SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
Islam & Teori Evolusi Darwin
gambar dari pulseheadline.com

Islam & Teori Evolusi Darwin

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Saya masih ingat ketika masih di sekolah, ada satu buku yang ditulis oleh Harun Yahya yang begitu memberi kesan kepada pemikiran saya. Buku tersebut, The Disasters Darwinism Brought to Humanity mengisarkan berkenaan dengan bencana yang dibawa oleh Darwinisme kepada kemanusiaan. Bagaimana Darwinisme menyuburkan pemikiran ateisme yang melahirkan ideolog seperti Stalin dimana pemerintahannya membawa penderitaan dan kematian kepada jutaan manusia. Buku ini merupakan introduksi saya kepada Darwinisme, namun sehigga hari ini saya tidak pernah membaca buku Darwin asal The Origin of Species, saya ada membelinya baru-baru ini namun belum sempat membacanya.

Sepanjang zaman universiti, saya juga sering mengikuti debat muslim-ateist, namun beberapa ketika saya meninggalkannya kerana biasanya ia akan berakhir dengan “you cannot prove that God exist and I cannot prove that God does not exist”. Namun selepas zaman universiti, minat saya berkenaan dengan subjek ini kembali menggeluti jiwa apabila membaca buku-buku yang ditulis oleh pelopor gerakan the new atheist, Richard Dawkins, antara buku beliau yang saya baca adalah The Selfish Gene dan The God Delusion. Ada juga rakan-rakan yang terkejut dan menasihati saya dari berhenti membaca. Ketika membaca buku Dr. Asri Zainal Abidin (MAZA) yang bertajuk Aku Ingin Kembara Lagi baru saya tahu bahawa beliau juga membaca buku Dawkins.

Beberapa bulan ini, saya kembali semula menggeluti subjek ini melalui siri debat Subboor Ahmad di Speaker Corner selepas video-video beliau dikongsikan kepada saya oleh seorang teman rapat. Antara siri debat beliau yang menarik (mungkin kerana audio yang lebih jelas) adalah perdebatan beliau dengan Professor Jeremy Pritchard. Perdebatan itu bertajuk “Adakah Evolusi Mengugat Tuhan?”, namun ia menjadi lebih kepada perbincangan dari perdebatan apabila Prof. Pritchard dari awal menyatakan pendiriannya bahawa evolusi tidak menggugat tuhan. Mendengar pendirian beliau ini, saya teringat soalan yang pernah ditanya kepada Reza Aslan, adakah sains akan menjadikan agama tidak relevan? Reza Aslan membawakan kisah bagaimana sains membuktikan bahawa bumi mengorbit matahari (teori helio-centrism) yang berbeza dengan teori matahari mengorbit bumi (teori geo-centrism) yang disokong kuat oleh Gereja Kristian pada satu ketika dahulu. Pembuktian ini tidak menjadikan agama Kristian pupus, sebaliknya berlaku penafsiran semula teks agama dan Kristian kekal ada hingga ke hari ini.

Pritchard mengisahkan mengapa masyarakat dahulu menolak evolusi, kerana evolusi membawa naratif perubahan, sementara golongan elit pada ketika itu yang mendapat manfaat dari sistem hiraki sosial tidak mahu konsep perubahan ini kerana ia akan menggugat kedudukan mereka. Pritchard membawakan kata-kata dari Thomas Aquinas bahawa Tuhan hanya boleh difahami melalui wahyu bukan dari pemerhatian terhadap alam. Subboor pula membawakan perspektif bahawa pengkajian evolusi biologi merupakan satu pengkajian yang neutral dari sebarang unsur metafizik, dalam kata lain ia merupakan pengkajian yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah objektif seperti kesihatan bukan untuk penyebaran fahaman ateis.

