WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
“Damn the Dam!”: Pergelutan TAKAD dan Kerajaan Sabah

“Damn the Dam!”: Pergelutan TAKAD dan Kerajaan Sabah

Oleh: Farahani R.

Saya rasa orang Sabah patut tahu dan ambil peduli kisah ini, sebagaimana kita peduli hal Zakir Naik mutakhir ini. Malah, tidak segan saya menggunakan istilah ‘pergelutan’ kerana ia sudah berlanjutan dalam tempoh yang sangat lama. Meskipun tidak bertumpahan darah (belum lagi), kita harus tahu bahawa kisah pembangunan melawan kemajuan bukan lagi satu keperluan. Ia satu pilihan. 

Kisah Ulu Papar secara rasminya bermula pada 2015 (ideanya dikatakan sudahpun wujud sejak 90-an), iaitu apabila Ketua Menteri Sabah dalam era 90-an itu menunding kesyukurannya bahawa Empangan Babagon berjaya menyalurkan jumlah bekalan air yang banyak. Pairin melihat hanya satu cara sahaja untuk menyelesaikan isu air iaitu dengan membina empangan. 

Barangkali untuk pemikiran orang tua khususnya pada era 90-an, ia berjaya kerana tampak jelas bahawa ia berfungsi. Namun setiap kali ribut hujan lebat mencurah-curah tidak berhenti di Penampang, ramai berkongsi kerisauan sama – Empangan Babagon dikhuatiri pecah. Saya mengenang takut dan risau saya bersama sahabat-sahabat sekolah yang bukan sahaja perlu memikirkan korban harta yang ditenggelami air. Mereka juga akhirnya perlu risau jika empangan besar itu akan pecah; korban jiwa naif yang masih muda. 

Pairin meneruskan ucapannya. Tempiknya lagi, Empangan Kaiduan amat perlu untuk menampung keperluan air Sabah khususnya di bahagian Barat. Ya, dia tahu lebih dari 2000 orang penduduk akan terjejas. Jadi dia kata nanti dia akan uruskan mereka dengan suatu penempatan baharu. Dengarnya seperti praktikal, bukan? Pindahkan sahaja dan beri mereka tanah baharu untuk dikerjakan. Respon Pairin sebagai pemimpin kanan yang kaya sentiasa meletak segala isu rakyat dibaris depan dengan ahli pembangkang menampakkan rakyat sebagai deposit undi yang hidup mereka tiada kena mengena dengan realiti pemimpin seharian. 

Ini semua rancak diusahakan pada 2015 – perbincangan antara kumpulan penduduk yang menentang dengan wakil pemimpin, lebih banyak sidang media, lebih banyak tohmahan pada ahli pembangkang. Untuk tiga tahun itu, penduduk kampung diorganisasi menjadi Task Force Against Kaiduan Dam (TAKAD). Ketika 2016, perjuangan mereka menentang kerajaan begitu konsisten dan tersusun. Saya banyak mengkaji kebangkitan-kebangkitan rakyat dalam dunia ketiga, maka dalam pendapat saya, TAKAD merupakan antara kebangkitan rakyat yang berdisiplin. Ia bukan suatu organisasi rakyat yang rogue atau reaksionari – ia benar-benar berdiri atas conviction yang amat dipercayai. 

Keteguhan keputusan kerajaan untuk meneruskan empangan ini dan cubaan mereka menyelesai-aman konflik dengan penduduk Ulu Papar nyata tidak jujur. Pihak polis dilibatkan dalam hal ini (ah, instrumen orang berkuasa) apabila Galus Ahtoi, seorang aktivis yang berkongsi status Facebook yang berbaur penentangan terhadap projek empangan Kaiduan disoal siasat hingga 2 jam. TAKAD sempat menjawab mengapa mereka enggan membenarkan pengkaji alam sekitar dari Institute of Development (IDS) Sabah meneliti kawasan bakal empangan tersebut. 

“We have seen this happen to the relocated people of Sungai Asap with the Bakun Dam case in Sarawak, as well as with other projects, whereby such studies can be used as ‘tickets’ or green light for the relevant project to be given a go.” – Nousi Giun, Pengerusi TAKAD, 16 Februari 2016. 

