Hentikan Politik Perjanjian Malaysia 1963

Hentikan Politik Perjanjian Malaysia 1963

  • Post category:Politik

Oleh : Farahani R

Baru-baru ini tular kembali isu Perjanjian Malaysia (selepas ini akan disebut MA63), kali ini membabitkan seorang pemuda yang mengaku kehebatannya dalam sejarah dunia dan Malaysia. Dikenali sebagai ‘Tom Riddle’, dia menghambur fakta demi fakta – suatu kekaguman untuk kalangan rakyat biasa – walhal ini sedikitpun tidak membantu apapun dalam pembangunan kawasan yang dibicarakannya iaitu Borneo.

‘Tom Riddle’ ini yang saya tahu, adalah salah seorang watak antagonis dalam alam dunia magis Harry Potter milik J.K Rowling. Sudah pasti watak antagonis dilazimkan dengan kepetahan memutar kata manis, kelincahan mental dan kelicikkan tindakannya. Saya pasti dia tahu sifat si Tom Riddle, yang ditempatkan dalam rumah berani-licik Slytherin. Maka, tindakan menamakan dirinya seorang Tom Riddle sepatutnya menerangkan sejauh mana ‘kejujuran perjuangannya’ pada khalayak ramai.

Kembali semula ke dunia realiti, MA63 bukanlah sekadar perjanjian. Ia adalah sebuah pengikat kepercayaan dan keyakinan untuk bersama bersatu membina bangsa Malaysia dalam lingkup sempadan bernama Malaysia. Dahulu, MA63 adalah kontrak utuh yang dipahat dalam Perlembagaan Malaysia dimana Borneo diberi haknya sendiri sebagai wilayah semi-autonomi. Akan tetapi idea MA63 sudah lama dihinggapi lalat nista nafsu pemimpin. Menunggang sentimen nasonalisme Bumiputera, pemimpin Borneo menuturkan pertikaian MA63 atas satu sebab utama – sosioekonomi.

Di bawah pentadbiran pertama Mahathir, pengukuhan negara dipergiat dengan mengumpul seberapa banyak proksi yang ada di Borneo agar sebarang ‘pemberontakan’ idea boleh dikawal. Jufazli Shi Ahmad dalam bukunya “Membina Empayar: Governan Abdul Taib Mahmud Mahmud di Sarawak” menjelaskan bagaimana Raja Balak Malaysia dihalalkan hidupnya menjadi Maharaja moden Sarawak. Di Sabah, kemasukan UMNO-BN dan tindakan memayungi parti bumiputera sebagai komponen parti ‘bukan Sabahan’ ini hanyalah sebahagian rancangan halus untuk mengukuhkan pentadbiran Mahathir.

Sepanjang tempoh ini, MA63 menjadi kuda tunggangan parti pembangkang yang mahu meminjam sentimen nasionalisme Borneo. Sentimen ini membakar semangat kesedaran bumiputera Borneo dalam dua cara. Dari segi positif, anak Borneo berpendidikan meningkat dan semangat kenegerian menebal, memberi suatu hubungan unik jika seorang anak Borneo terjumpa dengan anak Borneo lain di tanah ‘hujan emas’. Dari segi negatif pula, semangat kenegerian ini berevolusi menjadi lanar kebencian pada orang luar (xenophobia) terhadap rakyat Semenanjung Malaysia dan negara jiran yang selalu bermigrasi ke Borneo seperti Indonesia dan Filipina.

Wacana MA63 kemudian berlegar pada kerangka ‘anti-Putrajaya’ tidak kira siapa yang muncul dari tahun ke tahun. Daripada hujah seorang pembangkang, dipinjam-ubah oleh beberapa aktivis yang berlatarbelakangkan perundangan, dihurai semula oleh beberapa sejarawan dan dibangkit berkali-kali di kedai kopi atau meja ‘moginum’ malam-malam. Hanya satu perkara yang tidak ramai orang peduli mengenai wacana ini: kedudukan MA63 dalam dunia pandang seseorang.

MA63 kerapkali diterjemah mengikut kefahaman dan latar belakang seseorang penganalisis. Jika mereka aktivis dari bidang perundangan, mereka akan melahirkan analisis perundangan. Begitu juga dengan sejarawan, analisis sejarah akan terpakai dalam penilaian semula MA63. Yang penting sebenarnya adalah warga kedai kopi; analisis merekalah yang lebih ‘berat’. Dalam istilah bidang sejarah intelektual, cakap-cakap mereka diambil peduli sebagai ‘iklim pendapat’ sesebuah masyarakat.

Masyarakat Borneo tersekat dalam wacana MA63 kerana hakikatnya, tidak banyak benda yang boleh dilakukan selain dari meminda perlembagaan. Perkara itu pula memerlukan masa berbulan, mungkin bertahun untuk diselesaikan. Tahun ini membuktikan bahawa wacana MA63 sudah terlalu ‘dalam’ sehingga rakyat Borneo percaya ada ‘hal tersembunyi’ yang diketahui pemimpin berkecuali sewaktu undian tersebut dijalankan. Tidak melebih rasanya jika saya kutip istilah ‘deep state’ dari Hishamuddin Rais untuk menerangkan skeptisme rakyat Borneo kepada Putrajaya (tidak kira siapa pemimpinnya).

Namun begitu, saya juga mempunyai pendapat yang kurang popular untuk hal ini. Bagaimana jika saya katakan bahawa MA63 tidak sepatutnya menjadi prioriti warga Borneo lagi? Tiga sebab saya berpandangan sedemikian:

  1. Kita sudah terlalu lama ‘perjuangkan’ MA63, sehingga mengenepikan pembangunan Borneo daripada kedaifan sekolah ceruk pedalaman sampailah isu korupsi yang masih wujud. MA63 perlu diselesaikan dalam suatu jangka masa yang panjang, maka ia tidak seharusnya menjadi bahan utama perbincangan ahli politik Borneo di dada akhbar negeri dan nasional.
  2. Kurangnya pemimpin berkarisma dari Borneo. Berdasarkan pemerhatian saya, kita terlalu berharap dengan pemimpin tua yang adakalanya telah ‘luput’ pemikiran pembangunannya. Kita perlu lebih ramai Syed Saddiq Borneo, dan bukannya Tom Riddle yang menghambur fakta dengan emosionalnya. Cukuplah seorang Jufazli Shi Ahmad.
  3. ‘Brain drain’ Borneo. Kita tahu kebanyakan warga Borneo lebih rela mencari nafkah di luar Borneo berbanding di dalam Borneo sendiri. Selain dari faktor gaji lebih tinggi dan bilangan pilihan majikan yang lebih banyak di Semenanjung Malaysia, Borneo seolah dijenamakan di mata para pelabur sebagai ‘tempat pelancongan atau percutian’ berbanding ‘tempat perindustrian’. Adapun beberapa kawasan industri yang dibangunkan, masih tidak cukup untuk menampung keperluan kerja buat belia Borneo.

Daripada seorang anak Borneo kepada sesiapa sahaja yang rasa dirinya relevan hanya apabila membicarakan MA63 menuruti kerangka fahamnya; ketahuilah bahawa tenaga pidato anda lebih baik disalurkan kepada penciptaan kerja buat warga Borneo. Paling tidakpun, salurkanlah tenaga pidato anda untuk isu-isu kaum marjinal di Borneo. MA63 bukanlah satu-satunya isu yang lebih wajar ditekankan untuk masa ini.

Leave a Reply