WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Kenapa Sabah akan Terus Miskin?

Kenapa Sabah akan Terus Miskin?

Oleh: Jefry Musa

Baru-baru ini saya telah ditemubual oleh wartawan daripada Utusan Borneo sekitar permasalahan dokumentasi di Sabah. Dalam temubual itu saya ada menekankan bagaimana naratif masalah dokumentasi ini lebih tertumpu kepada perbincangan keselamatan daripada kesan kepada ekonomi, terutamanya pada tingkat gaji penduduk di Sabah.

Namun timbul sedikit rasa bimbang akan kenyataan saya itu ditafsir di luar konteks oleh pembaca di Sabah khususnya. Kerana boleh dan kerap terjadi apabila masalah-masalah yang timbul ini berakhir dengan menyalahkan komuniti ‘pendatang’ asing tanpa izin (PATI). Maka saya menulis artikel ini untuk menerangkan dengan lebih lengkap kenapa naratif ekonomi memberi kesan kepada majoriti penduduk Sabah.

Walaupun kaedah rasmi pengiraan statistik kemiskinan hari ini dikatakan tidak tepat dan cuba memanipulasi data untuk menyembunyikan gambaran kemiskinan yang sebenar. Namun Sabah masih mencatat rekod negeri yang paling miskin di Malaysia, iaitu 2.9% (2016), 7 kali ganda lebih tinggi daripada negeri kedua termiskin iaitu Sarawak, 0.4%.

Di sebalik angka kemiskinan yang menggila ini, terdapat satu data yang lebih mengejutkan saya iaitu purata harga rumah di Sabah. Saya menyedari masalah ini sekitar tahun 2016 ketika membantu kawan-kawan di Pulau Pinang menyelesaikan masalah perumahan di sana. Statistik terakhir daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta iaitu pada bulan November 2018, meletakkan Sabah pada negeri ketiga yang paling tinggi nilai purata harga rumahnya. Bagaimana negeri yang miskin secara ekstrim ini boleh menjual rumah dengan harga mengalahkan Pulau Pinang dan Johor?

Sudah tentu harga ini tidak terbeli oleh majoriti penduduk Sabah, data daripada Institute Rakyat menunjukkan Sabah merupakan negeri yang paling tinggi ketidakmampuan penduduk berpendapatan menengah mereka untuk membeli rumah. Persoalan ini terus bermain di fikiran saya, mustahil pemaju-pemaju perumahan berani untuk meletak harga yang tinggi pada negeri yang mengila miskin ini.

Saya mula menetap di Sabah pada tahun 2018, maka satu persatu persoalan saya terjawab. Ekonomi Sabah bergantung kepada sektor bahan mentah (petroleum dan pembalakan), peladangan dan pelancongan. Kekurangan penduduk (tenaga buruh) menyebabkan Sabah sejak dikenali sebagai Borneo Utara lagi mengambil banyak pekerja asing untuk mengerakkan ekonomi mereka (sila rujuk statistik rasmi, 70-80% sektor-sektor di Sabah memerlukan orang luar termasuk dari Semenanjung).

Perlunya satu tafsiran baru bagi pekerja asing di Sabah

Migrasi secara besar-besaran warga asing, pelarian dan orang asli (Bajau Laut) ke Sabah terutamanya pada lewat tahun 70-an memberi kesan kepada ekonomi Sabah hari ini. Kegagalan kerajaan untuk menguruskan kehadiran mereka menyebabkan masalah dokumentasi menjadi isu yang besar dan tidak tercapai lagi oleh sistem sedia ada. Pada tahun 2000 dianggarkan terdapat 624,000 pekerja asing dan hanya sekitar seratus ribu pekerja sahaja yang berdaftar.

