Hilang Nafasku!
Kredit gambar: Antara Kaltim (https://kaltim.antaranews.com/)

Hilang Nafasku!

  • Post category:CERPEN

Oleh: Aakmal Mohd Yusop

Fisal terdengar lagu ‘Wheel of Time’ oleh Blind Guardian dari telefon bimbitnya. Pukul lima pagi. Dia mengeluh kerana mimpinya mengurat Sakinah tidak menemui klimaks yang diharapkan.

Tandas itu bersih dan wangi, setelah dibilas dan disental entah kali ke berapa dalam minggu ini. Wajahnya terasa sengatan kesejukan dari air pili. Solat Subuhnya selesai, Fisal merenung ke luar tingkap, menunggu matahari yang syifnya baru hendak bermula.

Baru beberapa hari yang lalu dia terlihat pengganggu ketatnya, si Razak.

“Sal, rokok dulu bah.”

“Masa kerja lah mau isap!” Fisal meneguk kopinya, bersusu dan perang.

“Nanti tengahari lah. Di atas sana, sambil tengok-tengok keadaan.”

‘Keadaan’ yang dimaksudkan Razak ialah suasana Kota Kinabalu yang bingit dengan hon kereta dan kadang kala teriakan orang yang tidak berpuas hati dengan putaran dunia. Razak melentikkan batang rokoknya. Puntung rokok itu patah dan luput ditup bayu laut. Angin bertiup sayup-sayup di bumbung bangunan itu.

Fisal menghisap rokoknya dengan dalam. “Kenapa juga kau selalu suruh aku lepak sini? Waktu-waktu KK bebau pun kau sini juga, baru aku yang kena kasi kawan.”

Razak tidak menghisap rokoknya, dia mencari sesuatu di balik abu yang tertinggal di muncung rokoknya. “Bah bila lagi mau tengok KK? Habis kerja aku terus pulang, biniku lagi mau dipungut dari pejabat. Nasib adikku ada, dia jaga si Mimi.”

“Berapa bulan sudah si Mimi?”

“Bukan bulan, mau tahun sudah itu. Nanti bulan depan, aku buat akikah. Kau datang, tolong masak.”

“Jangan kau suruh aku masak saja, bayar itu.”

Razak ketawa senafas. “Nda’lah aku nda bayar, harga biasa juga.” Tangan Fisal sudah pun menggenggam RM 300 apabila kawannya turun dari bumbung.

Namun, bak kata pepatah, malang dan gas karbon monoksida tidak berbau. Walaupun ada ura-ura akan pengumuman besar di Facebook dan berita malam itu, Fisal bekerja seperti biasa di sana. Apabila dia pulang pukul 8 malam itu, barulah dia melihat pengumuman yang di uar-uarkan selama ini.

“Duduk rumah, jangan keluar. Nyawa anda amat penting.”

Belakang Fisal melurus apabila dia melihat perutusan langsung di TV.

“Duduk rumah, duduk rumah, duduk rumah.”

Fisal memeriksa media sosial, dan ya! Perintah Kawalan Pergerakan akan bermula besok, pukul 12 tengahari. Fisal tidak sempat memakai seluar panjang sebelum dia memacu keretanya ke pasar raya berhampiran.

Pasar raya itu penuh dengan orang. Namun, ada barisan panjang terbentuk. Fisal mahu mengambil troli sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan. “Sila berbaris ke belakang. Nanti sampai giliran anda, anda boleh masuk.”

“Aik, kenapa begitu?”

“Arahan polis. Laju, sebelum kamu ditangkap.”

Fisal melihat seorang perempuan Melayu meronta-ronta sambil diheret polis ke dalam van biru. Sayur-mayur serta sebiji durian terbang dari genggamannya sambil dia menghina Perdana Menteri dan kerajaan yang baru dibentuk. Durian itu diambil seorang polis FRU dan dihumban bersama ke dalam van. Fisal akur dan berlari ke hujung barisan.

Sejam kemudian, Fisal melangkah ke pintu masuk pasar raya. Tangga elektrik yang biasanya penuh dengan sebaris manusia lenggang dengan rantai velvet dan papan amaran ‘Dilarang Naik’ tertera. Fisal kempunan, mahu membeli kopi berbiji serta ban serunding ikan di tingkat 3. Dia mengeluh sambil terus masuk, menolak troli yang dipinjamkan kepadanya .

