Cikgu Jangan Marah-marah

Cikgu Jangan Marah-marah

Oleh: Hidayu Hatta

Ini adalah pemerhatian saya sebagai seorang guru di sekolah alternatif (yang insaf), dan sebagai doktor gigi. Saya harap kawan-kawan tidak melakukan dosa sama seperti saya.

Selalu saya berkecil hati dengan anak-anak saya di sekolah TFTN For Syria di Jordan dulu. Saya tahu mereka adalah mangsa keadaan, pelarian Syria yang terperangkap dalam sistem di negara orang. Tapi nak tak nak, ada hari-hari yang saya rasa kecewa. Hari-hari yang saya terlalu penat, dan kenakalan anak-anak kadangkala terlihat melampau di mata saya. Saya mahu mereka memahami. Saya mahu mereka baik-baik saja, kasihankan saya.

Bodoh saya. Mereka adalah kanak-kanak, dan sayalah guru mereka. Sayalah yang dewasa dan bertanggungjawab. Sayalah yang seharusnya sabar dan bijak ketika saya berdegar mahu mendidik mereka atau sekurang-kurangnya memulangkan zaman kanak-kanak kepada mereka. Tak ada satu kepenatan pun yang layak menjustifikasi sebarang perasaan kecewa yang berbaur peribadi terhadap anak-anak yang sedang bergantung harap kepada saya sebagai guru yang sepatutnya mendidik mereka.

Di klinik, saya selalu dapat pesakit yang degil tak buka mulut luas. Boleh bayangkan, awak nak tampal gigi dia tapi dia sebolehnya katup mulut sampai nak gigit jari awak. Ini biasa. Sangat biasa. Kalau doktor tak penyabar, memang dah dimarahi pesakit. Saya kalau dah mula geram, saya akan guna ‘sayang’. “Buka mulut besar-besar, sayang. Nanti terkena lidah.” Pesakit dewasa yang biasanya buat kita hilang sabar ni. Pesakit kanak-kanak cuma buat kita putus asa. Sebab tak ada tanggungjawab dia ke atas apa-apa. Saya tak pernah rasa marah kepada pesakit kanak-kanak. Saya cuma akan marah dengan diri sendiri. Saya buntu kalau saya tak mampu buat apa-apa. Doktorlah yang harus bijak berinteraksi dan bertindak supaya apa yang dimahukan, dicapai. Kalau kita tak bijak, kita tak dapat buat apa-apa.

Kalau saya boleh berfikir begini untuk pesakit saya, kenapa saya tak boleh berfikir begini untuk anak-anak didik saya?

Jangan bohong. Sebagai guru, ada hari-hari yang kita akan rasa marah dengan anak-anak pelajar kita. Kita semua begitu. Lagi parah bila kita marah secara peribadi. Kita rasa budak ni teruk. Budak ni tak patut begini, tak patut begitu. Kita dahlah penat nak mengajar ni, korban waktu untuk mereka tapi mereka tak hargai pun dan tak buat apa yang kita harapkan. Budak ni tak patut buat perangai. Budak ni tak patut buat sepah. Budak ni tak patut bergaduh, tak patut ganggu kawan-kawan. Budak ni tak patut begini, tak patut begitu.

Kita sedang salahkan anak-anak ini seratus peratus sedangkan kitalah guru. Sudahkah kita buat sehabis baik? Sudahkah kita berdaya sehabis kreatif dan bijaksana dalam interaksi dan tindakan kita? Kenapa kita salahkan anak-anak ini yang sedang menerima pendidikan daripada kita dan sekeliling? Sudahkah kita amati persekitaran hidupnya membesar dan apakah yang kita lakukan yang boleh mengatasi tribulasi lain yang melambatkan pendidikan? Tak. Kita belum buat yang terbaik. Kita sekadar membebel dan marah sebab anak-anak tidak melakukan seperti yang kita mahu. Kita jadi sebal dan emosi. Kita lupa apakah makna pendidikan lalu kita ambil hati secara peribadi dan menuduh anak-anak ini sebagai ‘jahat’ dan tak ada harapan.

Lebih tak bagus bila kita berbincang-bincang sesama rakan-rakan guru tentang masalah murid.  Murid A begini dan begitu. Kita acah-acah mencari solusi sedang kita hanya mahu meluahkan rasa tidak  puas hati – tanpa kita sedar yang kita sedang mengumpat anak murid sendiri sambil mencalarkan sesuatu yang dipanggil kepercayaan.

Kalau A buat perangai hari ini, adakah A buat perangai setiap hari? Adakah tak ada langsung hari yang A baik? Adakah A daripada mula memang begitu?

Tak. Tak ada anak-anak yang semulajadi nakal. Sekiranya kita suka rasa mereka merimaskan, berhentilah menjadi guru. Kita pemalas dan hanya mencari jalan mudah menyalahkan anak murid tanpa kita sendiri melakukan yang terbaik untuk membentuk sistem yang mendidik.

Bila sekuntum bunga tidak kembang, kita baiki persekitaran tempat bunga itu tumbuh. Kita tak salahkan bunga itu sendiri.

Ya. Di klinik gigi kita tak pernah marah pesakit tak buka mulut besar-besar, apatah lagi pesakit kanak-kanak. Tapi kenapa di dalam kelas kita mahu emosi dan menyalahkan anak-anak sedangkan mereka cuma kanak-kanak? Apatah lagi kanak-kanak mangsa sistem dan keadaan yang mana dunianya tak pernah klise seperti kita.

Sebelum terlupa. Ada satu perkara yang doktor dan guru wajib ada; EMPATI. Kalau mahu marahkan pelajar, marah kerana perlu marah. Bukan marah kerana kita sedang marah.

Kalaupun kita tak mampu bersabar, ingat pesan teman saya, 

“Kita bekerja untuk mereka.”

Ya benar. Anak-anak ini – pelajar, pesakit – memang mampu buat kita rasa nak menangis. Tapi ketahuilah, kalau kita sampai tahap nak menangis tu, maknanya kitalah yang kurang. Kitalah yang belum cukup upaya. Kita yang belum mahir. Kita yang perlu lebih bijak dan kritis. Kita yang perlu perbaiki keadaan kerana kitalah yang bertanggungjawab.

Kita yang bersalah sekiranya kita gagal, bukan mereka.

Leave a Reply