Masalah dokumentasi ini menyebabkan timbul banyak perkampungan orang yang tidak berdokumen di Sabah dan kehadiran penempatan ini sudah lama di Sabah. Maka identiti bernegara juga menjadi persoalan untuk kita melabelkan mereka sebagai warga asing atau pekerja asing tanpa izin (PATI) sedangkan tiada dokumen rasmi yang boleh membuktikan atau menguruskan identiti bernegara mereka. Sehingga banyak kes yang akhirnya dikategorikan menjadi komuniti tanpa negara (stateless) kerana sudah bergenerasi di Sabah dan tidak diakui warga oleh mana-mana negara di muka bumi ini.

Keadaan ini sebenarnya akan membawa kepada satu lagi masalah yang lebih besar daripada tidak bernegara iaitu tidak beridentiti. Pemerhatian saya sepanjang di sini dapat melihat banyak kes menunjukkan ketidaktahuan identiti diri mereka seperti tarikh lahir, tempat tinggal, keluarga, budaya, sejarah dan lain-lain lagi. Maka masalah ini tidak lagi boleh dikatakan sebagai masalah kehadiran ‘orang asing’, ini sebenarnya sudah menjadi masalah kemanusiaan.

Rantaian kemiskinan yang akan berterusan

Kewujudan komuniti ini sebenarnya memberi satu manfaat yang sangat besar kepada ekonomi Sabah. Oleh kerana ketiadaan dokumen, mereka sanggup untuk bekerja dengan pendapatan yang sangat rendah. Sektor pembuatan (industri) di Sabah sekitar 7.3% daripada KDNK, menyebabkan peluang untuk pekerjaan berkemahiran tinggi tidak banyak ditawarkan. Maka, penduduk tempatan perlu untuk bersaing dengan komuniti ini pada purata gaji yang rendah. Akibat daripada persaingan ini statistik menunjukkan purata gaji golongan menengah di Sabah merupakan paling rendah di Malaysia.

Keadaan hidup penduduk Sabah yang serba kesusahan banyak dianggap berpunca daripada kehadiran ‘pekerja asing’ dan dikuatkan lagi dengan retorik-retorik pemimpin politik Sabah yang mengunakan ketakutan untuk meraih undi. Seolah-olah ‘pekerja asing’ merupakan komuniti yang paling banyak menerima manfaat dan mengambil kesempatan daripada kekayaan hasil bumi di Sabah. Sejauh manakah kebenaran ini? Berapa ramai pekerja asing yang menjadi kaya raya kerana bekerja di Sabah?

Di sebalik kemiskinan yang menggila ini, statistik menunjukkan jurang kekayaan antara orang miskin dan kaya di Sabah juga merupakan yang paling tinggi di Malaysia! Maksudnya apa? Orang yang paling mendapat manfaat daripada tanah ini bukannya warga asing, tetapi sebilangan kecil orang kaya Sabah sahaja.

Menyalahkan pekerja asing merupakan satu pekara yang mudah kerana komuniti ini dianggap penduduk kelas kedua, seperti menyalahkan hantu yang tidak mampu untuk membela dirinya. Namun ia tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa masalah selagi jurang kekayaan dan gaya hidup segelintir orang kaya di Sabah tidak diubah. Perlu satu tindakan yang segera bagi menghentikan eksploitasi pekerja-pekerja di Sabah untuk memutuskan rantaian kemiskinan yang menggila ini. Sebilangan kecil orang kaya inilah yang bertanggungjawab kepada kemiskinan yang menggila di Sabah hari ini. Mereka memberi upah yang sangat rendah kepada buruh-buruh di Sabah untuk memperoleh keuntungan yang maksimum. Hartanah, pemimpin politik, institusi- institusi kerajaan semuanya dikuasai oleh mereka.

Langkah kerajaan untuk memperkenalkan Pas Sementara Sosial (PSS) merupakan tindakan yang bagus. Namun ia masih tidak cukup untuk menampung jumlah pekerja tidak berdokumen di Sabah yang jauh lebih tinggi daripada kumpulan yang layak untuk mendapat PSS. PSS juga masih terperangkap dalam wacana-wacana politik dan keselamatan daripada manfaat dan kepentinganya kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah.

Leave a Reply

Close Menu