Elbakyan dan Gerakan Pembebasan Kemajuan Sains

Elbakyan dan Gerakan Pembebasan Kemajuan Sains

  • Post category:Sains

Oleh : Syed Ahmad Fathi

Walaupun kita sekarang hidup di zaman sains moden, ada masalah kepada penerusan dan kemajuan sains hari ini. Sebuah artikel yang ditulis oleh Benjamin Kaube dalam portal The Guardian menyatakan masalah ini dengan menulis “para saintis sepatutnya menyelesaikan masalah bukan bersusah payah untuk mengakses jurnal”. Ya, masalah kepada sains moden hari ini adalah akses. Masalah ini berpunca dari sistem penerbitan jurnal saintifik yang berpaksikan keuntungan, sedangkan ilmu mempunyai konsep keuntungan yang lain, tidak seperti harta, ilmu bertambah apabila dikongsi.

Bagaimana sistem keuntungan ini berfungsi? Penyelidik sentiasa perlu menerbitkan artikel untuk relevan di peringkat universiti – penyelidikan yang kebiasaannya menggunakan wang awam. Mereka akan menandatangani perjanjian untuk memberi hak cipta dan kerja mereka kepada penerbit secara percuma. Penerbit menghantar artikel untuk di review secara percuma oleh penyelidik lain. Hasil terbitan dijual semula kepada penyelidik dan universiti untuk akses.

Dengan sistem keuntungan penerbitan saintifik, setiap penulisan perlu dibayar untuk akses, ini mencipta barrier kepada penyelidik dari negara-negara kurang membangun untuk memajukan progres penyelidikan mereka.  Ia bukan sahaja melambatkan proses pengembangan sains malah menghalang penyelidik dari mendapatkan bahan-bahan ilmu berkualiti bagi mengembangkan keilmuan.

Pada tahun 2011, seorang wanita muda berusia 23 tahun bangun untuk melawan sistem ini. Beliau adalah Alexandra Asanovna Elbakyan. Beliau lahir di Kesatuan Soviet, yang kemudiannya menjadi sebuah negara bebas bernama Kazakhstan. Beliau merupakan lepasan dari Universiti Teknikal Nasional Kazakh dalam bidang sains komputer dan mahir dalam skill computer hacking. Beliau kemudian berkhidmat di sebuah syarikat sekuriti komputer di Moscow sebelum ke Freiburg untuk mengikuti projek brain-computer interface, dan pernah menjadi intern di Institut Teknologi Georgia di Amerika Syarikat.

Elbakyan sendiri merupakan penyelidik, beliau sendiri menghadapi masalah untuk mengakses penulisan saintifik dan mendapati penyelidik sering meminta satu sama lain dalam forum yang tidak efisien. Pada 5 September 2011 beliau melancarkan portal Sci-Hub dimana penyelidik dapat mengakses 50 juta penulisan akademik tanpa sekatan paywall secara percuma. Sci-Hub menjadi popular dengan cepat dikalangan penyelidik dan menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak 10 billion USD setiap tahun.

Sci-Hub mendapatkan jurnal dari maklumat yang dibocorkan dan memberikan akses percuma hampir dari semua penyelidikan akademik. Pada tahun 2015, penerbit penyelidikan terbesar dunia, Elsevier menyaman Sci-Hub atas alasan hak cipta. Sci-Hub disaman sekali lagi oleh Persatuan Kimia Amerika pada tahun 2017. Tindakan undang-undang ini menyebabkan domain Sci-Hub di tutup, namun Sci-Hub berpindah kepada satu domain ke satu domain yang lain dan terus kekal boleh diakses hingga ke hari ini.

Sesetengah orang membandingkan usaha beliau dengan karakter Robin Hood, beliau berkata “Saya fikir ia bukanlah perumpamaan yang bagus, kerana apa yang dilakukan adalah salah. Dan berkongsi buku dan jurnal penyelidikan bukanlah satu kesalahan”. Sementara itu, beliau dianggap sebagai heroin oleh golongan yang mengadvokasi akses percuma buat ilmu, Heather Joseph adalah salah seorang daripadanya, dia berkata “Saya hargai usaha beliau, beliau menyinarkan cahaya kepada masalah pada sistem kini yang tempang, universiti dan penyelidik memerlukan akses yang mudah bagi membangunkan sains”.

Sehingga sekarang, Elbakyan masih mengumpulkan artikel ke dalam database Sci-Hub bagi kegunaan umat manusia secara percuma. Bagi pendokong progres sains beliau adalah heroin manakala bagi penerbit yang ingin mengumpul keuntungan beliau adalah penjenayah hak cipta. Kerana bimbang akan di ekstradisi, beliau kini bersembunyi di lokasi rahsia.

Leave a Reply