Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak

Jangkitan Cacing Pada Kanak-Kanak

Oleh: Nur Huda

Jangkitan cacing adalah masalah kesihatan yang paling selalu dialami oleh kanak-kanak yang tinggal di persekitaran kemiskinan yang melampau. Cacing yang menjadikan manusia sebagai perumah ini bukan sahaja menjangkiti kanak-kanak di negara membangun dan mundur, malah juga dikesan pada kanak-kanak miskin dan gelandangan di negara maju.

Jangkitan cacing, sekiranya tidak ditangani akan berterusan menjejaskan kesihatan kanak-kanak. Cacing boleh hidup di dalam badan perumah selama bertahun-tahun, makan, bertelur, membiak dan terus bertambah di dalam usus.

Simptom yang paling biasa ditunjukkan di dalam media massa ialah kanak-kanak yang mengalami kekacingan bertubuh kurus dan berperut buncit. Simptom seperti ini memang boleh berlaku kepada kanak-kanak yang mengalami malnutrisi yang teruk, ditambah dengan jangkitan cacing. Hakikatnya ramai kanak-kanak yang kelihatan normal tetapi sebenarnya mengalami kecacingan. Kanak-kanak ini mengalami kembung perut, sembelit, cirit-birit, muntah dan sakit perut berulang-ulang tanpa sebab-sebab yang jelas. Ada yang mengalami masalah kulit seperti gatal dan ruam. Dalam sesetengah kes, pesakit mengalami masalah tidur, keresahan dan hilang fokus. Dalam kes kecacingan yang teruk, kanak-kanak kelihatan pucat, lemah, hilang selera makan dan menunjukkan tanda-tanda anemia.

Jangkitan cacing biasanya tidak berakhir dengan kematian, tetapi memberi kesan jangka panjang kepada kanak-kanak. Selain memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan fizikal, perkembangan minda kanak-kanak juga akan terjejas.

Cacing yang menjangkiti usus memakan makanan dan nutrien yang masuk ke dalam perut, menyebabkan kanak-kanak mengalami malnutrisi. Jangkitan berpanjangan boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami anemia. Kehadiran cacing yang terlalu banyak di dalam usus boleh menyebabkan usus tersumbat, menghalang pergerakan najis dan jika dibiarkan, boleh menyebabkan sembelit yang teruk dan selalunya memerlukan pembedahan.

Pembedahan mengeluarkan cacing dari usus yang tersumbat.
(Gambar dari mediamalaya.com)

 

Disebabkan mengalami malnutrisi dan anemia, kanak-kanak yang dijangkiti cacing selalu menghadapi masalah pembelajaran di sekolah. Mereka selalu mengalami kelesuan dan sukar memberi tumpuan di dalam kelas. Jangkitan berpanjangan yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerencatan kognitif yang kekal. Bukan sahaja tidak dapat menguasai pembelajaran, malah apabila dewasa, mereka tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik di tempat kerja.

Cacing juga boleh menembusi dinding usus dan bergerak ke organ lain seperti otak, mata dan hati. Jangkitan pada organ lain menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius. Kanak-kanak boleh mengalami sawan, radang selaput otak dan jaundis.

Cacing juga boleh menjangkiti mata.

 

Jenis cacing yang biasa menjangkiti kanak-kanak di Malaysia ialah cacing gelang, cacing rambu, cacing kerawit dan cacing cangkuk. Cacing-cacing ini ada yang bersaiz sangat kecil dan ada yang sederhana panjang. Jangka hayatnya juga ada pendek, tetapi ia mampu bertelur dengan banyak dan membiak pantas. Selain itu, terdapat juga cacing pita yang boleh hidup selama bertahun-tahun dan boleh membesar mencapai saiz sehingga berbelas meter panjang.

Kebanyakan cacing yang menjangkiti manusia hanya boleh hidup di dalam perumah. Apabila dikeluarkan melalui najis, ia akan mati, tetapi telurnya boleh berada di luar selama bertahun-tahun dan sukar  termusnah walaupun pada persekitaran ekstrim seperti kelembapan yang tinggi atau suhu yang melampau.

Jangkitan cacing berlaku apabila kanak-kanak memakan makanan yang tercemar oleh najis manusia atau haiwan yang mengandungi telur cacing. Penyedia makanan yang tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas boleh mencemarkan makanan yang disediakan. Hasil tanaman seperti sayur sayuran yang tidak dibasuh dengan bersih kemungkinan terdapat telur cacing yang melekat padanya. Produk daging, ayam dan ikan yang tidak dimasak sempurna mungkin mengandungi cacing pita.

Di kawasan di mana sistem kumbahan tidak dirawat dengan baik, telur cacing boleh mencemari tanah dan bekalan air. Kanak-kanak yang tidak memakai kasut boleh dijangkiti apabila telur cacing menembusi kulitnya melalui luka pada kaki. Haiwan peliharaan yang dijangkiti cacing juga boleh memindahkan jangkitan kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak tidak memerlukan pengawasan yang ketat untuk mengelakkan berlakunya jangkitan. Dengan penerangan dan tunjuk ajar, kanak-kanak boleh menghindar jangkitan dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan mudah. Kanak-kanak perlu diajar cara mencuci tangan dengan sempurna setiap kali keluar dari tandas, sebelum dan selepas makan. Mereka juga perlu diingatkan untuk sentiasa memastikan kuku dipotong pendek. Jika menggunakan tandas awam, mangkuk tandas perlu dibersihkan sebelum duduk di atasnya.

Jangkitan cacing, walaupun kedengaran menakutkan, namun ianya mudah dirawat dan jarang sekali terdapat kesan sampingan dari ubat-ubatan untuk kecacingan. Biasanya hanya sejenis ubat cacing sahaja yang perlu diambil untuk membunuh semua jenis cacing, bukan sahaja di dalam usus tetapi juga pada organ-organ lain. Ubat cacing selalunya diberikan secara berkala setiap enam bulan atau setahun sekali, bergantung kepada kekerapan jangkitan berlaku.

Selain kanak-kanak, ibu bapa dan orang dewasa juga perlu mengambil ubat cacing sekiranya tinggal di persekitaran tercemar, tidak mendapat bekalan air bersih atau mengamalkan gaya hidup berisiko seperti memakan makanan mentah. Haiwan peliharaan juga perlu diberi rawatan kecacingan secara berkala selain memastikan bulu dan tapak kakinya sentiasa bersih.

Leave a Reply