HAMBA KORPORAT
kredit gambar: popsugar.com

HAMBA KORPORAT

  • Post category:CERPEN

Oleh: Aakmal Mohd Yusop

Kassim membuka pintu pejabat lalu duduk di kubikelnya. Komputer mejanya menyala dengan nyalaan hitam, bilah kipas kecilnya meniup muka Kassim, dan kopinya mengewap, bersedia untuk memberi tenaga dan fokus kepada penghirupnya. Dia sudah bersedia untuk menyelesaikan masalah dalam sistem pembelajaran mesinnya.

Dalam tungkus-lumus dia menaip kod di komputer dan merenung masalah-masalah baru yang timbul, mejanya mula bergegar. Lantai pejabat itu memang tidak begitu kukuh, tapi hanya ada seorang sahaja yang boleh menggegarkan dunia sebegitu rupa.

Lelaki itu tingginya hampir mencecah lampu siling yang tergantung. 6 kaki 3 inci, badannya tidak gempal, tetapi setegap ahli bina badan.  Bayang-bayang kawannya melitupi cahaya semulajadi matahari dari tingkap. Kassim terasa cemburu dan takut, dia hanya berlatih sebagai penari muzik moden.

“Kau bergerak macam dinosaur, Hazwan!”

Hazwan ketawa dengan serak, sedikit terbatuk. Dia menutup mulutnya walaupun mempunyai topeng 3-lapis di mukanya.

“Bukan aku dapat berlari laju macam kamu, bro!” Mereka berdua bersama terkekek.
“Kau sudah makan kah, Kassim?”

“Belum.”

“Nah.” Hazwan meletakkan bekal makan di tempat kosong di meja kerja itu.

“Kasi balik itu tupperware.”

Topeng kain Kassim lut oleh sapaan bau bekal itu.

“Ayam goreng, nice!” Kassim menghirup kopinya.

“Eh, kau baru masuk kerja kah ini?”

“Tidaklah, pukul 6 lagi.”

Kassim sedar bahawa Hazwan tidak melepaskan tangan dari topengnya.

“Kenapa kamu jaga betul topeng kamu?”

“Janganlah kau tegur itu! Kau taukah aku nda kaya mau tukar topeng hari-hari?”

“Hehe. Sori, Hazwan. Makasih iya.”

“Iya. Bah, aku mau masuk kerja ini.” Hazwan menoleh pergi, menukar tangan yang memegang topengnya. Kassim ternampak setitis kemerahan di tangan kawannya, tapi apabila dia menoleh, kawannya sudah turun ke tingkat bawah.

Sistem AI yang terhasil menilai pelbagai data, menggapai semua nod-nod pembolehubah, lalu dari rumus yang bertingkah, mengelip membuka dan menutup hubungan setiap lapisan nod, berdasarkan kiraan matematik boolean berjuta kali sesaat. Kadang-kadang Kassim lemas dalam gerak langkah kiraan, kadangkala pula dia kelam kabut menulis kesilapan yang terhasil. Kemudian dia kembali ke asal langkah, mengarang kod baru yang menyelesaikan masalah tertangguh-tangguh.

Tengahari menjelang tiba, dan perut Kassim mula mendendangkan lagu-lagu kelaparan dan keenakan. Dia menyimpan sistem data dan program yang dia nukilkan dalam cakera kerasnya. Tangan Kassim sedikit nakal lalu membuka sedikit penutup Tupperware itu. Wah, bauannya masih semerbak dan harum. Kassim mendaki tangga ke tingkat dua.

Dia baru mahu melangkah anak tangga pertama, apabila dia terjumpa topeng muka 3-ply yang berlumuran darah di sebelah tong sampah. Dia mengeluh lalu membuangnya masuk. Tiada kesedaran sivik langsung!

Pantri di tingkat dua itu cukup istimewa. Ia bersambung dengan balkoni, dan ada meja untuk makan di luar ataupun di dalam. Cuacanya pun sesuai untuk makan di sebelah luar.

Matahari menyapa bandar itu dengan lembut, tengahari ini kurang panasnya kerana redup awan. Angin bertiup halus, mengibarkan baju yang disidai di rumah-rumah flat dengan tenang. Ia cukup sopan untuk tidak menolak makanan Kassim keluar dari sudunya. Dia menghidu kautan itu untuk kali yang terakhir sebelum ia masuk ke dalam mulut.

Pedasnya sedikit, menyeksa lidah dengan sedikit kerengsaan tetapi menguatkan kemanisan dalam ayam itu. Tepungnya juga beraksi, mencabar gigi-gigi mengalahkan kekerasannya, mengalah, lalu menawarkan ganjaran berupa bunyi kerangupan lembut beserta sekelumit percikan jus ke dalam mulut. Kassim melupakan segala masalah duniawi dan pengaturcaraan sambil memiliki seluruh rasa dalam ayam itu. Kassim tergamam apabila Nurfizah berteriak.

“Apakah kau ini, mau aku tecekik kah?”

