Hegemoni Budaya: Satu Pengenalan

Hegemoni Budaya: Satu Pengenalan

Oleh: Farahani R

Kisah di Christchurch baru-baru ini telah menyentak tenang seluruh dunia. Saat kita dipamerkan dengan kesesakan nafas warga Pasir Gudang, keganasan yang dirakam secara langsung oleh seorang pengganas fasis yang mengaku bangga ingin menampakkan ceruk New Zealand juga ‘dihinggapi’ migran Islam – dalam maksudnya, ingin menegakkan prinsip Islam adalah militan.

Di Malaysia, kita sudah pasti ikut mengecam tindakan pengganas tersebut. Tapi ini turut menimbulkan persoalan terhadap pertembungan ideologi komuniti dalam peripheral kita. Pertembungan ideologi kiri dan kanan, di mana The Patriots menjadi sasaran utama para pengkritik golongan kiri dan liberal. The Patriots amat dijulang ramai kerana platformnya menyuburkan semangat populis: pro-konservatif.

Gramsci, atau nama penuhnya, Antonio Gramsci merupakan tokoh yang mati muda. Dipenjarakan lama kerana potensi akal geliga, ilmu dan semangatnya yang kental menakutkan Mussolini pada ketika itu. Salah satu idea yang terzahir dari pemerhatiannya ialah mengenai hegemoni budaya. Untuk memahami mengapa ideologi ekstremis kanan, seperti Trump, boleh memenangi undi; Gramsci ada jawapannya.

Hegemoni, secara ringkasnya, adalah pengaruh atau dominasi ke atas sesuatu. Maka hegemoni budaya adalah pengaruh atau dominasi sesebuah budaya ke atas budaya lain. Gramsci mengaitkan hegemoni ini dengan ideologi. Dalam kes Trump, ideologi konservatifnya telah mendominasi percaturan politik undi yang ada. Dalam kes The Patriots, ideologi pro-Melayunya meluncur terus ke hati masyarakat konservatif.

Hegemoni budaya juga tidak hanya terhad pada sekadar ‘ideologi’. ‘Ideologi’ pula tidak terhad pada konsep-konsep megah seperti sosialisme, kapitalisme dan segala –isme yang terwujud dalam korpus ilmiah Barat. Bahkan Islam juga ditulis sebagai Islamisme. Hegemoni budaya boleh dilihat dengan fakta-fakta yang dianggap ‘common sense’ oleh masyarakatnya.

Bayangkan sebuah masyarakat; kita misalkanlah sebagai masyarakat A di negara A. Masyarakat ini tidak melihat orang-orang Islam sebagai manusia yang ada hati. Mereka menganggap minoriti Islam perlu dimusnahkan dan perlu ‘pulang ke negara asal’. Pernyataan itu terus diulangi menjadi fakta: fakta yang dipercayai ramai, sehingga membunuh orang Islam menjadi sebati di minda sebagai ‘common sense’.

“Islam?”
“Itu teroris.”

Bunuh!!!

Bayangkan pula masyarakat B. Mereka melihat perbuatan membunuh Muslim salah. Tapi masyarakat A tidak melihat ia salah. Lihat bagaimana berbezanya hegemoni budaya yang membelenggu kedua-dua masyarakat ini? Idea-idea terpisah kerana berlainan prinsip dan kepercayaan. Namun dari satu sudut, perkara ini boleh dipatahkan dengan idea Immanuel Kant, dalam etika prinsip universal. Kant percaya bahawa walaupun dunia ini mengandungi pelbagai adat, budaya dan ‘common sense’ yang amat berbeza, beberapa etika prinsip universal masih terpakai. Misalnya membunuh dan mencuri – ia sesuatu yang salah dalam semua budaya (barangkali dengan syarat-syarat lain, tapi ia masih dianggap sebagai salah).

Kita beralih kepada pernyataan yang disokong oleh pihak borjuis dan atasan. Ini tidaklah sedalam peringkat ‘common sense’, tapi ia masih dianggap fakta yang betul hanya kerana ‘kerajaan cakap macam tu’. Contoh terbaik adalah paparan media mengenai pembangkang dan mahasiswa. Ketika berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional dahulu, pembangkang seperti DAP dan Amanah sentiasa disyaitankan menjadi suatu lembaga dari neraka yang menjahanamkan dunia, membangkitkan Dajjal sesat yang boleh mengapa-apakan masyarakat Islam dalam alaf hampir kiamat ini. Begitu juga mahasiswa; dipalit dengan cat-cat hitam yang merendah-rendahkan kualiti mereka agar mereka terus diam dan menerima takdir gaji murah tidak sepadan dengan kelayakan tinggi mereka.

