WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Kegagalan yang Paling Besar Manusia: Bukan Menyusun, tetapi Membaca (Iqra’)!

Kegagalan yang Paling Besar Manusia: Bukan Menyusun, tetapi Membaca (Iqra’)!

Oleh: Jefry Musa

Perbincangan ini aku fikir semakin tidak mempunyai arah. Aku mendakwa aktivis meromantisme makna ‘demokrasi’, hujah ini dibalas dengan mendakwa aku terlalu idealis. Sedangkan romantisme dan idealis itu adalah dua sifat yang sama – mengkhayalkan dan seronok.

Aku mengingatkan jangan meremehkan peranan pihak-pihak yang lain, aku pula dituduh meremehkan peranan artis. Sebenarnya artis ini (yang dibandingkan dengan peranan pekerja sosial) juga akhirnya percaya dan mengharap pada penyelesaian daripada atas atau political will (rujuk pembentangannya tentang stateless di TedxUTAR). Sebab itu aku kata ‘tidak perlu’, sebab akan nampak terlalu banyak kontradik pada kepercayaan sendiri apabila membawa masuk ke dalam pembincangan ini, bukan meremehkan.

Betul bahawa mobilisasi itu perlu dari bawah, mengukuhkan barisan dari bawah, mencerahkan itu penting– itu telah dinyatakan pada tulisan aku sebelum ini. Aku sendiri mengamalkannya ketika ikut memobilisasi komuniti-komuniti terpinggir di Pulau Pinang, jadi ia bukanlah sesuatu yang baru atau asing. Tiada orang menafikan peranan ini, kita sama-sama setuju walaupun diulang-ulang seribu kali.

Betul juga mobilisasi boleh dikatakan sama dengan sebuah pasukan bola sepak. Tapi mengenal siapa musuh di dalam bola sepak dan kerajaan tidak sama kerana peranan dan kepentingan kerajaan yang menentukan kejayaan mendokumentasikan stateless. Tanpa kerajaan, kita tidak boleh bahkan mustahil dapat memasukkan bola ke dalam gawang. Bahaya jika mantra ‘kenal siapa musuh kita’ digunakan tanpa ada penilaian kritis.

Sikap ini yang aktivis celaru dan tak dijawab-jawab sehingga kini.

PERANAN MOBILISASI DARI ATAS (penggubal dasar/kerajaan/politikus/orang berkepentingan/pemain ekonomi). Jika tiada yang memainkan peranan ini, pasti akan sentiasa berlaku jurang yang besar di antara aktivis-aktivis di lapangan dan kelompok di atas singgahsana. Jurang ini menyebabkan kegagalan Pas Sementara Sabah (PSS) sebenarnya, bukan disebabkan ‘alasan’ keputusan undian di Kimanis. Jika membina analisis dan mengingatkan tentang perkara ini dituduh gagal, kecewa dan ‘IDEALIS’,

Lucu, selalunya inilah yang dituduh oleh seorang realis.

Sebagai seorang ‘textual’, wajib faham tentang konteks sesuatu perkara itu ditulis atau diucap. Aku tidak mahu bercakap panjang sebelum ini tentang Zizek kerana berhujah dengan orang yang tidak membacanya tapi mahu berbahas tentangnya dan kini claim ada yang kalah ini bahaya. Apa reaksi orang ‘textual’ apabila berhadapan dengan orang yang berhujah tentang teks yang tak dibacapun olehnya?

Lucu, bukan?

Konteks yang diucapkan oleh Zizek adalah konsep pemerintahan kerajaan (totalitarianisme) bukan mahu menghina atau membodohkan 99% orang. Pada tulisan pertama lagi aku sudah tegaskan apa konteks dan persoalan Zizek ketika mengucapkannya — Adakah seorang manusia mahu tahu, buat dan mengawal semua benda? Ini bukan soal berbahas pada sudut pandang berbeza, ramai sahaja pengkritik Zizek di dalam dunia ini (boleh Google). Masalahnya, kita langsung tidak berbahas pada subjek yang sepatutnya. Jika ini tidak dikatakan naif,

Mungkin lucu.

Aku sedar terma pekerja sosial banyak digunakan dengan menggambarkan ramai yang gagal (menghina/mengejek/meremehkan). PSS pun bukan dibawa atau dilobi oleh pekerja sosial. Aku, pekerja sosial yang terlatih tidak nampak di mana dan berapa ramainya pekerja sosial yang gagal/kecewa itu. Mungkin perlu dinyatakan contoh lebih spesifik, sebab memukul rata dengan menggunakan perkataan seperti ‘ramai’ atau ‘banyak’ sangat bahaya dan selalu digunakan mengukuhkan hujah yang tahyul,

Tidak lucu.

Perbahasan pada isu dokumentasi ini akan celaru jika hanya berpusing pada siapa gagal dan berjaya. Siapa dalam dunia ini boleh hadir berkata bahawa dia berjaya? Atau dengan yakin akan berjaya? Masalah ini masih ada, masih ramai yang tiada hak, orang ramai masih perlu menyumbang beratus ribu ringgit untuk isu ini. Situasi seperti ini sebenarnya merisaukan aku. Gerak kerja kita bukan lagi mahu menyelesaikan masalah tapi lebih kerja cuba membuktikan kelompok yang tidak sama dengan pendekatan kita adalah gagal/idealis/kecewa/perkerja sosial/kalah dll (diulang banyak kali),

Serius.

Bahaya jika seseorang terus bermain-main dengan sikap seperti ini. Inilah sebenarnya ‘meremehkan kerja dan merendahkan kerja orang lain’, jika ini dikatakan mahu ‘menyekolahkan’, maka aku setuju. Walaupun diulang banyak kali pada ‘peranan masing-masing’, tapi sikap yang ditunjukkan sebaliknya. Termasuk sikap berhadapan dengan isu PSS, diam (umum) ketika diusahakan, hadir mengkritik dan menyalahkan sana sini ketika ia telah pun dibatalkan.

Ini adalah tulisan terakhir dari aku kerana sudah terlalu melencong jauh daripada isu PSS kepada prinsip-prinsip yang ‘kita sebenarnya semua’ setuju. Jika ada yang mahu membalas tulisan ini (tidak semestinya Mukmin), harap dapat menjawab persoalan yang dibiarkan tergantung sejak awal tulisan aku lagi,

Adakah peranan mobilisasi dari atas tidak penting?

Apakah reaksi dan sikap kita pada pendekatan ini?

Dan,

Adakah itu yang dikatakan sebagai idealis yang gagal?

Leave a Reply

Close Menu