Kenali Borneo: Sungai Kinabatangan

Kenali Borneo: Sungai Kinabatangan

  • Post category:Sabah

­
Oleh : Yeyen Khoo

Sungai Kinabatangan terletak 72 kilometer dari Sandakan, pusat bandar utama. Ia merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia selepas sungai Rajang di Sarawak. Panorama sekeliling sungai kelihatan  begitu indah ditambah lagi dengan adanya biodiversiti yang pelbagai.

Sungai Kinabatangan merupakan salah satu daripada lokasi dunia yang didiami oleh primat terbanyak, iaitu sebanyak 10 jenis yang berbeza termasuk primat endemik yang hanya wujud di Kepulauan Borneo iaitu Orang Utan, Gibon Borneo dan Probosis Monkey.

Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis burung yang berterbangan bebas dalam kawanan seperti burung layang-layang, atau terbang secara solo termasuk dua spesies berbeza burung Raja Udang, Murai dan beberapa ekor burung Helang.

Memandangkan tempat tersebut sering menjadi tumpuan para pelancong luar negara, maka berselisih dengan bot pelancong merupakan perkara biasa. Semuanya membawa pelancong asing, kebanyakan daripada mereka pelancong dari Amerika, China  atau Jepun. Selalunya mereka akan menginap di chalet sekitar sungai Kinabatangan Hilir itu. Terdapat juga pelancong yang hanya singgah dan melihat panorama Sungai Kinabatangan dari pinggir namun menginap di tempat lain.

Sekiranya nasib pelancong baik, pelancong bukan saja diujakan dengan pemandangan senja jingga yang amat indah tetapi juga buaya yang kira-kira 1.5 meter panjangnya. Haiwan ini selalunya akan berehat di atas beting pasir berhampiran kawasan tebing sungai yang dipenuhi rumput.

Menyusuri sungai pada waktu pagi berkemungkinan memberi peluang melihat spesies haiwan yang berbeza berbanding pemandangan pada waktu petang.

Suasana pada awal pagi amat hening, dingin dan berkabus sepanjang sungai. Namun kabus ini tidak akan menghalang penglihatan untuk menyaksikan pelbagai hidupan liar termasuk primat Probosis dan Macaque, serta burung seperti Enggang, Bangau dan Raja Udang.

Nyata kekayaan biodiversiti sungai Kinabatangan sangat menakjubkan, termasuk pemandangan berwarna-warni dari puluhan rama-rama pelbagai spesies dengan saiz daripada sebesar syiling lima sen sehingga sebesar tapak tangan yang tidak pernah pelancong lihat sebelum ini.

Terdapat juga spesies mamalia terancam di kawasan sungai Kinabatangan, ia amat popular dan sering menjadi tumpuan utama selain sungai Kinabatangan sendiri iaitu gajah pigmy. Gajah pigmy terlalu sukar untuk dijumpai kerana pada waktu-waktu tertentu sahaja ia akan keluar untuk meneguk air sungai.

Keunikan Sungai Kinabatangan bukan hanya dilihat pada sungainya sahaja namun kewujudan biodiversitinya menjadikan ia sebagai sebuah pusat pelancongan utama bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat global.

Sungai Kinabatangan merupakan tempat yang paling sesuai bagi jiwa-jiwa pencinta alam flora dan fauna. Selamat bersantai di Kinabatangan.

Leave a Reply