KENAPA MENCARI BORNEO DI SERDANG?

KENAPA MENCARI BORNEO DI SERDANG?

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Nurhuda Manshoor

Menghadiri International Conference of Natural Products 2019 (ICNP2019) pada Mac lalu seumpama memenuhi ritual tahunan bagi pengkaji-pengkaji bidang kimia sebatian semula jadi. Biarpun ianya acara tahunan, namun tetap istimewa bagi kami. Selain membentang hasil kajian, ia adalah platform di mana para pengkaji berjumpa, berbincang, belajar, berhujah, berkenalan dan berkolaborasi.

Seminar kali ini diadakan di Kuching, di pulau Borneo. Setiap tahun seminar ini mengumpulkan saintis dari seluruh dunia, negara maju dan membangun, pelbagai bangsa dan etnik, status kewarganegaraan, umur, gender dan warna kulit. Tetapi semua ini tidak relevan. Di dalam seminar ini, hanya kepakaran di dalam bidang kimia sahaja yang di ambil kira.

Setiap pembentangan disoal, dicabar, dihujahkan tanpa belas kasihan. Setiap yang hadir boleh mempersoalkan kesahihan keputusan kajian, kejituan analisis dan ketepatan hasil dapatan kajian. Kenapa? Kerana mereka mempunyai kepakaran di dalam bidang yang sama. Biar beratus atau beribu kajian yang dijalankan pada sampel yang pelbagai, teknologi yang berbeza, lokaliti yang berjauhan, ke atas subjek yang berlainan, ianya boleh difahami, di analisa dan dihujahkan oleh pengkaji lain.

Kajian sains adalah sejagat, tidak ada limitasi masa dan sempadan geografi. Satu dapatan dari kajian sains boleh sahaja dicabar, diuji dan disemak semula pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja oleh sesiapa sahaja yang berkepakaran. Kajian sains sosial pula lebih unik, lebih bersifat setempat, sesuku, dan ada kalanya berubah dengan masa.

Makanya apabila ada cubaan mencari Borneo di Serdang, tidaklah mengejutkan apabila pencari pulang dengan kekecewaan. Begitupun, saya melihat peristiwa ini sebagai satu perkembangan yang baik.

Pertamanya, ada seseorang yang bersungguh-sungguh mencari Borneonya, apabila tidak dijumpai, beliau tidaklah menangis-nangis dan meratap. Sebaliknya pulang dengan semangat untuk mengangkat Borneonya, membawanya ke muka keilmuan, agar semua orang tahu wujudnya sejarah dan ketamadunan pada Borneonya, supaya di masa akan datang tidak lagi perlu tercari-cari.

Keduanya, tidak ada orang yang tidak tahu-menahu tentang Borneo cuba untuk memperkatakan tentangnya dari pandangan jauh. Tidak cuba menganalisa keadaan di Borneo dengan teropong merentasi lautan dan banjaran gunung, sedang kaki mereka berpijak di bumi Malaya.

Saya tidak ada pengalaman di dalam kajian bidang sains sosial, jadi saya akan memperkatakan sedikit sahaja tentang pengamatan saya terhadap praktik kajian bidang ini. Seringkali apabila saya menerima ‘questionaire’, soalan kaji selidik oleh pelajar pasca siswazah atau pengkaji bidang sains sosial, saya tertanya-tanya keabsahan dapatan kajian yang mereka hasilkan nanti.

Bukan sahaja pengkaji tidak bertemu muka dengan subjek kajiannya, soalan yang ditanya juga kadangkala diragukan relevansinya terhadap kajian. Tambahan pula, mungkin untuk memudahkan analisis data menggunakan platform statistik SPSS, soalan seringkali dalam bentuk pelbagai pilihan (multiple-choice question) di mana subjek perlu memilih jawapan dari pilihan yang diberi sahaja. Sedangkan hasil kajian akan digunakan untuk menilai keadaan sosial masyarakat yang dikaji agar boleh digubal dasar untuk menangani permasalahan mereka.

Seorang pengkaji sosial perlulah memahami dan mendalami keadaan, kehidupan, kepercayaan, sentimen dan sensitiviti subjek yang dikajinya. Menghantar borang kaji selidik secara rambang sebegini tidak akan memberi jawapan kepada persoalan sebenar. Saya percaya pengkaji sains sosial perlu dekat dengan masyarakat yang dikaji, tinggal bersama mereka di situ, bercakap dengan mereka, mendengar cerita mereka, memahami pola pemikiran mereka, kepercayaan mereka, kebudayaan dan kesenian nenek moyang mereka.

Saya kira orang yang paling layak untuk mengkaji Borneo ialah mereka yang tinggal di sana, yang bercakap dengan bahasanya, yang menghirup udara gunungnya, yang bersaksi dengan matanya. Borneo yang sarat dengan sejarah, kesenian dan kebudayaan seumpama lubuk emas bagi pengkaji. Seratus tahun dari sekarang pun tidak akan habis untuk dikaji dan dianalisa.

Ketika Universiti Malaysia Sabah menubuhkan Sekolah Seni (sekarang Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan), bersinar mata saya membayangkan betapa banyak kajian unik dan menarik yang boleh dibuat oleh pengkajinya. Pilih saja satu suku kaum, boleh dikaji bahasanya, tulisannya, pakaiannya, seni binanya, muzik, lagu, motif-motif perlambangan seni mereka dan banyak lagi. Dan Sabah mempunyai berpuluh-puluh suku kaum, dipecahkan pula kepada kumpulan-kumpulan etnik! Kekayaan seumpama ini tidak terdapat di mana-mana tempat lain di dunia ini.

Apabila Prof Ahmat Adam (seorang non-Bornean) membuka Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), ia membuka seluas-luas peluang untuk mengkaji peradaban dan ketamadunan di Sabah. Selain bahasa Inggeris, pusat ini turut menawarkan kursus bahasa Perancis, Sepanyol, Arab dan Mandarin (pada masa itu). Tidak pula kedapatan kursus bahasa-bahasa tempatan; Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Orang Sungai dan sebagainya. Sekiranya bahasa-bahasa ini tidak diangkat di sini, di mana lagi di dunia ini bahasa ini akan dibicarakan?

Bukanlah bermakna beban pengkajian tentang Borneo hanya tergalas oleh pengkaji di universiti Sabah dan Sarawak sahaja. Terdapat manuskrip tentang pengetahuan etnobotani masyarakat Borneo di Universiti Malaya. Saya percaya di universiti-universiti lain juga. Tetapi kajian ini juga dilakukan oleh orang-orang berasal dari Borneo yang pernah belajar di sana. Pengetahuan sains sosial tidak boleh lari dari pemerhatian dan pengalaman bersama masyarakat setempat. Tidak boleh diambil dan dibawa ke makmal untuk diuji dan di analisa secara terpisah dari masyarakat.

Borneo tentu sekali tidak mahu sejarah bangsanya ditulis berdasarkan persepsi, oleh orang yang tidak menghayati secara mendalam tentang masyarakatnya. Saya percaya dengan kekayaan kepelbagaian dan peradaban di Borneo, pengkaji-pengkaji yang cintakan keilmuan, masyarakat yang cintakan kedamaian, bangsa Borneo akan diangkat di dalam sejarah sebagai satu bangsa yang memiliki ketamadunan yang tinggi.

Leave a Reply