Teori evolusi Darwin membawa dua andaian, andaian pertama adalah semua kehidupan bermula dari satu permulaan yang sama, mereka berubah dari moyang yang sama (common ancestor). Andaian kedua adalah perubahan ini berlaku melalui satu mekanisma yang dipanggil pemilihan semulajadi (natural selection) juga sering disebut sebagai survival of the fittest. Subboor menjelaskan bahawa posisi beliau adalah teori evolusi adalah subjek-subjek sains yang valid sebagai satu teori dan perspektif kajian. Beliau kemudian mengkritik penulisan saintis seperti Yuval Noah Harari dan Richard Dawkins yang menggunakan teori Darwin untuk mengetengahkan idea ateisme, sedangkan Darwin sendiri bukanlah seorang yang meyakini ateisme sepenuhnya.

Darwin pada mulanya merupakan seorang Kristian dan bercita-cita untuk menjadi paderi, kemudian beliau menjadi Deist (percaya tuhan tetapi tidak percaya pada agama). Beliau kemudian menjadi agnostik apabila memikirkan perihal evil atau kejahatan yang berlaku di dunia, beliau bukan menjadi agnostik disebabkan oleh sains. Darwin sendiri berkata “dalam perubahan saya yang paling ekstrim, saya tidak pernah menjadi ateis dalam erti kata menafikan kewujudan Tuhan”.

Jadi adalah salah untuk menggunakan teori evolusi Darwin bagi mengetengahkan idea ateism kerana kedua-dua idea ini adalah idea yang berbeza, Darwin menulis teorinya dalam upayanya memahami biologi, bukan untuk hujah-hujah teologi seperti yang dilakukan oleh gerakan the new atheist seperti Richard Dawkins. Dua perkara ini adalah perbezaan methodological naturalism dan philosophical naturalism. Methodological naturalism memerlukan kita membuat andaian kerja, model, teori, daripada perkara-perkara yang objektif bukan dari perkara spiritual, ruh, atau ketuhanan. Philosophical naturalism pula merupakan merupakan perkara-perkara yang tidak material seperti kepercayaan. Jadi teori evolusi Darwin yang merupakan model andaian bagi mengetahui perkara yang objektif, ia merupakan methodological naturalism yang bersifat neutral dari perkara seperti kepercayaan dan keagamaan. Sains memberikan kita model andaian, dan model andaian ini boleh berubah dengan adanya penemuan dan data baru, dan sepanjang zaman model dan teori sains sentiasa berubah, teori Newton sebagai contoh berfungsi selama 200 tahun sebelum datangnya teori Einstein yang bercanggah dengan teori Newton, teori Einstein menyatakan bahawa ruang dan masa adalah relatif, jadi sains membantu kita memahami alam dengan model dan teori tetapi ia tidak memberi kita absolute truth. Jadi menurut Subboor, tidak salah kita menjadi ahli biologi, atau pengkaji yang menggunakan teori evolusi Darwin sebagai model saintifik dan dalam masa yang sama mempunyai kepercayaan agama seperti agama Islam.

Terdapat banyak lagi perkara-perkara teknikal berkenaan dengan perbahasan Islam dan Darwinisme diluar dari dialog bersama dengan Professor Pritchard, tetapi tentulah ia tidak boleh dimuatkan dalam satu artikel. Saya percaya, manusia akan terus berdebat selama ratusan tahun lagi perihal kewujudan tuhan, perihal Darwinisme, perihal evolusi, dan mungkin di satu masa kita akan mempunyai hujahan dan idea yang lebih sophisticated berkenaan hal ini. Apa pun pegangan yang kita pilih akhirnya, bagi saya perbahasan-perbahasan ini membuka minda. Dari Darwinisme sebagai punca bencana kemanusiaan seperti yang diketengahkan oleh Harun Yahya hinggalah kepada Darwinisme sebagai methodological naturalism yang bersifat neutral seperti yang diketengahkan Subboor Ahmad, perdebatan ini akan berlarutan mungkin untuk ribuan tahun lagi.

Leave a Reply

Close Menu