WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Gastrik; Penyakit Bulan Puasa?

Gastrik; Penyakit Bulan Puasa?

Oleh: Dr Nurhuda Manshoor

Apabila tiba bulan puasa, datanglah penyakit gastrik ini. Seolah-olahnya penyakit ini hanya berlaku pada bulan ini sahaja. Kini, ketika puasa sudah menghampiri penghujungnya, bolehkah kita merasa lega kerana penyakit ini pun akan dengan sendirinya menghilang?

Penyakit gastrik atau istilah perubatannya, gastritis boleh jadi berlaku secara tiba-tiba atau sekali-sekala (akut) atau berterusan dalam jangka masa yang lama (kronik).

Pada kebanyakan orang, gastritis ini tidaklah serius dan boleh diubati dengan mudah, tetapi ada juga yang mengalaminya dengan berpanjangan sehingga berbulan-bulan, malah bertahun-tahun.

Terdapat beberapa punca seseorang mengalami gastritis, namun simptom atau tanda-tandanya adalah serupa. Biasanya rasa sakit yang pedih pada bahagian tengah dan atas abdomen, rasa mual dan muntah, kembung perut, kerap sendawa dan ketidak-hadaman. Dalam kes yang lebih serius, seseorang mungkin mengalami spit blood (terdapat sedikit darah di dalam air liur atau muntah) dan najis berdarah.

Perut kita dilapisi oleh satu lapisan mukosa untuk melindungi sel-sel perut dari sebarang kecederaan. Gastritis berlaku apabila terdapat keradangan (inflamasi) pada lapisan mukosa ini, menyebabkan lapisan mukosa ini tidak lagi dapat melindungi sel-sel perut. Apabila sel-sel perut ini terdedah, asid perut akan menghakis sel-sel ini, menyebabkan kecederaan. Kecederaan inilah yang mendatangkan rasa sakit yang pedih pada perut. Kita boleh bayangkan seolah-olah kita memerah limau nipis pada luka di kulit kita. Begitulah yang berlaku di dalam perut kita apabila mengalami gastritis.

Terdapat simptom serupa gastritis iaitu pedih ulu hati (heart burn). Rasa pedih ulu hati ini bukan disebabkan gastritis, tetapi akibat refluks asid perut yang memasuki saluran esofagus (saluran yang membawa makanan dari mulut ke perut) menyebabkan saluran ini tercedera.

Punca utama gastritis ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori. Punca-punca lain termasuklah merokok, stress, penggunaan alkohol secara berlebihan dan pengambilan ubat tahan sakit (jenis bukan-steroid) secara berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

Tekanan (stress) juga boleh menyebabkan iritasi pada permukaan lapisan perut. Tekanan menyebabkan hakisan pada lapisan mukosa pada dinding perut. Apabila lapisan mukosa ini semakin menipis, asid perut mudah mencederakan sel-sel perut dan menyebabkan keradangan.

Keradangan pada lapisan mukosa yang berpanjangan boleh menyebabkan ulser perut. Pada masa ini lapisan yang melindungi dinding perut telah pun bocor dan sel-sel perut tercedera dengan teruk. Ulser perut boleh menyebabkan pendarahan dan pendarahan yang teruk boleh menyebabkan pesakit mengalami anemia.

Untuk mengelakkan berlaku gastritis, eloklah mengamalkan gaya hidup sihat, tidak merokok dan mengambil minuman keras, tidak menggunakan dadah terlarang atau ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor. Makanan atau buahan yang masam (berasid) dan minuman berkarbonat juga patut dielakkan.

Jadi, apa kena mengena dengan bulan puasa? Pada bulan puasa, jadual pemakanan kita bertukar dari rutin. Pada hari-hari biasa, perut kita dibiasakan dengan makan sarapan, tengahari dan malam. Pada waktu-waktu ini, perut akan menghasilkan asid dalam jumlah yang lebih banyak sebagai persediaan untuk menghadam makanan yang bakal tiba. Pada bulan puasa, kita tidak makan tengahari, tetapi perut yang sudah dibiasakan dengan menerima makanan pada waktu itu akan tetap menghasilkan asid.

Bagi penghidap gastritis, kehadiran asid yang berlebihan ketika perut kosong boleh menyebabkan keradangan lapisan perut menjadi lebih buruk.

Pada bulan puasa, beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengelakkan berlakunya gastritis. Di antaranya ialah bersahur di akhir waktu dan berbuka di awal waktu. Selain itu, tidak makan terlalu banyak ketika berbuka. Makan sedikit-sedikit beberapa kali sepanjang malam. Elakkan makan makanan berminyak, terlalu pedas atau berempah. Elakkan juga minuman bergas dan yang mengandungi kafein seperti teh dan kopi. Jangan tidur sebaik sahaja selepas makan, ketika perut kenyang.

Jika gastritis berlaku juga, jangan ambil ubat tahan sakit, kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Segera berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan agar punca sebenar gastritis boleh dikenal pasti dan dirawat.

Doktor akan membuat beberapa prosedur pemeriksaan dan bertanyakan beberapa perkara untuk mengenalpasti punca sakit dan faktor yang menyebabkannya melarat. Jika disebabkan jangkitan, doktor akan merawat jangkitan menggunakan antibiotik. Sekiranya disebabkan pemakanan, makanan dan minuman tersebut perlu dielakkan. Jika melibatkan gaya hidup (merokok, meminum minuman keras, pengambilan dadah dan ubatan), perkara itu perlu dihentikan.

Leave a Reply

Close Menu