|Cerpen| Setitik Hujan Yang Mahu Jadi Tuhan

|Cerpen| Setitik Hujan Yang Mahu Jadi Tuhan

  • Post category:CERPEN

Oleh: Aakmal Yusop

Jalan ke pekan Batu Wangi adalah pendek, namun ia seperti mendaki lereng bukit dan turun berulang kali. Ia kerana Jamil kepenatan mengandar air dari mata air di tepi lereng bukit. Mata Air Mahal telah mengurniakan air ke pekan Batu Wangi sebelum penubuhannya 300 ratus tahun lagi. Namun ia tidak turun di sebelah pekannya. Ia turun hampir tiga ratus langkah jauhnya.

Pekan Batu Wangi sudah selalu terbakar dan hancur, sama ada oleh pemerintahan berubah dinasti, mahupun orang tidak bertanggungjawab tidak memadam api sebelum tidur. Hidup akan lebih mudah jika air boleh dialirkan dengan tali air atau paip tembikar. Para gabenor yang datang dan pergi hanya memberi jawapan yang sama kepada setiap ketua pekan yang membawa pelan ini, “Kami akan beri dana apabila cukup.” Dan dana tidak pernah cukup.

Perang sentiasa berlaku di antara negeri Halia dan negeri Ketumbar. Memandangkan Batu Wangi itu merupakan jalan merentas sempadan, mereka lah yang selalu sengsara dahulu. Sekarang, ada lagi siri perang baru.

Jamil melihat ke bawah di sebelah kiri. Sebuah pelabuhan tentera tersergam indah, diisi dengan askar Halia. Mereka semua bergembira dan meminum arak dan kopi manis. Beberapa orang askar masuk ke dalam kem membawa tangki-tangki air untuk minuman hari itu.

 

Beberapa puluh kilometer jauh ke hadapan, kem askar Ketumbar sayup-sayup kedengaran bunyi genderang. Para askar mereka berlatih bersungguh-sungguh. Kenapa jumlah mereka terlalu kecil, Jamil tidak tahu. Mungkin perang sudah berlanjutan hingga 4 tahun, banyak yang malas mahu teruskan. Atau mungkin ada kawan mereka akan ikut bertempur?

Jamil sampai ke rumah beberapa puluh minit kemudian, dan menuang air ke dalam tempayan. Dia meregangkan belakang dan lehernya. Kalau dia ada bini, bolehlah dia minta tolong angkutkan air. Tapi dua orang perlu lebih banyak air, dan kalau mereka beranak-pinak, lebih banyak air mereka perlukan. Haih, kalaulah pihak negeri Halia sudi memberi dana untuk tali air…

“Jamil, oh Jamil.”

Jamil berhenti meminum air dan meletakkan gayung di tepi tempayan. Dia berjalan ke pintu hadapan. Seorang askar datang melawat. Jamil menunduk sambil memberi hormat, kemudian berdiri.

“Encik tentera, apa boleh saya bantu?”

Tentera itu memberi hormat seperti Jamil dan mengeluarkan sepucuk surat. “Panglima Hadi ingin mencari orang bijak dari dalam daerah Batu Wangi untuk dijadikan penunjuk jalan serta penerang peta.”

“Tuan Panglima Hadi? Hadi Pantheros?”

“Saya tidak tahu, tuan. Tapi sebaiknya tuan harus datang. Panglima Hadi memberi arahan bahawa sesiapa yang menolak tanpa alasan yang munasabah akan dihukum pancung.”

“Kalau begitu, tunggu sebentar.” Jamil masuk, mengambil beberapa gulung kertas, set dakwat, serta berus.

Jamil serta beberapa orang lain dibawa ke kem menggunakan pedati. Pedatinya sedikit mewah, dengan bantal-bantal sutera serta sedikit arak dan buah kering. Mereka menikmati sedikit hidangan itu dan bercerita tentang pelbagai hal.