Pasar raya itu sedikit lenggang kerana sekatan di luar tadi. Fisal mengisi trolinya dengan tepung gandum, beras pulut, beras, rempah ratus, minyak masak, sabun-sabun serta beberapa kuali. Dia terlupa untuk mengambil biskut Hup Seng. Deretan biskut itu ialah medan pertempuran, dua orang Cina bertumbuk merebut biskut-biskut yang tidak lagi tersusun rapi. Fisal terlihat seplastik besar biskut krim itu berhenti di sebelah kakinya. Dia tunduk, memasukkan ia ke dalam trolinya, dan berlalu sambil dua orang askar lengkap dengan rotan dan topeng gas masuk dan meleraikan pergaduhan itu.

Fisal ingin menoleh masuk semula untuk mengambil ayam dan ikan, tapi dia dicemuh orang-orang di belakangnya. “Woi, kami mau pulang ini!” “Lain kali kau buat list bah!” “Apa lagi pusing-pusing ini!”

Dia akur dan memikirkan bagaimana untuk mendapatkan ayam setelah lima ekornya di dalam peti sejuk sudah habis.

Haluan Fisal keluar setelah membayar barang beliannya dihadang oleh pintu plastik. Seorang pegawai kesihatan mempelawa dia masuk. Kemasukannya disambut dengan semburan bahan pembersih virus. Fisal terbersin. Dia ditarik ke tepi oleh pegawai dan hidungnya dicucuk oleh sebatang putik kapas panjang. Bersinan Fisal ditahan oleh kertas tisu yang dibuang ke dalam tong anti-patogen kuning.

“Aih, kenapa begitu?”

Doktor yang menulis di atas meja tidak mengangkat pun kepalanya. “Kamu ada pulang dari luar negara semenjak dua minggu lalu?”

“Tidak.”

“Kamu ada demam?”

Termometer elektronik diacu ke kepala Fisal. “Tidak.”

Setelah menyalin maklumat dari kad pengenalan Fisal, Fisal diberi sehelai kertas dan diarahkan memakai topeng muka. Jika dalam lima hari, dia mengalami demam dan batuk kering, dia diwajibkan menelefon ambulans untuk mengambilnya.

“Kalau saya nda dapat talipun?”

“Kami datang juga itu, bah jalan.”

Fisal sudah menunggu penyakit itu di rumahnya untuk tujuh hari. Kopinya habis kelmarin, tapi jirannya ada memberi kopi segera.

Come boy, saya punya hubby sakit jantung, tiada boleh minum lagi. Kamu ambillah.”

Dengan penuh terima kasih, Fisal mengambil semua pek-pek kopi itu dan mencuci luarannya dengan sabun cuci piring. 

Subuh itu Fisal menarik nafas lega sambil menghirup minuman yang hitam pekat itu. Dia masih menunggu matahari yang naik apabila tiba-tiba telefonnya berdering.

“Sal, sal! Anak aku!”

“Kenapa anakmu?”

Esakan isteri Razak jelas kedengaran dari jauh. “Anak aku kena penyakit! Apa aku kena buat?”

Fisal terfikir, ‘apa boleh dia buat?’

“Telefon ambulans. Diurang ambil kamu kalau anakmu kena wabak.”

“Biru sudah mukanya! Macam mana ini? Jap!” Tempikan isteri Razak makin jelas.

“Fisal! Mimi tidak dapat benapas sudah!”

Fisal mahu membantu, tapi Razak mesti menelefon ambulans. “Letak talipon kamu, kak, talipon ambulans!”

Isteri Razak meraung. Fisal tidak tahan lagi. Dia cuba berteriak di mikrofon telefonnya. “Kak, jangan off talipon sampai aku di rumahmu.”

Fisal menggerakkan motosikalnya dan memijak pedal. Ia tidak mahu bergerak. “Bangsat!”

Dia mengeluarkan basikalnya dan menghumbannya ke luar dari pagar. Basikal itu tahan lasak, tidak patah pun cermin belakangnya walaupun menghempap tar jalan. Fisal melompat turun dari pagar dan mula mengayuh. 

Jalannya dihadang oleh sekatan polis yang baru hendak dibangunkan. Dengan penuh tekad, Fisal mengayuh basikalnya selaju pelumba Tour De France. Dengan henjutan bergaya, dia mengangkat basikal, membayangkan hadangan yang kaku dan tidak bermaya menentang penerbangannya.

Prangggg!!!

