Imigrasi Darihal Kapitalisme

Imigrasi Darihal Kapitalisme

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Lucy M

Imigran Muslim dikatakan semakin meningkat jumlahnya di New Zealand. Kita boleh cakap tak ada masalah pun dengan kemasukan imigran sehinggalah bam ekonomi mulai kelihatan tidak adil buat beberapa pihak.

Ekonomi adalah tapak pijak paling lazim untuk apa-apa pergelutan. Orang-orang kulit putih bukan goyang sangat pasal akidah, tapi pasal ekonomi, hal yang paling material ini, semua orang boleh jadi gila dengannya.

Bila Trump mulai menutup pintu untuk kemasukan pekerja imigran, ia adalah tindakan populis di mana ramai rakyat Amerika ketika itu merasakan kebanjiran pekerja imigran yang dibayar dengan gaji murah menyebabkan peluang pekerjaan di Amerika tidak cukup untuk semua orang. Malahan, apabila rakyat Amerika menuntut kenaikan gaji, mereka diancam untuk dibuang atau tidak dipedulikan kerana ada ratusan warga asing lagi boleh dimasukkan untuk menggantikan mereka bekerja dengan gaji yang jauh lagi rendah.

Siapa yang tak berbunyi kalau hal dah jadi macam ni?

Di Malaysia, isu yang sama berlaku juga. Gaji tak naik kerana sentiasa ada penyaluran sumber pekerja imigran dalam skala besar. Setiap tahun ada kemasukan, dan pada masa yang sama, setiap tahun juga, anak-anak tempatan baru habis sekolah dan pengajian. Dua-dua mahu mencari kerja. Dua-dua clashing.

Sekiranya kita menolak sentimen aliran Kanan untuk privilege berdasarkan bangsa dan agama yang melahirkan rasisme, kita juga harus menolak Kapitalisme sekencangnya pada masa yang sama.

Kerana jika semua warga asing telah pun dilontar keluar dari tanah air, ketidakseimbangan pendapatan masih tetap berlaku. Dalam kaum Melayu sahaja, ada empat segmen masyarakat. Empat segmen ini mempunyai kepentingan yang berbeza dan clashing all the time.

Kita berperang kerana merebut sumber. Apabila mana-mana sumber dikuasai, sekiranya ia tidak dibangunkan untuk sentiasa mapan dan saksama, perang akan berlaku.

Orang bukan berperang kerana perbezaan kaum dan jenis tuhan yang disembah sahaja. Orang berperang kerana merebut sumber. Dan kalaupun sumber sudah begitu cukup, perkelahian akan tetap berlaku.

Syaitan yang hidup di dalam syurga di mana sumber adalah serba cukup pun masih lagi berkelahi dengan Adam kerana sikap egois. Cintanya kepada tuhannya pun, merujuk kepada posisinya sebagai ketua malaikat – pun tidak mampu menenggelamkan sifat yang membakar ini.

Jika dicermati, yang menjadi kambing hitam untuk meletupkan bom, dan menembak di sana-sini selalunya datang daripada kalangan kelas menengah. Jarang ada yang datang daripada kelas marhaen. Meskipun kebencian paling parah membengkak dalam kalangan marhaen orang kulit putih kerana kualiti hidup semakin merosot dengan kemasukan warga imigran yang di manipulasi oleh aktor politik dan taikun-taikun di belakangnya.

Jika ada orang miskin yang masuk ke dalam kilang yang dipenuhi oleh pekerja imigran dan meletupkan dirinya sambil menjerit pergi mampos dengan orang asing – polisi ekonomi yang disandarkan dengan Kapitalisme akan tercalar teruk.

Maka, banyak warga kelas menengah menjadi kambing hitam untuk mengelakkan faktor ekonomi dilihat sebagai pemicu utama untuk apa yang berlaku.

Apakah tuhan sedang mendengar doa dan tangisanmu, kawan?

Aku harap begitu.

This Post Has One Comment

  1. Miau dari Gunung si Miau

    Tapi macamana kita tahu ekonomi adalah sandaran kepada serangan lone wolf?

    Banyak manifesto yang mereka tulis, walaupin berbelit dan umbang-ambing, adalah lebih kepada ketakutan bahawa bangsa mereka akan luput oleh orang asing yang datang membawa budaya dan agama sendiri. Hal ekonomi disentuh sedikit sahaja, ‘they will take our jobs’, kemudian disusuli rintihan akan penyertaan ke gereja atau ke dewan masyarakat makin kurang oleh orang putih.

    Berkenaan ruang pekerjaan, taraf pendidikan yang terlalu baik ironinya membawa masalah pekerjaan. Banyak syarikat perlu lebih banyak buruh tidak mahir(blue collar) berbanding buruh mahir(white collar). Tapi Malaysia banyak menghasilkan buruh mahir dari buruh tidak mahir.

    Antara banyak persamaan USA dan Malaysia, calon buruh mahir kita terlalu ramai dan calon buruh tidak mahir kita terlalu sedikit. Maka buruh asing diambil. Lebih-lebih lagi mereka ini boleh dibuli sesuka hati dan dibayar gaji fakir miskin.

    Kita banyak disaran membina perusahaan dengan keusahawanan sendiri. Tapi kita juga perlu buruh tidak mahir kita sendiri dalam perusahaannya. Maka kita juga akan meminta buruh asing apabila tiada lagi saudara mara kita yang sudi bekerja sambilan. Nah, tidakkah itu hanya membawa lebih masalah?

Leave a Reply