Hasil Buangan Gas Metana

Hasil Buangan Gas Metana

Oleh: Dr Fatimah Salim

Beberapa hari ini kecoh mengenai sisa bahan kimia dari kilang pemprosesan bahan lusuh di Pasir Gudang, Johor, yang mengakibatkan keracunan gas kepada pelajar-pelajar beberapa sekolah. Sejumlah 1,400 orang pelajar diarah untuk mengosongkan kawasan sekolah pada hari Khamis lepas apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas yang dipercayai dibebaskan dari sungai berhampiran. Maklumat dari pihak berwajib setakat ini mengesahkan gas ini sebagai gas metana yang terhasil daripada proses pelupusan bahan lusuh daripada kilang berhampiran.

Gas metana tidak dikategorikan sebagai bahan radioaktif di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Sebab itu penggunaan lambang radioaktif adalah dilarang untuk digunakan bagi kes ini demi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Apakah itu gas metana?
Gas metana adalah sejenis bahan kimia organik dari kumpulan berfungsi alkana paling ringkas. Molekul kimia gas ini terdiri daripada satu atom karbon dan empat atom hidrogen (CH4) yang terbentuk melalui ikatan kovalen (berkongsi elektron). Pada suhu bilik sifat fizikalnya adalah dalam bentuk gas yang tidak berbau dan tidak berwarna.

Gas metana merupakan gas yang sangat kuat menyumbang kepada ‘rumah hijau’. 500-gram gas metana yang terperangkap dalam atmosfera mampu memerangkap haba sebanyak 25 kali ganda lebih daripada gas karbon dioksida (CO2).

Bagaimana gas metana terhasil?
Gas metana ini terhasil daripada aktiviti pemprosesan arang batu, bahan petroleum dan penguraian bahan kimia organik oleh bakteria. Gas metana yang bebas banyak terhasil di tempat pembuangan sisa seperti ‘landfill’ atau tempat pengumpulan najis haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan babi. Penghasilan ini adalah daripada aktiviti bakteria, yang mana bertujuan untuk melupuskan bahan buangan secara semula jadi. Sebenarnya ini juga merupakan proses yang sama berlaku di dalam usus besar kita. Maka, kentut yang terhasil juga mengandungi sebahagian besar gas metana.

Pada dasarnya kandungan gas metana di dalam udara adalah sedikit. Namun apabila jumlahnya meningkat sebanyak 15%, ianya akan menyebabkan kesan toksik kepada manusia yang menghidunya.

Bagaimana gas metana digunakan?
Gas metana digunakan dalam pelbagai cara termasuk penghasilan gas hidrogen, bahan larut organik seperti trichloromethane, dichloromethane dan chloroform. Dan ianya juga merupakan bahan kimia utama di dalam gas semula jadi yang mana termasuk di dalam gas memasak di rumah kita. Disebabkan gas metana ini tidak berbau dan berwarna, gas memasak dicampurkan dengan bahan kimia tert-Butylthiol bagi tujuan indikasi keselamatan.

Gas metana ini mudah diperangkap (lihat gambar di bawah) daripada pusat pembuangan sampah (landfills), ianya kemudiannya dibakar untuk menghasilkan tenaga elektrik atau tenaga haba yang kemudiannya digunakan untuk memanaskan bangunan, menggerakkan lori sampah dan lain-lain. Mengumpulkan gas metana sebelum ianya terbebas ke udara mampu menghalang kesan rumah hijau, juga keracunan kepada manusia.

Semoga bermanfaat 😊

Leave a Reply