FESTIVAL SENI KOLEKTIF 2.0: PANDANG KE BORNEO

FESTIVAL SENI KOLEKTIF 2.0: PANDANG KE BORNEO

  • Post category:Gerakan

Oleh: Yeyen Khoo

Festival Seni Kolektif 2.0: Pandang Ke Borneo anjuran Borneo Komrad dengan kerjasama Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA UMS), dan Suara Mahasiswa UMS telah berlangsung pada 23 Mac 2019 (Sabtu) lepas. Festival ini merupakan program tahunan bagi Borneo Komrad dan tahun ini merupakan tahun kedua festival ini dilangsungkan. Dalam rangka menghimpunkan kolektif-kolektif dari pelbagai pelosok untuk membina hubungan baik dan menstrukturkan suatu ruang kesatuan yang idealis dan berfokus, Borneo Komrad telah meletakkan prinsip asas dalam membangun advokasi dan gerakan anak muda iaitu anak muda mandiri dan pro rakyat.

Tanpa dana yang banyak, segala jenis aktiviti seni dan jualan karya dianjurkan semata-mata untuk menyediakan ruang interaksi di antara kolektif-kolektif seni dan masyarakat khususnya. Acara yang dinyatakan ini tidak terhad untuk jualan karya sahaja, tetapi turut diselitkan dengan Bengkel Seni iaitu “Bengkel Cungkil Kayu” bersama Aerick dan “Apresiasi Visual” bersama Hani Mahdi. Selain itu, beberapa lagi pengisian seperti “Screening bersama Pangrok Sulap” dan “Sesi Perkongsian Borneo Bengkel” yang diwakili oleh Catriano. Sesi perkongsian dari kolektif-kolektif ini telah membuka konteks perbincangan gerakan mengikut medium yang berbeza termasuklah mengekspresikan cerita-cerita dan permasalahan komuniti dalam bentuk visual.

Apresiasi Visual bersama Hani Mahdi

Inisiatif Borneo Komrad dalam menghimpunkan kolektif-kolektif pada kali ini juga untuk memperkenalkan suatu idea baru yang semakin hangat diperkatakan pada waktu ini berkaitan tentang Sekolah Alternatif bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen. Cetusan idea mahasiswa dan anak muda ini mulai diperkenalkan sekitar tahun 2015 dalam kelompok mahasiswa dan mulai menemui sistem dan analisis yang lebih bersifat akademik sekitar tahun 2018.

Dalam mendukung idea ini, Borneo komrad telah meletakkan pengisian-pengisian yang berbentuk pengenalan dalam Festival Seni Kolektif 2.0: Pandang Ke Borneo pada kali ini. Antara pengisian festival yang menjurus kepada Sekolah Alternatif ialah Tayang Filem Pendek “Kami Mahu Sekolah” karya Putri Purnama Sugua yang didiskusikan oleh Sabir Syarifuddin kemudian diikuti dengan sesi Pembentangan “Pengenalan Sekolah Alternatif” oleh Mukmin Nantang yang merupakan pengasas dan guru Sekolah Alternatif. Ruang perbincangan yang bersifat akademik ini telah membawa kepada suatu perbincangan realis yang tidak hanya memfokuskan kepada soal pendidikan tetapi persoalan-persoalan ekonomi dan sosiobudaya. Hal ini menjadi langkah awal kepada pembangunan pendidikan anak-anak tanpa dokumen sekaligus meyakini bahawa pendidikan merupakan alat pembebasan.

Santapan bubur yang dihidangkan kepada para pengunjung

Acara diteruskan dengan duduk santai di bawah lampu neon kota yang diistilahkan sebagai “Kenduri Puisi”. Kenduri Puisi merupakan acara berganti-ganti membacakan puisi dan ia dijadikan sebagai ruang bebas berekspresi bagi pengunjung yang datang ke festival tersebut.

Acara kemuncak festival kali ini disajikan dengan “Forum Pandang ke Sabah 2.0: Bagaimana Melestarikan Citra Seni Negeri di Bawah Bayu”. Forum tersebut telah menampilkan panel-panel yang kritis dan kritikal dalam membincangkan isu-isu seni dalam konteks lokaliti sehingga Negara bangsa. Perbincangan ini sekali gus telah membawa kepada perbincangan yang lebih serius mengenai permasalahan masyarakat di Negeri Sabah. Antara panel yang mengisi ruang wacana tersebut ialah Prof. Dr. Ramzah Dambul, Encik Eko Prayitno, Encik Mukmin Bin Nantang dan dimoderatorkan oleh Dr. Lokman Abdul Samad. Cetusan-cetusan idea ini telah membawa kepada persoalan-persoalan ekonomi, pendidikan, sosial dan politik di Negeri Sabah khususnya. Menariknya forum pada kali ini, ubi kayu rebus dan kopi panas menjadi sajian utama kepada panel dan hadirin.

Pihak Penganjur Festival Kolektif Seni 2.0: Pandang ke Borneo mengucapkan terima kasih kepada kolektif-kolektif dan pengunjung yang datang bertandang ke festival kali ini: Pangrok Sulap, Borneo Bengkel, Terjebak Komuniti, Free Read, Bentarakata, GEMAS, KARISMA Budaya, PERMASS UMS, pelajar-pelajar Sekolah Alternatif Teluk Layang dan Suang Parai, orang perseorangan, mahasiswa dan masyarakat. Semoga ketemu lagi di Festival Kolektif Seni 3.0: Pandang ke Borneo tahun hadapan! Selamat membangun anak muda mandiri dan Pro Rakyat!

Leave a Reply