SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
Kelahiran Kesusasteraan Melayu

Kelahiran Kesusasteraan Melayu

Oleh : Yeyen Khoo

Bermula dari tahun 1920-an hingga 1940-an, bilangan pengarang dengan perspektif radikal berbanding novel-novel Melayu yang konvensional meningkat. Pemilihan teknik-teknik penulisan dan tema yang baru muncul dalam sejarah Melayu Sastera (Jilid II, 1992) telah mengklasifikasikan ia kepada dua peringkat iaitu peringkat sebelum Merdeka yang merangkumi karya-karya dari tahun 1946-1950-an dan selepas kemerdekaan dari tahun 1960-an-1970-an. Era pertama bermula dari tahun 1946-1949 selepas Perang Dunia Kedua telah menyaksikan penyatuan masyarakat Melayu dengan diselimuti semangat kebangsaan yang sangat kuat melalui kemerdekaan.

Badan Sastera pertama bagi penulis-penulis di Malaysia adalah ‘Sahabat Pena’ (1934) yang telah dipelopori oleh Jymy Asmara. Penyatuan ini menjadi lebih kuat pada tahun 1950-an selepas mereka membentuk ASAS50 yang menulis secara eksklusif dalam Bahasa Melayu. Ramai penulis lama yang terlibat dalam ASAS50 seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Ahmad Murad Nasaruddin dan Ahmad Bakhtiar dari zaman pra-merdeka dan diikuti dengan kemunculan penulis-penulis baru seperti Keris Mas, Ahmad Lutfi, Wijaya Mala dan Adibah Amin telah mewarnai dunia sastera pada waktu tersebut.

Pemilihan tema novel Melayu pada masa tersebut sangat dipengaruhi oleh isu-isu sosial dan politik yang timbul sebelum dan selepas pengunduran penjajahan dalam pembentukan Malaysia. Ekoran daripada pergolakan politik yang berlaku pada waktu itu, dunia sastera juga telah mengalami perubahan konteks terutamanya dari aspek penulisan seperti timbul pelbagai bahasa dan gaya yang berbeza malah tema tulisan juga lebih kepada perjuangan dalam mencari identiti sebuah Negara baru.

Selepas merdeka sekitar tahun 1960-an, perkembangan pengarangan juga telah mengalami perubahan di mana peranan Bahasa Melayu telah dipegang oleh  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 bagi memastikan Bahasa Melayu menjadi teras utama dalam pembangunan sastera dan bahasa di Malaysia. Perubahan dalam penulisan ini dipengaruhi oleh perubahan kerajaan, politik, hubungan kaum, pergolakan ekonomi, pembaharuan sosial dan pendidikan. Pergolakan ini telah melahirkan pengarang-pengarang seperti A. Samad Said, Ruhi Hayat, S. Othman Kelantan dan Shahnon Ahmad, yang lebih mengutamakan genre-genre yang melibatkan kehidupan realiti masyarakat pada waktu itu seperti tema dan isu kemiskinan, rasuah, politik, ketidakadilan, perkauman yang jelas dan terang dijadikan sebahagian dalam perbincangan kisah-kisah novel mereka dan akhirnya menarik perhatian sehingga ke peringkat antarabangsa.

Abdullah Hussain (1969), dalam artikel beliau Pasang Surut Novel-Novel Melayu, mengatakan bahawa genre Kesusasteraan Melayu sekitar tahun 70-an telah mengalami kemerosotan. Semakin banyak penerbit yang tidak sanggup untuk menerbitkan manuskrip, kurangnya penghayatan kepada penulisan-penulisan novel Melayu yang kritikal dan kekurangan pembaca. Ditambah lagi dengan pandangan A. Rahim Abdullah dan Safian Hussain yang mengandaikan bahawa tahun 70-an merupakan dekad yang paling penting dalam perkembangan novel-novel Melayu. Dalam artikel mereka iaitu  Perkembangan Novel-Novel Melayu pada tahun 1970-an dan 1980-an, Rahim dan Safian telah menekankan perubahan dalam teknik penulisan dan ekspresi kreatif yang telah digunakan oleh Shahnon Ahmad dalam novel-novel beliau seperti Shit (1999), Tok Guru (1988) dan Tikus Rahmat (1963). Gaya kreatif yang melibatkan isu-isu sensitif politik telah ditonjolkan melalui elemen-elemen penulisan seperti alegori, watak dan latar tempat yang lebih berbentuk realism dalam era pasca-merdeka tahun 60-an.

Selepas era 70-an, ketika perubahan gaya penulisan bergantung dengan keadaan realiti masyarakat, ia telah membawa kepada satu perubahan dan perkembangan dunia Kesusasteraan Melayu dari tahun 80-an sehingga ke hari ini yang mana telah membenarkan secara bebas penerbit-penerbit alternatif seperti Dubook, Fixi, Legend Press dan lain-lain yang tumbuh pada era millennial ini.

Leave a Reply

Close Menu