Media amat berperanan dalam pengukuhan idea-idea ini. Hegemoni budaya yang dimahukan oleh pihak atasan semata-mata untuk mengawal minda masyarakat. Sudah tentu, kawalan ini terbatas dengan perkembangan kapital intelek yang berlaku dalam negara. Bagaimana dengan pendidikan? Ya, pendidikan juga alat hegemoni negara. Bagaimana dengan buku teks? Mengulangi jawapan tadi; ya, buku teks adalah medium halus untuk membentuk minda masyarakat.

Saya kembali mengimbau betapa huru-haranya komuniti pro-Melayu apabila Fahmi Reza cuba mengatur diskusi merekonstruksi buku teks dengan menambah perspektif kelompok Komunis yang dikatakan penting dalam proses kemerdekaan. Siap berteriak menentang ketika mereka sibuk berforum. Sebagai pemerhati, saya memahami niat Fahmi Reza. Sebagai ahli sejarah, saya kurang bersetuju dengan pemilihan panel yang dibarisi dengan aktivis-aktivis yang tidak berlatarbelakangkan bidang sejarah. Untuk bercerita tentang sejarah dan prinsip penulisannya dalam buku teks, kita sememangnya perlu memahami falsafah sejarah dan keadaan sistemik institusi pendidikan dan sekolah itu sendiri.

Falsafah sejarah walau bagaimanapun, tidak pernah bercakap mengenai fungsinya sebagai bahan hegemoni budaya. Dalam buku teks Sejarah (versi sebelum 2018), persoalan aktor politik kanan sebagai satu-satunya pejuang kemerdekaan, apatah lagi ketika UMNO masih berkuasa, sudah pasti meningkatkan wibawa mereka dalam kalangan muda-mudi yang bakal mengundi. Dr Ramlah Adam misalnya, menafikan hasrat tersembunyi, sebaliknya hanya menggariskan bahawa panduan penulisan buku teks hanya inginkan skop versi mesra pihak kanan.

Usaha Fahmi Reza untuk memecah hegemoni budaya yang tercipta daripada pengagungan UMNO itu tampak. Akan tetapi, menggegar UMNO diibaratkan menggegar keistimewaan Melayu di tanah Malaya. Itu hebatnya ideologi ketuanan Melayu yang menjadi persona di depan masyarakat. Suatu pengukuh kawalan yang ampuh – identiti diri sebagai seorang anggota bangsa, dan identiti diri sebagai seorang Islam.

Untuk warga Borneo pula, hegemoni budaya khususnya budaya Melayunisasi memang wujud. Budaya ini suatu yang disengajakan dengan sebab yang rasional – demi ‘perpaduan’ dan ‘pemupukan identiti nasional’. Di Borneo, kita tidak begitu berhadapan dengan masalah bertoleransi sesama agama. Dalam kepelbagaian bangsa yang ada, variasi stereotaip dan prejudis itu masih wujud namun tidak berjaya membuat kita bertetak parang secara beramai-ramai.

Budaya Melayunisasi membuatkan kita lebih menggunakan bahasa Melayu baku dengan betul. Malah, ia juga membuatkan kita memahami Islam dan turut terpengaruh dengan perkembangan pemikiran masyarakat yang menekankan fiqah dan hukum. Dalam masa yang sama juga, ia membuatkan kita memakai baju kurung dari gaya negeri lain, dan baju Melayu bersongkok serta bersamping. Akhirnya, budaya Melayunisasi ini menciptakan warga Borneo sebagai sebahagian daripada Malaysia (sehinggalah ada segelintir warga Semenanjung yang tidak peka dengan geografi Malaysia selain rumahnya dan kedai mamak).

Adakah hegemoni budaya ini buruk? Ikut situasi. Dari satu sudut, ia buruk apabila ia berjaya mendominasi (lalu memusnahkan) identiti kaum yang di dominasi. Dari satu sudut pula, ia baik kerana kebersatuan budaya memudahkan pengurusan ke atas mereka. Oleh disebabkan itulah, banyak negara yang enggan membuka ruang kepelbagaian budaya ini akan ‘merampas’ identiti minoriti lain. Rampasan itu berlandaskan rasional bahawa kesatuan hanya boleh dicapai apabila satu pemikiran mendominasi tindak tanduk adab masyarakatnya.

Orang putih supremacist yang takutkan orang berbahasa asing bertindak ganas-kaum Islam Uighur dipenjarakan kerana mereka enggan menerima kesatuan identiti China-orang Melayu yang takutkan rumah gereja yang memacak salib di kawasan gereja-militan Islam yang menembak kaum se-Islamnya.

Apa lagi?

Leave a Reply