Nurfizah menunjuk ke arah bekas Tupperware, jari-jemarinya terketar-ketar. “Mentah, ayam kau mentah.” Dia kemudian terus berlari keluar dari pantri itu, melalak seperti orang berlari dari sekatan jalan polis.

“Apa punya perempuan, kalau boleh teriak dia…” Kassim terpandang ada kuah dari ayam goreng itu. Kenapa ayam gorengnya ada kuah? Kassim mengamati cecair itu. Ia nampak seperti kesan air dari ayam yang digoreng. Tapi kenapa ada sedikit merah? Kassim merasainya sedikit. Hmm, macam besi. Dia terus menghabiskan makanan itu lalu kembali bertugas.

Dengan hanya selangan masa 20 minit untuk solat Zuhur dan Asar, Kassim sudah berjam-jam bekerja dengan tekun. Semua komponen kemasukan data, pengiraan, serta pengeluaran hasil pembelajaran mesin sudah lengkap, bebas dari sebarang kesilapan pengaturcaraan yang boleh diperiksa. Sekarang hanya untuk menyerahkan kod kepada ketua projek untuk penyelarasan dengan ahli-ahli lain.

Kassim menghantar kod sumber ke GitHub. Kemudian dia berdiri dari kerusinya. Sudah pukul 8, masa untuk dia pulang. Tapi, ke tandas dulu.

Dia masuk ke tandas. Dalam melunaskan hajatnya, dia terdengar jeritan. Hampir terkencing dia. Eh dia memang sedang kencing pun. Adakah dia patut periksa apa yang terjadi? Mungkin Nurfizah ternampak benda ganjil lagi, atau bos dia mengamuk orang tidak menutup lampu. Dia beristinjak.

Kemudian dia mendengar pintu utama tandas terkuak, lalu menghempas dinding. Bam! Kassim tidak terkucil. Paip bidetnya turut senyap, kerana genggamnya lemah. Tandas itu bergegar apabila orang itu menjejak kakinya. Kemudian satu lagi pintu pecah dengan bunyi hentakan yang kuat.

‘Astagha, si Hazwan mau bunuh aku kah?’ Hampir terpacul perkataan itu apabila pintu kedua terbuka. Pintu ketiga, Bam!

Sekejap, ada sembilan pintu di tandas ini. Dan mungkin Hazwan sedang memukul pintu itu satu-persatu. Bam!

Kassim cuba berdiri di atas tangki air tandas. Dia boleh panjat keluar. Tapi dia tidak boleh menjenguk tanpa melompat, dan mungkin tangki itu akan hancur diinjaknya. Bam!

Kassim turun semula ke mangkuk tandas, Mungkin dia boleh rempuh Hazwan? Tapi dia hanya pernah dapat buat begitu tiga tahun lalu, dan waktu itu Hazwan kurus-keding. Sekarang dia seperti terlalu berat untuk dihempas dengan badan sendiri. Bam!

Kassim kembali ke atas tangki tandas. Dia nampak tingkap tandas terbuka, ada selaknya. Dia melepaskan seluar panjangnya lalu menyangkutnya ke situ. Dia memanjat sambil menahan diri di atas dinding tandas. Bam!

Tiada masa lagi, Kassim menarik dirinya untuk melompat ke kubikel tandas sebelah. Bam!

OK, lompat! Kassim sekarang tergantung di kubikel sebelah. Dia turun ke mangkuk tandas. Nasiblah ia tertutup, maka tidak perlu takut kaki terseliuh.

Tiba-tiba Hazwan menjenguk dari sebelah. Kassim tergamam. Mukanya pucat lesi, tapi amarah jelas terukir di wajahnya. Dia menerkam ke arah Kassim. Kassim hanya sempat menahan Hazwan di bahunya dengan kakinya sendiri. Hazwan perlahan-lahan menolak ke hadapan, mulutnya hampir ke hidung Kassim. Hazwan mengangakan mulutnya, hingga ia selebar saiz durian.

Kassim menghunjam gayung ke dalam mulut Hazwan, hulunya ke arah mulut. Hazwan berdiri dengan penuh amarah, cuba menarik keluar gayung itu keluar. Kassim mengambil kesempatan ini lalu melutut ke kaki Hazwan.

“Sori, Hazwan.” Dia memeluk buku lali Hazwan dengan erat lalu menariknya ke atas dengan penuh tekad. Hazwan terpelanting. Kassim melihat muka Hazwan yang penuh dengan gayung. Dia tidak pengsan, tetapi masih lemah. Kassim cuba menarik kakinya selaju yang boleh. Kakinya tidak begitu berminat untuk pergi, tapi akhirnya dia sudah lari ke mejanya semula.

Dia cepat mengemas komputer ribanya, dompet, serta beberapa perkakasan lain. Dia tidak sempat menoleh keluar apabila Nurhafizah menerkam dia. Kassim sempat melitupi muka Nurhafizah, tapi pegangannya terlalu kuat. Kassim dapat mendengar dia mengerang sambil menggigit-gigit beg itu. Kassim cuba berdiri tapi tidak dapat. Nurhafizah menaikkan kepalanya. Dia sudah sedia untuk menerkam Kassim.

