WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
KENYATAAN RASMI CAHAYA SOCIETY

KENYATAAN RASMI CAHAYA SOCIETY

RESPON KEPADA KENYATAAN YB MENTERI PENDIDIKAN BERSANGKUT ISU KANAK-KANAK TANPA DOKUMEN DI SABAH

Merujuk kepada kenyataan YB Dr. Maszlee Malik (Menteri Pendidikan Malaysia) yang diterbitkan dalam Berita Harian pada 3 Oktober 2019 sempena sesi town hall bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor UMS.

Cahaya Society menyambut baik kesungguhan kerajaan dalam mendepani isu keciciran pendidikan dalam kalangan kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah. Namun ada beberapa hal yang perlu diteliti oleh kerajaan yang bertindak sebagai penggubal dan pelaksana polisi dan dasar dalam negara.

Pertama, menurut laporan United Nations Children’s Fund (Unicef) pada tahun 2015, lebih separuh daripada anggaran 2.6 juta bukan rakyat Malaysia (non-Malaysians) termasuk pelarian, orang tanpa dokumen, orang tanpa negara dan pekerja migran di Sabah. 451,900 orang daripadanya adalah kanak-kanak dan orang muda di bawah umur 19 tahun. Oleh itu, siapa kanak-kanak tanpa dokumen yang YB Dr. maksudkan dalam kenyataan bahawa kerajaan komited untuk memberikan mereka akses kepada sekolah? Hal ini tidak boleh diulas dengan cuplikan-cuplikan data melainkan perlu kepada klasifikasi dan angka yang konkrit di lapangan. Apabila YB Dr. mengatakan bahawa kanak-kanak akan mendapat hak bersekolah maka kami berpandangan bahawa isu kanak-kanak tanpa negara yang tidak bersekolah di Sabah adalah isu hak asasi manusia sebagaimana Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights [UDHR]) yang ditandatangani oleh Malaysia iaitu Perkara 26 dalam UDHR menyatakan bahawa setiap orang adalah berhak kepada pelajaran. Akses pendidikan adalah hak semua manusia.

Kedua, Sabah sedang berhadapan dengan isu kanak-kanak tanpa negara yang tiada akses pendidikan formal hatta asas pendidikan. Namun, kanak-kanak tanpa negara di Sabah sudah mula mendapat pendidikan asas atas usaha dan inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) yang terpanggil untuk menyahut panggilan advokasi dan mengurangi kadar buta huruf dalam kalangan kanak-kanak ini. Usaha 369 Alternative Learning Centre (ALCs) bersama kerajaan Indonesia untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak tanpa dokumen (Indonesia), 137 oleh Humana Child Aid Society Sabah untuk anak pekerja perladangan, Etania Schools, Madrasah Al Hikmah, 3 buah Sekolah Alternatif dan banyak lagi inisiatif advokasi pendidikan yang sedang digerakkan oleh aktivis dan gerakan akar umbi di seluruh Sabah. YB Dr. seharusnya membuat sebuah perbincangan khusus kepada para pemegang kepentingan (stakeholders) untuk memahami isu dan pendekatan sebenar di lapangan dan segala bentuk rekomendasi polisi oleh mereka.

Ketiga, kerajaan perlu memahami isu tanpa dokumentasi dan ketanpanegaraan di Sabah dengan mengambilkira faktor sejarah, sosio-budaya, dinamika politik, dan etnik yang plural di Sabah. Media hendaklah dihentikan daripada membuat “kempen benci” (demonizing) ke atas komuniti ini. Sekaligus, membezakan terma Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Orang Tanpa Dokumen, Orang Tanpa Negara, Pelarian dan Migran mengikut lunas perundangan.

Keempat, YB Dr. dan kerajaan negeri/persekutuan ditekankan agar mengambil pandangan daripada para pemegang kepentingan yang memposisikan diri mereka dalam isu ini. Sekiranya kerajaan masih belum mampu menangani isu ini secara tuntas atas faktor kelekangan data, kerajaan hendaklah membenarkan NGO untuk melaksanakan advokasi mereka dalam menyalurkan pendidikan asas kepada kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah. NGO tidak bermatlamat untuk bersaing dengan sekolah-sekolah kerajaan/formal melainkan untuk bersama-sama menjunjung slogan keramat yang sedang digembar-gemburkan oleh YB Dr. iaitu pendidikan untuk semua.

Asrin Utong
Koordinator Cahaya Society
4 Oktober 2019

 

Leave a Reply

Close Menu