“Kamu tidak minum?”

“Tidak, Jaunin, saya tidak tahan arak.”

“Baiklah. Makan buah kering kalau begitu.”

Jamil mengambil sedikit buah yang dihulur Jaunin. Jaunin orangnya tegap dan pendek, kerana dia kerjanya adalah mengangkut kayu api dari hutan di bawah lereng Batu Wangi. Ibubapanya juga tegap, tetapi kedua-duanya mati muda kerana dihempap batu lereng.

Mereka sampai ke kem, beberapa orang tentera menyediakan tangga agar mereka dapat turun ke tanah tanpa perlu melompat. Seorang tentera memberi hormat kepada mereka. “Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sila.” Tangan tentera itu menunjuk ke arah pintu bangunan kem utama.

Di dalamnya Panglima Hadi duduk di balik meja, dan sibuk menulis sesuatu. Beberapa pegawai tinggi tersergam indah dengan baju zirah serta pedang yang lebar. Jaunin melutut dan menggenggam dua tangan ke hadapan, tanda hormat untuk pegawai tinggi dari rakyat jelata.

“Selamat Tuan Panglima. Kami datang memberi khidmat seadanya.”

Panglima Hadi berdiri. “Saya menerima khidmat kamu seadanya. Bangun.”

Panglima Hadi berjalan ke arah kanan Jaunin. Para pegawai memberi ruang kepada Panglima Hadi, dan sebuah peta kelihatan dari belakang mereka. Jamil mendapati peta itu mempunyai nama pelbagai tempat, namun ia tidak lengkap.

“Peta kami ini dihasilkan dari laporan para pengakap tentera. Namun, pertempuran pengakap dengan pengakap Ketumbar menghalang proses mendapatkan maklumat. Maka, saya perlu bantuan anda untuk melengkapkan peta ini.”

Para tetamu berbisik antara satu sama lain, kemudian Jaunin mara ke hadapan. “Baik, tuan panglima. Adakah kami boleh menconteng peta ini?”

“Tidak.” Panglima Hadi menunjuk ke arah satu kotak kayu. Tentera pelayan mengeluarkan beberapa helai kertas besar. “Kamu diberi beberapa salinan peta ini. Sila berbincang akan maklumat yang kamu tahu. Malam nanti, kamu akan menyampaikan hasil perbincangan. Barulah peta ini diconteng.”

Para tetamu itu dibawa ke balai lain untuk memulakan proses perbincangan. Hanya Jamil yang tidak ikut serta. Sebaliknya dia menunggu.

Panglima Hadi meneguk air apabila matanya tertangkap si Jamil masih berdiri di sana. “Kenapa Jamil? Kamu mahu minum dulu?”

Mata Jamil menjadi besar. “Hadi Pantheros?”

“Jamil Skutatoi, boleh-boleh kamu lupa aku?”

Mereka melagakan kepala. Mereka ketawa sambil mengurut kepala kesakitan. “Kenapa kau tidak masuk tentera, Jamil? Rindu aku tengok kau main pedang.”

“Saya mahu jadi ahli falsafah.”

“Maka, kamu sudah berfalsafah?”

“Adalah sedikit, falsafah ketenteraan.”

Panglima Hadi ketawa terbahak-bahak. “Kalau kamu menjadi pegawai, kamu boleh berfalsafah perang sebanyak mana kamu mahu!”

“Saya akan fikirkan. Saya kerja dahulu.”

“Ya, sila-sila.”

Malam itu, peta mukim Batu Wangi penuh dengan maklumat baru. Si Hashimah dengan tekunnya melakar kontur, sementara Jaunin banyak melukis jalan-jalan tikus yang digunakan untuk mengangkut kayu. Jamil menunjukkan beberapa mata air yang selalu dia gunakan, tetapi itu lebih kepada kepakaran Wasli.

