SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
Curiga Dengan Poji

Curiga Dengan Poji

Oleh: Hafal Abu

Cerita menarik adalah kali ketiga ketika Poji mengalaminya. Yang kali pertama dan kedua itu tidaklah setanding dengan cerita yang ketiga ini. Maka dengarlah kisah si Poji, seorang lelaki yang baik orangnya kalau ikut kata orang tua.

Berambut pendek dan halus kerintingnya. Wajahnya pula licin dari segala batuan. Berkulit sawo matang. Tingginya pula tinggi orang kebanyakan. Tidaklah melampau, tidak juga rendah. Cukup tinggi buat tepuk bahagian atas daun pintu.

Sememangnya, Poji ini adalah orang biasa kita nampak di jalanan. Pendiam. Tidak membuat kacau di tempat orang ramai. Sejenis lelaki yang gilakan kedamaian. Petuanya untuk kekal berdamai agak pelik. Dia selalu membayangkan bagaimana kekacauan yang dia mampu lakukan, kemudian insaf dan terus menjadi seorang yang pasif.

Contohnya, di kedai makan yang padat dengan pelanggan, dan terduduknya Poji di  antara orang ramai. Dia rasa tidak selesa dengan orang sebelah kanannya yang berbadan besar dan tubuhnya berbau masam. Mungkin bau itu bukan masalah besar. Dia faham dalam keadaan kedai yang padat, tambah lagi dengan pengudaraan yang tidak lancar, pastinya orang gemuk akan cepat berpeluh.

Cuma, yang menambah besar api kemarahannya itu, orang gemuk itu dengan selamba menghisap rokok tanpa memikirkan tentang dirinya. Tambahan pula, ada budak kecil selang beberapa buah kerusi dari situ.

Jadi, dalam waktu orang gemuk itu enak menghisap rokok dan ketawa sesuka hatinya, Poji terus genggam kuat pada garpu di tangan tangannya dan tusuk terus pada paha kiri seperti lagaknya dia adalah Poseidon mencucuk raksasa laut hodoh.

Orang gemuk itu terkejut dan menjerit sekuat hati sambil menahan paha kirinya. Satu kedai terus diam. Poji dan orang gemuk menjadi pusat perhatian. Budak kecil itu juga terpaku melihat Poji. Jeritannya nyaring seperti jeritan seekor gajah liar. Menyesal pula Poji bertindak gelojoh. Saat itu, Poji tahu, dia akan mampus. Sepantas kilat belakang kepala Poji dicengkam dan hidungnya dihentam dengan dahi orang gemuk itu.

Poji terpaku. Orang gemuk itu sambung menghisap rokok. Ketawanya seakan pontianak mengilai. Entah lawak apa yang kawannya buatkan. Garpu masih lagi ada pada tangan kanan Poji. Dan seluar orang gemuk itu bersih dari luka. Poji cepat-cepat habiskan makanannya dan berambus dari kedai makan itu.

Setentunya, kisah yang ketiga itu bukan tentang khayalan Poji. Ianya tentang memori hidupnya yang kalau orang lain dengar, seakan terlampau fiksyen. Poji, cuma lelaki biasa dan kebiasaannya lelaki akan melalui tahap ini. Sebelum melangkah terus ke cerita ketiga, cerita pertama dan kedua juga mesti diketahui.

Cerita pertama, Poji membuat temu janji dengan seorang kawan lamanya setelah sekian lama tidak berjumpa. Temu janji di hotel. Macam mana boleh sampai ke tahap ini? Itu yang ganjil tentang Poji.

Nama kawannya Imot. Imot seorang perempuan yang baik seperti Poji. Manis orangnya. Berambut lurus dan panjang. Dahinya luas. Berkulit putih. Dadanya kurang menonjol. Tingginya hanya pada paras telinga Poji.

Waktu itu mereka masih muda dan jiwa muda ini lain macam panasnya. Kedua-duanya masih belum luas pandangan dunianya. Pada awal tempoh persahabatan, mereka tahu mereka boleh pergi jauh dengan hubungan sebegini.

