Di Belakang Tabir Kes SFI yang Belum Selesai

Di Belakang Tabir Kes SFI yang Belum Selesai

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Farahani R

Sabah Forest Industries, atau lebih dikenali dalam kalangan orang Sabah sebagai kilang kertas Sabah. Berdekad lamanya, industri kertas adalah industri yang laku. Di Sabah sendiri, keupayaan Sabah mengeluarkan kertas jenama tempatan bukan sahaja membanggakan warga Borneo malah ia menjimatkan ramai pihak. Di sekolah, di rumah, di kedai – jarang saya melihat ream berkulit warna selain dari huruf besar hijau dan biru dengan 3 abjad. S-F-I.

Anda boleh cari sendiri kes SFI dalam carian enjin maya. Kali ini tulisan saya mungkin agak berunsur emosional dan nostalgik; kerana saya secara teknikalnya membesar dalam lingkungan SFI. Saya punyai saudara rapat yang bekerja dengan SFI, jadi sedikit sebanyak meresaplah sayang saya dengan SFI. Bahkan bapa saya juga pernah bekerja kontrak di SFI sebagai “tukang angkat-angkat kayu”. Kisahnya sentiasa dibuka dengan tugas angkat kayu untuk diproses dalam kilang. Pada waktu itu, pengurusnya biasa berbahasa Inggeris dan dari situlah, bapa saya kena pandai berbicara Inggeris. Sambungnya lagi ketika duduk berhadapan minuman sirap merah di sebuah kedai makan terletak di Putatan, gajinya cuma RM300 sahaja.

Masalah bermula

Saya bertanya: SFI tu siapa punya? Sambungnya, dulu SFI tu kerajaan negeri punya. Tapi kerajaan negeri jual. Saya bertanya kenapa pula dijual. Sambungnya, ndak tahu kenapa. Saya hanya mampu merenung dada biru ditumbuhi awan kapas di balik bukit bukau yang gah berdiri bertanda keramat pendalaman Sabah berada di sana. Di sisi jalan kami, bayang-bayang kawasan perumahan untuk pekerja SFI. Sejarawan dalam diri kuat mengatakan bahawa tindakan penjualan aset negeri itu pasti berlaku ketika Dasar Penswastaan giat dijalankan di peringkat nasional. Benar, ia berlaku pada 1995.

Penswastaan ini dilepaskan kepada Lion Group sebelum dijualkan kepada sebuah syarikat India yang diam-diam melingkup di tanah airnya, Ballapur Industries Limited (BILT). Mungkin bahagian selepas ini, adalah hakikat yang tidak dilaporkan media. Hakikat ini datang dari sumber lisan yang amat saya percayai kredibilitinya. Tidak sedar, kami membelok ke kiri. Dahulu kawasan SFI tidak sekemas dan seindah kini. SFI dahulunya dikenali hanya dengan papan tanda nama ‘Sabah Forest Industries’. Jalannya beraspal, manakala beberapa meter dari papan tersebut pula ada persimpangan. Jalan lurus untuk ke kawasan kilang. Belok kiri untuk ke kawasan rumah. Kedua-dua kawasan ini dilindungi pegawai keselamatan.

Dari tadi saya menikmati suasana hijau lapang yang tenang dari Sindumin. Penghujung Sabah sebelum merentasi checkpoint ke Lawas, Sarawak. Jalannya lurus sahaja, sekali belok kemudian turuti sahaja jalan yang tenang kehijauan padi dan tanaman rata lain yang tidak saya kenali sebelum beberapa puluh KM itu mencecah rumah-rumah pekerja yang sudah lama ‘kehilangan kerja’ akibat pergolak-rebut SFI dalam peringkat bos-bos gemuk. Saya tanya apa khabarnya, dan saya terus menjadi pendengar aktif serta sekali sekala, bertukar peranan menjadi penemu ramah investigatif terhadap apa sebenarnya yang berlaku di SFI.