“Terima kasih semua. Kamu boleh pulang malam ini juga, ada pedati untuk menghantar kamu sekalian. Saya harap upah kecil ini ialah pampasan yang sewajarnya bagi usaha kamu malam ini.” Mereka berempat setiap satunya diberi 10 syiling emas.

Mereka bertiga pulang. Tetapi Panglima Hadi kehairanan bahawa Jamil masih tercegat. “Jamil, kamu bukan tentera. Pulanglah ke rumahmu. Biar kami bertempur di sini.”

Jamil mengeluh. “Sebenarnya, saya masih mahu berkhidmat.”

“Khidmat? Saya takut kalau saya memberi kamu pangkat Pegawai Seseribu, saya akan dihukum kerana mengutamakan kawan dan keluarga.”

“Tidak, saya bukan mahu pangkat.”

“Habis itu apa?”

Jamil melihat ke arah peta. “Saya mahu berikan cadangan saya di hadapan para pegawai utama kamu.”

Panglima Seseratus Ribu Hadi mempunyai tujuh pegawai utama, semuanya jauh lebih berpengalaman dari beliau. Mereka semua berdiri menghadap peta besar yang terpampang.

Jamil menggerakkan batang penunjuk di atas peta. “Sebenarnya, di atas kem kamu, ada lekukan tanah. Ia selalu membentuk kolam kecil apabila hujan lebat turun. Namun, ia tidak akan mengancam kem kamu, kerana ada lubang pada lekukan ini. Ia mengelak air dari banyak bertakung.”

Panglima Sesepuluh Ribu Faizal menunjuk ke arah peta. “Jika ia tidak mengancam kami, kenapa kamu ingin beritahu itu?”

“Saya bercadang untuk membina empangan pada lubang lekukan ini. Jika askar Ketumbar masuk ke kem Halia ini, kita boleh menghanyutkan mereka. Sekarang musim hujan, kita boleh mengisi lekukan ini dalam dua hari.”

Beberapa panglima bawahan bersetuju. Namun seorang panglima memberi hormat kepada Panglima Hadi. “Tuan Panglima, kita tidak patut menjalankan idea ini. Askar Halia masih kurang disiplin, dan mereka masih terputus dari ketumbukan sahabat mereka. Malam ini patut digunakan untuk serangan subuh!”

Panglima Hadi menggelengkan kepala. “Askar Ketumbar diketuai Cheng Shi anak Shi Wang. Dialah pakar gerila. Tidak mungkin serangan hendap kita berjaya, lebih-lebih lagi kerana pengakap-pengakap kita yang terlalu dekat mengakap ke arah musuh sentiasa dibunuh. Kita tidak boleh menyerang apa yang kita tidak tahu, Panglima Hamid.”

“Tuan Panglima, kalau mereka yang maju ke arah kita, ertinya mereka yang tahu lebih tentang kita! Kita seperti ayam di bawah jerangkap, tunggu dijadikan lauk sedap!”

Panglima Hadi mengeluh.

“Tuan Panglima, saya Panglima Hong Hu anak Ri Hu, sudi memberi khidmat memusnah musuh negara! Jangan berdalih lagi, semua maklumat sudah ada! Serangan subuh!”

Para panglima lain sudah melutut dan memberi hormat, merayu agar perintah serangan hendap diberi malam itu juga. Panglima Hadi hanya dapat mengeluh lebih dalam.

“Jamil Skutatoi, kamu pulanglah. Nampaknya cadangan kamu ditolak.”

Jamil memberi hormat. “Hadi Pantheros, Saya sedia meraikan kejayaan kamu.”

“Terima kasih.”

 

Pagi itu, pekan Batu Wangi gempar dengan kehadiran beberapa ratus tentera Halia ke arah pekan mereka. Mereka mengetuk-ngetuk pintu pekan. “Tolong kami! Tolong kami!”

Ketua Pekan Daud tergamam melihat kekalahan tentera itu. Penjaga pintu melihat ke arah Ketua Pekan. “Tuan, apa patut saya buat?”