“Hoi! Apa kamu buat itu?” Pengawal Gurkha mereka menggertak sambil memegang cota.

“Jangan buat nakal ya, nanti Tuan pecat!” Dia meluru ke arah Kassim dan Nurhafizah.

Nurhafizah berdiri lalu meluru  ke arah pengawal itu. Pengawal itu menghempaskan Nurhafizah ke tanah, tapi perempuan itu mencekik pengawal itu. Mereka berdua bergelut.

Kassim tidak dapat berlari keluar terus, mereka menghalang laluan ke tingkat bawah. Kassim mengambil pasu lalu menghempaskan ia ke kepala Nurhafizah.

Pengawal itu berdiri, nafasnya tercungap-cungap. “Apa sudah jadi sama dia?”

Kassim hanya mengangkat bahu lalu sambung melarikan diri. Dia hampir keluar ke pintu depan apabila dia dapat mendengar bunyi siling tingkat itu retak. Dia tergamam sebentar.

Hazwan jatuh dan mendarat dengan langkah yang ganas. Gayung itu akhirnya pecah apabila Hazwan menggigit ia sekuat hati. Dia mahu berteriak, tapi hulunya menyangkut di kerongkong. Dia menyerbu ke arah Kassim.

Kassim melompat dan berlindung di meja menyambut tetamu. Hazwan melanggar ia, dan ia hampir tercabut dari lantai. Kassim menghempaskan kerusi ke muka Hazwan, tapi Hazwan dapat memegangnya. Kassim terangkat.

Hazwan berteriak. Hulu gayung itu tertepek di muka Kassim. Kassim meludah ke sana ke mari, tidak mahu merasai air ludah kawannya. Hazwan membaling kerusi itu dan Kassim terbang lalu terhempas ke pintu kaca itu. Ia pecah berderai.

Kassim terhuyung hayang lalu cuba untuk terus lari. Hazwan mula mengejarnya. Kassim serta merta melajukan dirinya ke arah keretanya.

Hazwan hanya tinggal 3 meter dari Kassim apabila Kassim berjaya mengunci keretanya. Dia terkial-kial memasukkan kunci keretanya ke dalam lubang. Enjin menderu dengan sekali cubaan, Alhamdulillah. Kassim mengundurkan kereta. Hazwan meluru ke arah hadapan kereta.

“Sori Hazwan.”

Kassim menekan minyak, lalu memacukan kereta ke arah Hazwan. Dia dapat mendengar bunyi retakan tulang di sayup-sayup teriakan tayarnya. Kassim hampir termuntah. Dia menghentikan keretanya lalu menoleh ke belakang.

Hazwan hampir rata dilenyek kereta itu. tetapi dia mengangkat dirinya semula. Dagingnya tadi yang koyak rabak mula bercantum semula. Kakinya yang bengkang bengkok melurus semula. Dia mula merangkak kembali ke arah kereta Kassim.

Kassim menukar gear ke belakang, dan menghempas Hazwan buat kali yang kedua. Kassim mengulang maju-undur-maju-undur beberapa kali. Hazwan akhirnya kekal di tanah, tidak bergerak-gerak. Kassim memacu keretanya kembali ke rumah.

Dia dapat kembali ke flatnya sebelum sebak tidak dapat lagi dibendung dari dadanya. Kassim menghumban beg ke atas sofa, mengunci pintu bilik, terduduk di pintu itu, lalu mula menangis teresak-esak.

Pagi esoknya, Kassim terbangun. Telefon bimbitnya berdering. “Helo?”

Dia disergah dari pembesar suara telefon itu. “Apa juga kau ini, mana ada orang kerja overtime sampai ranap satu pejabat?”

“Helo, siapa ini?”

“Bos kamu, si Stephen.”

Kassim tidak pernah ditelefon bosnya sebelum ini.

“Oh maap bos. Bolehkah saya ambil cuti tiada gaji hari ini?”

“Heh, tidak boleh! Kau boleh kerja setengah hari sja. Tapi sekarang ini work from home kau faham? Rosak pejabat aku, baru dilockdown jangkitan lagi! Siapalah mau bayar ini semua.”

Kassim tergamam. Itukah wabak yang sebenarnya, bukan demam sejuk NovelBacillus? “OK bos.”

“Nanti aku whatsapp bahagian kerja yang ada, kau kasi siap dalam masa. Repot setiap hari di Whatsapp faham, jangan sampai aku yang cari kamu.”

“OK bos.”

“Bah, assalamu alaikum.”

“Waalaikum salam.”

Kassim menarik nafas lega, telefon itu jatuh perlahan dari tangannya dan mendarat di perutnya. Kassim menarik nafas sekali dengan dalam, lalu melepaskannya. Dia mahu berdiri apabila dia ternampak sehelai kertas kecil dengan sedikit warna merah.

Kassim membelek kertas itu. Ia tertulis: ‘Sori Kassim – Hazwan’.

Leave a Reply