Disusuli dengan kes penangkapan Pengarah Jabatan Air Sabah pada 4 Oktober tahun yang sama, projek empangan tersebut semakin basah dengan kecurigaan bahawa mungkin adanya foul play dalam idea empangan ini. Adakah ini satu lagi peluang oleh orang yang sama untuk mengaut lebih banyak ringgit agar cucu-cicitnya terus menggemukkan harta? Pertanyaan ini langsung tidak membantu mana-mana pihak pun. Bagi kerajaan ketika itu, perkara ini sepertinya tidak boleh dikawal rosaknya. Bagi TAKAD dan mana-mana aktivis yang bersolidariti; kerajaan negeri sama tamaknya dengan penjarah hutan dan autoriti yang memperlekeh desakan rakyat. 

Saya katakan usaha TAKAD adalah kebangkitan rakyat Sabah yang berdisiplin kerana selain dari ketersusunan dan perjuangan mereka yang konsisten, mereka disokong oleh organisasi tempatan yang berunsurkan agama. Penentangan mereka dipaparkan dalam laman web Catholic Archdiocese of Kota Kinabalu. PAS Sabah juga meliputi perjuangan mereka, maka secara langsung, perjuangan mereka direstui oleh wajah-wajah religius. Mana-mana kebangkitan rakyat yang menyantuni dan akhirnya disantuni badan agama akan beroleh sokongan yang lebih gagah. Apatah lagi jika idea-idea perjuangan ini diulangi dalam bentuk hermeneutika agama – itu lebih dahsyat impaknya. 

Kemenangan Parti Warisan sepatutnya melegakan TAKAD dan rakyat, pada masa yang sama merasakan will to survive para penduduk Ulu Papar. Sepatutnya. Kerana selepas itu, idea pembinaan empangan ini tetap diteruskan jua oleh Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah kini (selepas beberapa hari berkonflik dengan Musa Aman). Kali ini, idea empangan Kaiduan dijenamakan semula sebagai Empangan Papar dengan kawasan yang sedikit lain dari cadangan Empangan Kaiduan Dahulu. Ia diluluskan oleh Kabinet Sabah akhir bulan Oktober 2018, walaupun masih ditentang oleh para penduduk khususnya penduduk Kg. Binsuang. 

Sehingga kini, Parti Warisan masih lagi melihat empangan adalah satu-satunya saviour dalam isu bekalan air. Alternatif yang datang dari kerajaan biasanya dinoktahkan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian. Seolah-olah tidak peduli mengenai pelestarian alam atau impak jangka panjang. Visi empangan adalah satu-satunya wahyu terakhir. 

Antara cadangan penyelesaian yang sepatutnya difikirkan

Saya mendapati beberapa alternatif kepada idea empangan tersebut. Maka saya kutip dalam perenggan ini agar rakyat Borneo mengerti bahawa praktikaliti pada masa kini harus mengambil kira aspek kelestarian alam. Ini sudah abad ke-21 dan kita amat perlu idea segar yang baharu. Yang mungkin berfungsi lebih baik dari idea lapuk 80-an. Duit boleh cari dan jana semula. Alam, bagaimana pula?

Antara solusi yang dicadangkan oleh TAKAD adalah pembinaan coastal reservoirs, meningkatkan keberkesanan empangan sedia ada dan kilang rawatan air. Yang saya lihat, idea pembinaan coastal reservoirs juga dimasukkan dalam pembentangan Dr. Felix Tongkul manakala respon kerajaan kepada fokus fasiliti sedia ada agak ‘lembab’. Kelihatannya polisi kerajaan negeri juga lebih berminat untuk menjimatkan wang bajet dari Putrajaya berbanding melestarikan alam sekitar. 

Proses rawatan air terlalu mahal, kata Shafie. Malah kita harus tamatkan saja untuk penjimatan, katanya lagi. 

Dr. Felix Tongkul kemudian mencadangkan water catchment – lebih murah, lebih jimat ruang dan tidak mendatangkan kesan buruk pada alam manusia dan alam sekitar. Kaedah ini berkesan di Sungai Tuaran, maka kenapa tidak di Papar? Potensinya lebih besar daripada empangan yang sudah nyata memberi keburukan untuk jangka masa panjang. 

Saya lebih percaya kata-kata Dr. Felix sebagai pakar alam sekitar Sabah berbanding kata-kata seorang pemimpin. Atau apakah idealisme seorang intelektual hanyalah mitos yang tercipta dari ilmu yang digapai dalam universiti? Jika ya, maka kesalahan minda jangka pendek Borneo bukan di tangan kekurangan intelektual, tapi kesombongan para pemimpin yang lebih berminat dipuji Putrajaya kerana mampu menjana jumlah kewangan yang lebih banyak dari bajet yang diberikan.

Leave a Reply

Close Menu