Gaza: Disuruh Mati Tetapi Terus Berdiri

Gaza: Disuruh Mati Tetapi Terus Berdiri

  • Post category:Politik

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Sistem demokrasi dapat di telusuri semula dari Athens Kuno, peradaban yang memberikan sistem demokrasi pada dunia, dan Parthenon yang merupakan kuil orang-orang Athens sempena dewi Athena telah menjadi perkataan sinonim bagi nilai-nilai demokrasi. Oleh itu kita sering melihat pemimpin-pemimpin dunia, dari Margaret Thatcher hingga ke Barack Obama akan ke Acropolis dan bergambar bersama Parthenon, simbol pada demokrasi. Sebagaimana masyarakat Athens Kuno menyembah Dewi Athena, begitulah penyembahan dan pengagungan Barat dan masyarakat moden kepada demokrasi.

Namun, pada tahun 2006 keimanan masyarakat dunia terhadap demokrasi seolah-olah tiada nilainya lagi apabila rakyat Gaza memilih Hamas sebagai pilihan mereka dalam pilihanraya yang adil dan demokratik. Israel yang sudah berundur dari sempadan Gaza tahun sebelumnya kerana gagal mencengkam Gaza dibawah kuasa kolonialnya terkejut dengan aksi demokrasi ini. Dengan pantas ruang udara, perairan, dan darat Gaza disekat dengan bantuan dan pembelotan dari Mesir. Masyarakat dunia yang kononnya beriman dengan demokrasi tidak berbuat apa-apa apabila Gaza dihukum kerana aksi demokrasi mereka, sekatan ini seolah-olah direstui secara tidak langsung oleh Eropah dan polis dunia – Amerika Syarikat.

Hairan melihat Gaza masih hidup apabila sudah 2 tahun disekat. Pada akhir tahun 2008, Israel melancarkan perang terhadap Gaza, dengan harapan kali ini Gaza dapat dibunuh sepenuhnya, dan diserap ke dalam jajahan kolonial. Pengeboman Israel dilakukan tanpa belas kasihan, aksi barbarian ini disaksikan oleh dunia yang seolah-olah bisu, sekolah, prasarana UN, rumah-rumah, hospital semuanya dibom, tiada yang terkecuali. Selepas 22 hari Israel membunuh 1400 manusia termasuk 926 rakyat biasa. Namun ternyata rancangan kolonial Israel gagal, pejuang-pejuang Gaza tetap teguh mempertahankan tanah air mereka.

Selepas 8 tahun membuat sekatan, dan perang 2008 gagal membunuh Gaza, kuasa kolonial Israel bertambah malu, kerana disebalik kekuatan ketenteraan antara yang paling canggih di dunia, dengan dokongan persenjataan dari Amerika Syarikat berbilion dollar setiap tahun, Israel masih gagal membunuh Gaza. Pada 2014, Israel melancarkan perang sekali lagi. Kali ini lebih ganas, kolonial Israel membunuh 1600 manusia, 550 kanak-kanak, dan mengebom 73 infrastruktur kesihatan. Walaupun 8 tahun disekat, Gaza masih hidup dan pejuang-pejuang Gaza tetap teguh mempertahankan tanah air mereka, Israel gagal lagi.

Kini, setelah 13 tahun disekat, Gaza masih berdiri dan meludah kepada kolonial Israel yang gagal menjatuhkannya. Serangan terbaru adalah pada November 2019, apabila Israel terus mengebom Gaza dan membunuh 34 nyawa. Antara yang paling tragis adalah di Dir al-Balah apabila Israel mengebom dan membunuh hampir seluruh keluarga Asoarkas, 8 sekeluarga dibunuh 5 adalah kanak-kanak dan 2 masih bayi. Ia merupakan bentuk keganasan dan jenayah perang, namun dunia masih diam memerhati. Bayangkan jika 34 nyawa itu adalah warga Britain, German, atau Perancis, dunia akan bangun mengamuk. Netizen bakal menukar gambar profile mereka di media sosial tanda solidariti. Namun nyawa anak-anak Gaza tidak begitu berharga, tiada solidariti diberi pada mereka.

“Manusia. Mereka adalah manusia. Ada pertarungan disini – jururawat dan doktor menentang kematian” tulis Dr. Mads Gilbert, doktor dari Norway yang akan datang merawat rakyat Gaza dengan penuh dedikasi setiap kali ia dibom.

Kuasa kolonial Israel berharap sekatan mereka, jet-jet pengebom, dan peluru-peluru mereka akan menyebabkan Gaza tunduk kepada kekuasaan mereka, ternyata mereka silap, selepas 13 tahun disekat, dinafikan hak untuk hidup, Gaza tetap berdiri. Biar dikhianat dunia, dikhianat pemimpin Arab korup, walaupun disuruh untuk mati, Gaza memilih untuk terus berdiri.

Leave a Reply