukan disebabkan dari perang tetapi disebabkan masalah dalaman seperti pemberontakan di Mukah, perebutan kuasa antara pembesar dan pembunuhan Raja Muda Hashim.

Manakala di Borneo Utara, kedatangan SBUB yang mula bertapak dengan mudah di Borneo Utara kemudiannya memungkinkan SBUB memajak seluruh kawasan Borneo Utara melalui perjanjian pajakan. Antara  keterlibatan dalam perjanjian pajakan adalah antara Sultan Abdul Momin dengan Overbeck Dent Asscociation (ODA) pada tahun 1877 (Brunei) dan 1878 (Sulu).

Konflik di Borneo Utara dengan Sultan Brunei adalah unik kerana ia terbahagi dua iaitu Barat dan Timur. Overbeck Dent Association dan Syarikat Borneo Utara British telah menggunakan teknik dua perjanjian yang menyebabkan Sultan Brunei tepaksa akur bahawa kesemua Borneo Utara telah dipajak oleh Sultan Abdul Momin dengan (ODA). Dengan itu, berlaku penyerahan Barat dan Timur kepada SBUB dan ODA. Akan tetapi, perjanjian ini telah menimbulkan salah faham akibat menggunakan tiga bahasa iaitu rumi, jawi dan inggeris menyebabkan perjanjian yang tidak sama.

    Sebagai kesimpulan, Kesultanan  Brunei mempunyai stratifikasi yang agak jelas dengan institusi pentadbiran tradisional yang terkuat. Walaupun kerajaan yang kuat, ia tetap jatuh akibat daripada masalah dalaman seperti perebutan takhta dan sebagainya. Melihat aspek budaya seperti taat setia, daulat dan derhaka adalah tindakan mencegah tindakan seumpama ini. Akan tetapi, apabila sebuah kerajaan menjadi lemah dan mulai runtuh maka baru kelihatan kerajaan-kerajaan yang lebih kecil dan kebangkitan rakyat yang beramai-ramai melakukan tindakan untuk menentang Sultan Brunei terutama di Sarawak dan Borneo Utara. Lebih-lebih lagi kedatangan Kuasa Barat seperti James Brooke, ODA dan SBUB yang merupakan dorongan kejatuhan Kesultanan Brunei.

Rujukan

Awang Asbol. 2001. Kesultanan Melayu Brunei abad ke-19, Politik dan Struktur Pentadbiran.     Brunei Darussalam: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Jamil Al Sufri.2007. Tarsilah Burnei Satu, Brunei Darusslam: Kementerian Sukan dan     Budaya  Brunei.

Bilcher Bala. 2006. Thallasocracy. Kota Kinabalu: University Malaysia Sabah.

Syed Husin Ali. 2018. A People History of Malaysia, Kuala Lumpur: Gerak Budaya Press.

This Post Has 5 Comments

  1. Fauziah

    Moral of the story?…

  2. Yusry

    Walaupun Kesultanan Brunei merupakan kerajaan terkuat pada masa itu tapi tetap goyah sebab faktor dalaman dan kedatangan kuasa barat.

  3. Ahmad

    Sejarah di atas banyak auta, “Brunei menjejah Sulu? ” Tahun bila? Saya sebagai orang Brunei memang sangat kecewa dengan penulisan ini. Terlalu berasaskan “Mengoreng semata-mata”

    1. Yusry Sulaiman

      Salam tuan ahmad terima kasih penilaian.nya.. ni apa yg saya rujuk beberapa buku seperti tarsilah dan buku awang hasbol. Saya melihat daripada brunei sentrik. Tetapi saya merujuk buku dan menulis apa yg saya faham.

    2. Yusry Sulaiman

      Saya hanya menulis apa yg saya faham dan rujuk. Kaedah dan pemahaman saya ialah brunei sentrik. Saya tulis apa yg saya sudah rujuk beberapa buku sepwrti tarsilah brunei, awang hasbol dan bagai. Kesultanan brunei mmg pernah menjajah beberapa kepualaub borneo dan kawasan filipina seperti sulu magindanao dan banyak lagi zaman sultan bolkiah lagi tuan.

Leave a Reply