Di sebalik tabir

Ballapur bankrap di India, lalu keuntungan SFI menjadi sumber utama menghidupkan semula syarikat India yang nazak tercungap-cungap. Kilang tersebut ditinggalkan olehnya dalam keadaan tergesa, dan paling hina – berhutang berjuta ringgit dengan pembekal balak dan syarikat pembekal elektrik serta air. Kerajaan negeri tidak mampu membelinya semula, apatah lagi di bawah pentadbiran Musa Aman (masalah ini berlaku pada 2017). Pelangi Prestasi Sdn. Bhd. datang menjadi pahlawan dalam perisai bersinar, berjanji agar pembelian SFI dan asetnya. Ini dilaporkan pada 7 Mei 2018, hanya 2 hari sebelum tumbangnya BN tua di Sabah.

Dalam tempoh 2017-2018, wakil pembangkang turun padang dengan ‘simpati’ bahawa mereka akan cuba menyelesaikan kerunsingan para pekerja. Dari sinilah saya mengenali wakil tersebut (dan akhirnya menang kerusi Parlimen Tawau pada 2018) dan agak berharap bahawa Tawau boleh maju membangun jika benar nuraninya kasihkan rakyat sepertimana bisingnya beliau demi pekerja SFI. Ketika ini, protes untuk kehidupan mereka seolah-olah pergi berperang dengan risiko jikalau esok, mereka akan diheret ke Balai Polis Sipitang.

Saya lihat jalan perumahan semakin banyak yang rosak, membekas lubang yang dalam di sana sini. Bahaya untuk kanak-kanak riang girang berbasikal setiap petang. SFI tiada duit baiki, putus saudara saya. Pekerja ada diberi gaji, cuma separuh. Siapa yang mahu berhenti, boleh berhenti tanpa kena apa-apa tindakan. Sudah ramai yang berhenti malah berpindah ke kampung dan ada yang berhijrah ke Kota Kinabalu untuk cari kerja baharu. Gaji separuh, untuk hidup berkeluarga adalah cabaran yang sukar. Untuk orang bujang dan muda, agak mudah mengharungi dugaan begini, getus hati saya.

Motel SFI kosong nampaknya, dan kolamnya juga tidak terjaga. Bapa saya mengenang; motel SFI ini cantik dulunya. Ramai orang suka tinggal, dulunya. Tapi motel ini juga perlu duit pusingan semula untuk dibuka. Mana cukup ia digunakan untuk menjana pendapatan sebesar kilang pulpa. Kemenangan Parti Warisan adalah nafas baharu buat rakyat Sabah. Se’non-partisan’ saya pun, saya mengharap permulaan baharu buat Sabah. Buat SFI. Harapan saya termakbul apabila khabar dari saudara saya bahawa sudah ada syarikat baharu dari tanah besar China ingin membeli SFI, aset dan liabiliti berjuta ringgit tersebut. Ini pada 2018.

Tangan jahat?

Untuk seperempat tahun 2019, saya bertanya semula apa perkembangan SFI. Kata saudara saya, syarikat China tersebut bertangguh beli kerana ada masalah dengan kilang tersebut. Disisip penuh harapan dalam baris perbualan kami terhadap pembelian SFI ke tangan baharu. Barulah saya tahu bahawa Pelangi Prestasi tidak puas hati dengan Grant Thornton Consultant, orang tengah yang membawa tamu dari jauh, Lee & Man Paper Manufacturing Ltd. Saudara saya sempat berkongsi mengenai ‘bahaya’ syarikat China ini, dari sebuah artikel dari sebuah laman blog yang menerangkan busuk hati di sebalik strategi Lee & Man Paper Manufacturing Ltd. Beliau bertanya pendapat saya pasal idea secebis artikel berdomain blogspot ini.

Malang sekali, saya tidak dapat petik semula artikel tersebut. Apa yang saya faham dari penulis artikel ini adalah Borneo akan menjadi gelanggang baharu geopolitik China. Apa yang saya fikir pula adalah apa China mahu dari Borneo? Saya tidak menolak sepenuhnya pendapat ini. Saya cuma berfikir apa China mahu dari Borneo? Kepentingan geopolitik apa? Filipina dan Indonesia? Saya boleh terima jika benar Borneo menjadi padang percaturan kuasa antara China dan Amerika disebabkan prinsip Filipina yang pro-Amerika. Ini boleh menjadi suatu leverage kepada China dalam perang perdagangan China-US.

Apa pun perihal geopolitik adalah luar pengetahuan saya. Keseluruhan tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman saya dan perbualan peribadi dengan saudara rapat yang saya kasihi di SFI. Sedang menunggu sinar keadilan, bersama-sama.

Leave a Reply