Harga Sebuah Kritikan

Harga Sebuah Kritikan

  • Post category:Pendapat

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Pernah satu ketika datang seorang tua kepada saya. “Apa kredibiliti kamu hendak menulis perihal politik, kamu bukan punya PhD dalam bidang politik,” katanya. Mungkin beliau membaca omelan-omelan, kritikan dan pandangan saya perihal politik. Pertama, bagus juga, sekurang-kurangnya saya tahu ada orang yang membaca tulisan saya. Kedua, agak ironik jika ita katakan politik ini untuk rakyat dan demi rakyat andai rakyat tidak boleh mempersoalkannya. Ketiga, jika rakyat perlukan PhD untuk mengkritik kerajaan dan sistem politik, bagaimana individu-individu tidak bersijil, malah ada yang bersijil palsu boleh menjadi ahli politik malah memegang jawatan penting dalam kerajaan? Keempat, jika syarat untuk menulis memerlukan PhD maka kita akan kehilangan banyak karya-karya yang penting sepanjang zaman, kerana sepanjang zaman pelbagai individu, tokoh, pemikir, dan ilmuan menulis sedangkan mereka tidak mempunyai PhD.

Tujuan tulisan ini bukanlah untuk mempertahankan diri saya dari satu rangkap kritikan ini, tapi saya kira ia merupakan permulaan yang baik untuk kita membincangkan perihal kritik dan kritikan. Di sini kita lihat, satu baris kritikan melahirkan empat buah fikir lain dalam usaha kita cuba untuk mempertahankan idea dan tindakan kita. Ini adalah salah satu tujuan kritikan, iaitu pengembangan ilmu, idea dan pemikiran.

Tapi sebelum kita berbincang lanjut berkenaan dengan perkembangan ilmu, elok kita fahami sedikit bagaimana kritikan boleh tercipta, untuk itu kita perlu fahami bagaimana satu idea itu didekati dengan berbeza. Perbezaan ini disebabkan setiap orang memandang kebenaran dari sudut yang berbeza. Pengalaman hidup, sistem nilai, pendidikan, orang sekeliling, peristiwa hidup, semuanya membentuk acuan pemikiran setiap individu manusia. Ia berbeza bagi setiap manusia menyebabkan lahirnya perbezaan acuan fikir dan perbezaan dalam soal memahami apa itu kebenaran. Penggunaan teknologi juga sebenarnya membesarkan jurang perbezaan antara manusia. Saya bukanlah peminat Henry Kissinger yang dianggap ramai orang sebagai penjenayah perang yang bertanggungjawab diatas kematian ramai manusia hasil polisinya. Tetapi apa yang diungkapkan beliau dihujung bukunya World Order ada benarnya, berkenaan dengan peranan teknologi membesarkan jurang perbezaan berkenaan kefahaman tentang ‘kebenaran’. Sebagai contoh, bagaimana algoritma carian Google akan mempamerkan hasil carian berbeza bagi individu berbeza mengikut sejarah carian, kesukaan dan personaliti masing-masing, carian yang sama mengeluarkan natijah yang berbeza.

Perbezaan kefahaman inilah yang melahirkan kritikan terhadap sesuatu idea. Ia seterusnya mengembangkan keilmuan serta mengkayakan pemikiran ketamadunan. Malah ada banyak bidang keilmuan baru, lahir dari kritikan terhadap sistem-sistem lama.

Dalam sistem ekonomi kita lihat bagaimana idea-idea pasaran terbuka, sistem berasaskan kapital dan keuntungan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Adam Smith, FA Hayek, Milton Friedman dicuba dan diterjemahkan dalam sistem ekonomi dunia. Kritikan terhadap sistem ini melahirkan aliran pemahaman ekonomi lain yang menjadi bidang ilmu mereka tersendiri yang kemudian dipanggil ‘heterodox economics’. Aliran pemikiran ekonomi marxsis dan sosialis merupakan antara cabang-cabangnya. Mungkin jika mereka pula yang mendominasi sistem ekonomi baru, kita akan lihat kelahiran kritikan yang bakal melahirkan keilmuan baru pula.

Dalam bidang falsafah kebudayaan pula, kita lihat bagaimana tokoh tersohor Edward Said yang mengkritik pemikir-pemikir orientalis Barat seperti Bernard Lewis. Kritikan-kritikan Said kepada cara pemikiran orientalis dalam memahami dan mentafsir budaya, teks, dan sejarah Timur melahirkan cabang ilmu baru yang dinamakan ‘Orientalism’ yang juga merupakan nama buku yang ditulis oleh Said pada tahun 1978. Pemikiran dan kritikan Said kekal sebagai sumber keilmuan penting sehingga ke hari ini.

Inilah yang sebenarnya kita perlu fahami berkenaan dengan kritikan. Sebagai satu instrumen kajian, pemikiran objektif, dan perlawanan logika. Bukan sebagai ad hominem untuk menjatuhkan mana-mana musuh, sebaliknya merupakan pertarungan dan perlawanan idea. Jangan kita takut dengan kritikan, dan jangan takut mengkritik. Kritik perlu dilawan dengan kritik, inilah sebenarnya harga sebuah kritikan.

Leave a Reply