“Buka pintu.”

Penjaga pintu masih tidak bergerak.

“BUKA PINTU! MASUKKAN SEMUA ASKAR HALIA, SELAGI ASKAR KETUMBAR BELUM SAMPAI, CEPAT!”

Jamil masuk ke dalam pekan sambil mengandar air. Para tentera berpusu-pusu masuk ke balai raya. Jamil nampak Panglima Hadi diusung oleh askar-askarnya.

Jamil terus mengandar air ke balai raya. Di sana, Jamil bertanya kepada mak bidan di mana air segar diperlukan. Dia menunjuk pada tempayan. Jamil menuangkan semua air itu.

Hidung Jamil tertusuk dengan bauan darah bercampur tahi. Dia hampir loya. Seorang tentera menangis teresak-esak, merindukan ibunya. Seorang lagi kumat-kamit menyalurkan doa pada Maharaja Langit, memohon keselamatan. Seorang tentera meraung dan menumbuk-numbuk lantai balai raya sebelum ditahan beberapa kawannya. Jamil terdengar yang dia tidak berani mati dengan kekasih, sebaliknya lari terkencing-kencing.

Panglima Hadi hanya melihat ke atas. Jamil merapatkan dahinya ke dahi Panglima Hadi. “Terukkah?”

Panglima Hadi hanya berbisik. “Ya. Kami yang ingin menyerang hendap. Tapi kami yang diserang hendap! Panglima Cheng Shi siap membuat kubu Rumawi dan laporan pengakap kami adalah palsu. Kawasan yang kononnya tidak sempat dibina dinding kayu rupaya dipacakkan jeriji dan caltrop. Kami diasak hebat oleh askar Ketumbar. Lebih teruk lagi askar sokongan mereka sudah tiba. Pekuda mereka meranapkan barisan kami. Saya tidak tahu bagaimana saya selamat.”

“Askar kamu ialah rakyat yang setia. Kamu diusung masuk oleh mereka. Ada yang patah tangan lagi, masih nekad mengusung kamu.”

Mata Panglima Hadi mulai menerbitkan air mata. “Kalau saya dengar lebih lanjut akan rancangan kamu kelmarin, mungkin kita sempat melaksanakan rancangan kamu.”

“Jangan risau hal itu, kita masih ada masa.”

Panglima Hadi menggerakkan kepalanya perlahan ke arah muka Jamil. “Bagaimana?”

“Saya perlu askar kamu untuk mengangkut air. Warga pekan juga akan membantu. Ketua Pekan memang sudah lama berniat untuk menutup lekukan itu.”

Panglima Hadi cuba duduk, tetapi para jururawat menahannya. Dia terpaksa baring akhirnya. “Kalau begitu, pinjam tanda tentera ini. Saya ingat Panglima Hong masih hidup lagi. Suan,” menunjuk pada seorang tentera, “sampaikan arahan ini pada Panglima Hong: ‘Gembleng semua tentera yang boleh berdiri, bantu Jamil Skutatoi. Ikut arahan dia.’”

“Baik, Tuan Panglima.”

Sebelum tengah hari bermula, lima barisan warga pekan dan tentera sudah mula memindahkan air dari mata-mata air kepada lekukan itu.

Jaunin dan kawan-kawannya sudah menghasilkan gerbang tali air dengan amat cepat. “Siap, Jamil.”

“Kamu pasti ia boleh tahan?”

“Ini tangan-tangan Ratu Kayu! Tiada kayu akan patah walau berapa berat benda ia tahan!”

“Baiklah. Kalau begitu saya pun ikut memindah air.”

Para ahli barisan sibuk menghulurkan baldi kayu yang penuh dengan air ke arah lekukan itu. Pada masa yang sama, tangan yang lagi satu menghulur baldi kosong ke arah mata air masing-masing.