Imot selesa dengan Poji, Poji pun sama. Sampailah satu masa, mereka bergaduh entah tentang apa, lalu kedua-duanya tidak mahu bertegur sesama sendiri. Selepas beberapa bulan, hubungan mereka kembali pulih. Semasa itulah Imot terus membawa Poji bertemu janji di hotel.

Poji pula lurus bendul. Mana tahu ada bonusnya, fikir setan kecil Poji. Sesampainya di hotel, Poji duduk di hujung katil dengan penuh rasa cemas. Gelagatnya seperti anak dara buat maksiat untuk kali pertama. Malu-malu kucing. Siapa tahu kalau ada pegawai majlis agama mengikuti mereka dari belakang, fikir Poji.

Imot datang duduk merapat dan menggenggam jari Poji lalu mengusapnya perlahan-lahan. Naik merah muka Poji. Poji tertanya ke mana dia menghilang selama ini.

“Rindu?” tanya Imot sambil mencubit dagu Poji dan tersenyum.

Poji tersipu dan memalingkan wajahnya ke arah lain. Diam. Sebatang paku jatuh ke atas lantai pun boleh terdengar dengan suasana ini. Untuk memecah rasa janggal, Imot terus berterus terang dan ceritakan tentang apa yang berlaku semasa mereka tidak berhubung.

Imot didatangi oleh seorang lelaki kacak dan untuk dipendekkan cerita, mereka tidur bersama. Selama tiga hari berterusan Imot dikerjakan oleh lelaki itu. Kemudiannya dia menyesal. Dia rasa dirinya kotor dan maruahnya hilang.

Pada saat itu baru dia fikir, lelaki seperti Pojilah yang baik untuk dijadikan peneman hidup. Tidak pernah mengambil kesempatan dari awal perkenalan. Lalu dia ingin memberi dirinya kepada Poji supaya Poji kekal dengan dirinya.

Poji terdiam dan setan kecilnya membawa dia jalan-jalan sekitar lorong dosa. Setan itu memberi bayangan betapa jantannya dia menghentam Imot habis-habisan. Mencengkam tubuhnya seperti harimau kelaparan. Ditarik, disorong mengikut kemahuannya. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itu tidak berhenti hentaman. Dia juga membayangkan bagaimana letupan gunung berapi boleh berlaku setelah lama tidur menyimpan semua lava di dalam perut bumi.

Poji terduduk diam di bucu katil. Berbaju kemeja dan ekor kemejanya masih tersimpan kemas di dalam seluar. Terus dia meletakkan tangan Imot ke atas paha, menepuk perlahan beberapa kali, tersenyum lalu keluar dari bilik hotel dan menuju ke kedai makan. Itulah kali terakhir mereka berjumpa.

Untuk cerita kedua, bagaimana Poji boleh dapat pengalaman sebegitu masih satu misteri. Tapi, rentak cerita kedua lebih menarik kerana kali ini Poji tidak dapat menahan nafsunya.

Iya, dia ada hubungan rapat dengan kawan sekelasnya. Namanya Eli. Kelihatan begitu cantik dan menggoda dengan kulit putih, bentuk mukanya kecil, bermata sepet, rambut berkilat dan dadanya pula ranum, cukup segenggam.

Entah apa yang mahu dinamakan hubungan mereka. Eli sudah berpunya. Poji pula tidak berpunya dan dia berkeras tidak mahu digelar sebagai skandalnya. Kalau mahu dipanggil kawan saja, kenapa boleh sampai bercumbu-cumbuan di dalam kereta?

Habis saja mereka kokak mengokak, Eli akan merajuk sedikit. Katanya tidak puas. Poji masih lagi seorang lelaki yang naif. Dan dia seakan tidak memahami kemahuan Eli. Eli kata, dia mahu ditanam.

Poji membayangkan cara menanam itu pula. Tidakkah tanah yang lama tidak ditanam akan ada banyak semak? Dia malas mahu berurusan dengan semak. Apatah lagi dengan tanah yang becak. Untung kalau tanah subur. Berseleralah juga untuk menanam. Tapi, kalau subur pun bahaya, takut-takut menjadi pula tanaman. Perlu menjaga lagi sudah satu hal.