Fisal tersembam ke bumi apabila tayar belakangnya dihadang oleh pagar besi mudah alih yang masih ditarik Encik Polis.

“Hoi!”

Polis itu mengangkat Fisal. Kaki Fisal tidak dapat menjejak bumi. Polis itu menggoyang-goyangkan Fisal beberapa kali sebelum dihempas semula ke tanah.

“Kau buat lagi begitu budak, kau masuk jel!” 

Fisal dianggap seorang remaja; dia hanya dilepaskan kerana anggapan umurnya. Fisal mengangguk terima kasih dan terus mengayuh, mengejar masa dengan kaki yang sakit.

Kayuhan Fisal makin perlahan; kakinya terlalu sakit. Dia menggegarkan pintu pagar Razak. “Razak! Assalamualaikum! Fisal ini!”

Dia terduduk di tepi pagar sambil menekan skrin telefon. Ia sudah pecah dan berlumuran sedikit darah. Fisal bergelut dengan kesakitan sambil fokus untuk membaca tulisan yang terherot oleh retak itu.

“Hello, ambulans?”

“Hello. Adakah anda mengalami sesak-sesak nafas atau batuk kering?”

Fisal terkekek. “Ya, saya sesak nafas kerana baru eksiden.”

Nafas operator di sebelah talian bunyinya terhenti. “Oh, di rumah?”

“Rumah kawan. Laju kamu, anaknya pun sesak nafas juga.”

“Adakah anak anda juga terlibat dalam kemalangan itu?”

Ketawa Fisal kedengaran oleh operator. “Bukan, anak kawan saya. Dia yang sesak nafas, sampai muka biru.”

“Kalau begitu, jangan bergerak dari sana, sila berikan alamat!”

Fisal memberi alamat di mana dia terdampar. Waktu itulah Razak melangkah keluar dari rumahnya untuk membuka pagar. “Fisal! Kamu kemalangan?”

Fisal membaling daun kering ke arah Razak.“Ya! Kalau kamu tidak panik dan telefon ambulans, nda payah aku lari sini.”

Razak memapah Fisal masuk ke rumah. “Kamu pun tahu juga alamat rumahku. Yang kau tidak beritahu ambulans kenapa?”

Fisal dilepaskan di sofa ruang tamu. Isteri Razak sibuk mencium mulut anaknya.

“Penat sudah aku, bang. Kamu lagi.”

Razak mengambil anaknya, lalu mencium mulut anaknya. Perut anaknya naik turun menurut tiupan halus Razak.

Isteri Razak bergelimpangan di lantai, tidak dapat lagi menangis. “Kamu kenapa pula berdarah, Fisal?”

“Eksiden.”

Ambulans datang beberapa minit kemudian. Mereka berempat dimasukkan ke ambulans. Di hospital, mereka ditahan di bilik kosong beberapa jam sementara Mimi, anak Razak, diperiksa oleh para doktor. Akhirnya, doktor yang masuk ke dalam bilik itu memberi berita.

“Anak tuan mengalami penyakit itu.”

Razak dan isterinya hanya mengangguk lemah.

Doktor itu memeriksa papan notanya dan mengatur kedudukan topeng mukanya. “Oleh kerana anak anda mengalami simptom penyakit itu, kamu bertiga wajib ditahan di rumah untuk 14 hari. Pihak kerajaan akan menghantar polis untuk memerhatikan anda setiap masa.”

Fisal terkejut. “Kenapa mesti polis?”

“Kami kekurangan anggota, dan melanggar arahan kuarantin ialah kesalahan jenayah. Jangan risau, makan minum anda akan ditanggung sepanjang kuarantin.”

Fisal mengeluh. Ingatkan dia dapat duduk hotel sepanjang kuarantin. Mungkin betul kata Razak, patut dia sahaja yang telefon ambulans. Fisal berdiri, terhenjut-henjut ke pintu bilik.

“Ke mana kamu pergi?”

“Pulang. Arahan kuarantin kan?”

Doktor itu menahan Fisal, kemudian memaksa Fisal kembali ke kerusi. “Tidak, tidak. Ambulans akan hantar kamu pulang. Nanti akan ada orang panggil kamu.”

Fisal kembali ke rumahnya dengan tongkat dan plaster di kaki. Malam itu tidurnya terlalu lena hingga mimpinya membuatkan kakinya menendang dinding. “Aduh!”

Leave a Reply