WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Kelemahan Sistem Pengasingan Kuasa

Kelemahan Sistem Pengasingan Kuasa

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Dalam filem Ford v Ferrari, apabila pasukan perlumbaan Ford tewas pada siri perlumbaan kereta di Le Mans, Perancis pada tahun 1965, Henry Ford II memanggil Carroll Shelby (ketua pasukan perlumbaan yang bertanggungjawab membina kereta lumba Ford dan dilakonkan oleh Matt Damon) untuk bertanya kenapa beliau tidak perlu memecat beliau bersama seluruh pasukannya atas kekalahan yang memalukan di Le Mans. Shelby dalam hujahnya memberitahu bagaimana birokrasi dalam Ford menyebabkan pasukannya kalah, kommiti yang tidak berkerja di lapangan dan tidak tahu situasi sebenar diberi kuasa untuk menentukan pemilihan pemandu yang akhirnya membuatkan pasukan Ford tewas. Babak ini merupakan babak yang signifikan dalam memahami bahawa corak pengurusan berbentuk birokrasi, pengasingan dan perkongsian kuasa, akan gagal dalam memenangi peperangan.

Hari ini kita menyaksikan Homo sapiens (menggunakan terma Yuval Noah Harari untuk manusia) sedang berperang dengan Corona virus baharu yang dinamakan COVID-19. Siri perang kali ini menguji bagaimana sistem-sistem pentadbiran di seluruh dunia menguruskan sumber mereka.

Dalam episod Last Week Tonight pada 29 Mac 2020 oleh John Oliver, beliau membangkitkan bagaimana lemahnya sistem pentadbiran Amerika untuk menghadapi perang melawan pandemik yang sedang viral ke seluruh dunia ini. Falsafah barat yang begitu mengagungkan mengagihan kuasa menyaksikan satu bentuk pemerintahan yang tidak efisien dalam mengurus situasi bahaya.

Buku Fareed Zakaria sangat menarik dibaca dalam memahami kelemahan sistem demokrasi, keadaan ini disebut sebagai “too much democracy”. Oliver membangkitkan bagaimana kuasa untuk mengistiharkan perintah berkurung tidak berada di tangan presiden, tetapi gabenor bagi setiap state. Sementara ada gabenor yang mengambil serius dan mengenakan perintah berkurung, ada segelintir gabenor yang masih mengira untung rugi ekonomi dan tidak menguatkuasakan perintah berkurung, hal ini menjadikan situasi bertambah teruk.

Oleh kerana kerajaan yang tidak berpusat, pengurusan kesihatan juga tidak diuruskan dengan efisyen. Oliver membangkitkan bagaimana setiap state berlawan sesama sendiri dalam “price bidding” untuk mendapatkan alatan kesihatan dari syarikat-syarikat bagi menguruskan wabak di setiap state masing-masing. Di sini kita melihat satu dilema, adakah nilai Barat berkenaan “pengasingan kuasa” yang bersifat abstrak itu lebih penting atau nyawa manusia yang real itu lebih penting?

Yang terbaru, dalam keadaan Amerika yang terdesak, price bidding ini telah merebak ke skala internasional, pemimpin-pemimpin Eropah mengutuk tindak tanduk Amerika membeli barangan keperluan kesihatan yang dalam perjalanan ke Eropah. Amerika menawarkan harga hingga 3 kali ganda untuk memastikan mereka mendapat bekalan yang diperlukan.

Semasa China, sebuah negara authoritarian menguatkuasakan perintah berkurung untuk melawan wabak yang sama, media-media liberal barat seperti The Washington Post, Slate, dan The Atlantic mengejek mereka sebagai authoritarianism, tidak beretika serta melanggar hak asasi manusia. Tetapi China membuktikan mereka begitu efisyen mengawal penyebaran wabak. Hari ini ketika graf kes di Amerika dan negara-negara Eropah menaik, China menunjukkan graf yang mendatar.

China segera membendung kritikan, agar usaha bersama dapat digerakkan, tenaga dapat difokuskan untuk bekerja melawan wabak dari dihabiskan berdebat dan menjawab kritikan. Malah kelengkapan kesihatan begitu efisien disalurkan kepada kawasan yang teruk terjejas. Doktor dan jururawat diterbangkan dari serata China ke kawasan yang terjejas bagi meringankan beban petugas kesihatan, malah hospital baru khas dibina dalam masa yang singkat. China tiada masa berdebat tentang hak asasi manusia ketika masa kritikal, atau berfikir tentang soal pengagihan kuasa. Akhirnya China berjaya jauh lebih baik dari Amerika dalam menguruskan situasi wabak yang genting ini, sementara Amerika masih berdebat perihal nilai abstrak, dan mengira untung rugi ekonomi, dalam masa yang sama mengabaikan langkah-langkah pencegahan kritikal, dan kini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk mendapatkan bekalan perubatan.

Apabila kita membaca tesis Francis Fukuyama yang mengatakan liberal demokrasi merupakan sistem yang telah sempurna, dan tidak ada lagi idea sistem pemerintahan yang lebih baik yang akan dapat difikirkan manusia, Fukuyama mengatakan kesempurnaan liberal demokrasi sebagai “berakhirnya sejarah”, kita tertanya-tanya benarkah tesis ini? Sistem pengurusan wabak Corona seperti membuktikan sebaliknya, bagaimana negara-negara demokrasi liberal gagal memastikan pengurusan mereka kekal efisien dalam memerangi wabak yang begitu pantas meragut nyawa-nyawa manusia. Akhirnya, mungkin kita boleh bertanya. Apa gunanya nilai abstrak seperti pengasingan kuasa dan demokrasi liberal serta kiraan untung rugi ekonomi jika semua manusia mati?

Mungkin sudah tiba masanya kita berfikir semula perihal sistem yang “telah sempurna” seperti yang dikatakan oleh Fukuyama itu, terutamanya ketika masa-masa kritikal, perlu ada over-flow valve atau exception to the rule dimana sistem pemerintahan peringkat nasional hatta internasional, diselaras dan dipusatkan agar lebih efisien. Ketika perang kita tidak perlu nilai abstrak dan perlu mengejar masa untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Leave a Reply

Close Menu