Kemudian dia fikir, kenapa perlu sampai menanam? Tidakkah setakat merasa manis tebu itu sudah mencukupi? Bagaimana pula kalau ada tanaman lain di tanah itu, soalnya lagi. Atau ini satu langkah perangkap buat dirinya?

Tidak ada setan kecil kali ini. Tertimbus di dalam tanah becak. Sukar baginya untuk bangkit menghasut Poji. Sesudah itu, Poji pun keluar dari kereta dan meninggalkan Eli sendirian tanpa kata. Dia berjalan kaki menuju ke kedai makan. Dari tadi dia mengidamkan roti canai dan teh ais.

Selepas beberapa bulan, Eli tidak datang ke kelas. Poji tanya ke mana dia pergi. Tidak sihat kata kawan rapatnya. Poji kekal diam dan setan kecil tetap bengang kepada Poji disebabkan peristiwa lalu.

Dan kisah terakhir, tentang seorang gadis bernama Fara. Dipendekkan cerita, Fara dan Poji duduk di dalam kereta. Dan masih satu persoalan bagaimana Poji berjaya berdua-duaan bersama perempuan dengan begitu mudah sedangkan dia tidak menabur kata janji manis. Hartanya tidak ada. Apatah keturunan. Barangkali, wajahnya yang nampak baik menjadi tarikan. Atau ada benda lain?

Pada asalnya Fara mahu meminta Poji menemannya pergi membeli tiket bas untuk balik kampung. Poji pun terus meminjam kereta kawannya dan bawa Fara terus ke sana.

Selepas membeli tiket, mereka pergi minum di restoran mamak sebentar. Fara manis orangnya. Bertubuh kecil. Dahinya juga luas, berkulit licin dan pipi seperti pau ayam kalau tersenyum. Dadanya kecil dan kukuh.

Poji memesan air coca-cola, tetapi Fara cuma mahukan segelas dipenuhi ais sahaja. Kemudian dia mengunyah-ngunyah ketulan ais. Di meja itu terisilah perbualan ringkas. Sedikit demi sedikit kisah Fara terbuka.

Semasa dalam perjalanan menghantar Fara pulang, Fara lebih terbuka dengan kisah gelapnya dulu. Sebenarnya banyak cerita yang mengaibkan, tetapi yang penting Fara ingin menamatkan kehidupan gelapnya. Secara ringkas dan tepat, dia sebenarnya ketagih melakukan hubungan sulit. Pengalamannya membuka mata Poji.

“Kau bayangkan, orang yang aku sangka alim pun hilangkan teruna dengan aku. Aku tak faham betul. Kenapa orang baik macam tu persia-siakan teruna dia dengan orang yang salah?” ceritanya sedikit.

“Kalau kau tidur dengan aku, kau dikira sebagai orang yang ketiga puluh.” sambung Fara. “Aku ni boleh kira perogol lelaki tau.”

Poji terdiam. Pada asalnya, Poji mahu membawa Fara ke satu tempat gelap dan melepas nafsunya di situ. Di celah lorong perumahan sunyi pun jadilah. Tahu sajalah Poji, dia cuma mahu bercumbu. Ada apa sebenarnya dengan cumbuan?

Tapi, Fara tidak mahu bercumbu dan dia berkeras katakan kalau mereka tidur bersama di dalam hotel, Poji akan habis dikerjakan. Poji pula tidak mahu dikerjakan dan dia tidak mahu memaksa Fara. Fara ada menceritakan pengalamannya ditendang keluar dari kereta hanya kerana tidak mahu bercumbu.

Dua-dua tidak bertemu kemahuan, lalu mereka pun bersetuju untuk tidak melakukan apa-apa. Sebelum mereka berpisah, sempat Fara mencium tangan Poji. Entah tanda persahabatan atau beza umur adik dan abang, Poji juga tidak memahaminya.

Satu pesan Fara yang masih membekas di dalam fikiran Poji sampai sekarang. Katanya, “Kau tak perlulah nak gelojoh tidur dengan perempuan. Nanti dapat merasa juga. Tau?”

Dan sehingga kini, sekali-sekala mereka bertiga masih tertanya, lelaki jenis apakah si Poji ini?

*cerpen ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian BK.

Leave a Reply

Close Menu