Hujah Pembaca Tradisionalis Melawan Kindle

Hujah Pembaca Tradisionalis Melawan Kindle

  • Post category:Ideologi

Oleh : Syed Ahmad Fathi

Saya masih ingat kali kedua saya bertemu Kapten Kumar, di Setia City Mall. Kali pertama adalah ketika temuduga untuk berkerja. Pada kali ini dia datang dari Mumbai, India bagi berjumpa dengan pelanggan perkhidmatan kontena kami, juga bertemu dengan staf di Malaysia. Pada mulanya saya agak kekok apabila diajak makan bersama CEO syarikat kami, apa yang saya nak bualkan dengan dia?

Namun, setelah duduk dan memesan makanan, ternyata Kapten Kumar bukanlah susah diajak berbual, walaupun kelihatan garang, apabila duduk bersama banyak yang kami bualkan. Perbualan kami menjadi menarik apabila saya bertanya apakah buku kegemaran beliau. Ternyata kami berkongsi banyak bahan bacaan yang sama, antaranya tulisan Thomas Friedman berkenaan dengan globalisasi. Kapten Kumar bercerita bahawa dia selalu membaca buku ketika berlayar. Terlalu banyak buku dibawa balik apabila pulang sehingga isterinya memarahinya, dia berhenti membeli buku fizikal dan beralih kepada buku digital dan Kindle. Dia tanya mengapa saya tidak membaca menggunakan Kindle? Saya menjawab saya seorang tradisionalis dan lebih gemar membaca buku yang saya pegang.

Itu kisah 4 tahun lalu, dan hari ini saya masih membaca buku yang dicetak. Beberapa hari lepas seorang sahabat saya iaitu Akif (Bukan nama sebenar) telah menghantar gambar Kindle yang baru dibelinya. Dia menceritakan bagaimana Kindle boleh lock screen agar dakwat digital kekal di skrin bagi menjimatkan bateri. Seperti surat khabar jelasnya, bangga. Saya menghantar gambar buku tulisan Paul D’Amato yang sedang saya baca, dan menulis “Terima kasih, saya selesa dengan pembacaan saya”.

Tidak mengaku kalah, Akif mula mengeluarkan hujahnya bagi mempengaruhi saya beralih kepada Kindle.

“Di Amazon boleh dapat pelbagai buku yang tidak dijual di Malaysia, lebih murah dari versi paperback, dan yang paling penting boleh menyelamatkan alam sekitar, selamatkan pokok!”. Dia menambah lagi “Hasrizal Jamil juga pakai Kindle, boleh baca buku yang rare di seluruh dunia.”

Saya menghantar gambar logo Forest Stewardship Council (FSC) yang ada pada buku saya bagi mematahkan hujah membaca buku fizikal merosakkan alam sekitar. FSC adalah logo yang dikeluarkan yang menjamin sesuatu produk menepati syarat seperti penjagaan hutan, mempunyai manfaat sosial dan mempunyai perancangan ekonomi yang lestari bagi menjaga hutan dunia. Antara ahli yang bersama merangka standard ini termasuklah WWF dan Greenpeace.

“Ini semua taktik kapitalis, jangan terlalu gullible.” Balas Akif, masih belum mahu mengalah.

“Kapitalis?” Saya bergumam dalam hati, terlalu naif.

Kindle sendiri merupakan hasil produk syarikat kapitalis bernama Amazon yang dimiliki oleh Jeff Bezos. Pada 2018, Bezos dianggarkan mempunyai gaji sebanyak 11,166,666 USD sejam. Ya, sejam, bukan setahun. Manakala pekerja gudang biasa Amazon hanya dibayar 15 USD sejam. Bezos membayar dirinya 744,444 kali ganda lebih banyak dari pekerjanya. Kalau ini bukan kapitalis, saya tak tahu apa yang dimaksudkan dengan kapitalis. Belum lagi kita perkatakan perihal pekerja Amazon yang tidak dilayan seperti manusia tetapi robot untuk membuat keuntungan untuk Bezos, namun hal ini terlalu panjang dan di luar skop artikel ini. Jika anda ingin tahu, boleh cari video John Oliver di Youtube bertajuk “Warehouses”.

Saya ingin kembali ke hujah alam sekitar. Saya terangkan kepada Akif bahawa barangan elektronik seperti Kindle dihasilkan dengan melombong logam berat, yang bukan sahaja merosakkan alam sekitar, bahkan menggunakan tenaga kerja kanak-kanak Afrika. Anak-anak ini dipaksa kerja seperti hamba, biasanya di lombong yang tidak ada ciri keselamatan, mereka biasanya akan mati dalam usia yang muda. Dan bahan buangan elektronik bersifat kekal, sukar dikitar semula, mengandungi logam berat bahaya. Penghasilan sisa elektronik ini lebih berbahaya dari buku yang dihasilkan dari kayu pokok yang mudah diurai apabila menjadi sisa.

“Tapi Kindle boleh simpan ribuan buku, bayangkan jumlah pokok yang boleh diselamatkan?” Akif mula goyah.

Saya terangkan bahawa Kindle perlu dicas menggunakan elektrik dan elektrik dijana menggunakan arang batu yang melepaskan gas karbon dioksida ke atmosfera. Dalam erti kata lain menggunakan Kindle lebih mencemarkan dari membaca buku fizikal. Ya buku fizikal dihasilkan daripada pokok, tetapi pokok itu kita boleh tanam semula, jika diurus dengan bertanggungjawab, ia boleh dilestarikan. Akhirnya Akif mengalah, Imam Hassan Al-Banna melarang kita berdebat katanya, seperti biasa menggunakan agama apabila logik alam sekitar beliau berjaya dipatahkan.

Pada tahun 2011, Shane Richmond menulis di The Telegraph tentang bagaimana buku cetak akan mengalami kepupusan. Generasi anak-anak baru bakal melihat buku cetak sebagai “relics” masa lampau generasi ibu bapa mereka. Saya bukanlah seorang tukang tilik yang boleh membaca masa hadapan, tetapi saya masih hidup pada tahun 2019, 8 tahun selepas artikel Richmond. Anak saya berumur 4 tahun masih membelek buku-buku cetak terbitan Usborne dan Dickens. Manakala saya masih membelek naskah Paul D’Amato.

Leave a Reply