Panglima Cheng Shi pula dilawati oleh Ketua Pekan Daud. Ketua Pekan Daud sedang bersujud ke arah Panglima Cheng Shi.

“Tolonglah saya, Tuan Panglima. Saya tidak mahu mati dalam sana!”

Panglima Cheng Shi ketawa sinis, mengelilingi Ketua Pekan Daud. “Kamu boleh… tapi, saya mahu kamu bantu saya…” Panglima Cheng Shi mengangkat kepala Daud naik dari sujudnya, “… bantu kamu.”

“Bagaimana Tuan Panglima?”

“Buka pintu pekan, beri kami masuk.”

“Bukan sekarang Tuan Panglima.”

Panglima Cheng Shi menampar Ketua Pekan Daud. “Cis! Kamu mahu hidup kah mati? Kalau kamu bekerjasama, pekan itu masih kamu yang tadbir, tetapi hanya bertuankan Kerajaan Ketumbar! Kalau kamu sudi mati untuk negara Halia, nah saya hunus pedang!”

Ketua Pekan Daud meratap dengan tangisan lebih kuat. “Tidak, Tuan Panglima!”

Daud berpindah ke kedudukan melutut. “Tuan Panglima, Panglima Hong Hu masih di dalam pekan. Jika dia tahu saya khianat, dia akan bunuh saya dahulu. Tolonglah, beri saya masa hingga tengah malam ini.”

“Ah, hahah, hahahahaahah! Kamu Daud, berdiri, mari berdiri.” Panglima Cheng Shi mengangkat Ketua Pekan Daud.

“Tengah malam ialah masa terbaik! Tidak sangka bijak. Duduk, duduk.” Ketua Pekan Daud diberi duduk di atas kerusi yang empuk dan Panglima Cheng Shi sendiri menuangkan arak untuk Ketua Pekan Daud. “Minum, minum.”

Ketua Pekan Daud minum teresak-esak.

“Kamu memang memberi idea yang baik. Bukakan pintu kota untuk kami malam ini. Saya akan mengetuai laskar seramai seribu orang menawan pekan itu. Kami tidak akan bunuh orang awam, hanya para tentera. Kamu bilang, ada masih 2 000 orang tentera Halia yang boleh berlawan?”

“Ya, Tuan Panglima. Kami menempatkan yang cedera seramai 4 000 orang di balai raya. Yang 2 000 orang pula diberi arahan menjalankan serangan api pada kem tuan panglima.”

“Oh! Dari arah mana ya?”

“Tuan Panglima mengambil bekas pelabuhan tentera Halia sebagai kem tuan sekarang. Di sini,” Ketua Pekan Daud melukis peta kasar, “dan ada lereng-lereng gunung ini. Saya diberitahu Panglima Hong bahawa dia akan mengetuai serangan api utama dari lereng ini.”

Ketua Pekan Daud menunjuk ke lekukan di mana Jamil sedang mengisikan air.

“Baiklah. Begini, pada awal malam ini saya akan mulakan serangan panah balas awal pada lekukan ini. Pada masa yang sama, unggun isyarat akan menyala. Pada waktu hampir lewat malam, arahkan penjaga pintu membuka pintu. Beri kami masuk ke arah balai raya. Saya bawa dahulu 1 000 pekuda. Ketumbukan utama akan masuk ke kota sebaik sahaja kamu menyalakan unggun isyarat.”

“Baiklah. Kalau begitu, saya minta diri dahulu.”

Kepulangan Ketua Pekan Daud disambut dengan pandangan yang penuh dengan tekanan. Jamil menghampiri ke arah Ketua Pekan Daud. “Sudah kamu jalankan apa yang saya minta?”

Ketua Pekan Daud ketawa, hanya untuk menahan sakit hati. “Sudah. Panglima Cheng Shi akan masuk dahulu malam ini. Kemudian baru ketumbukan utama sejam kemudian.”

Jamil tersenyum lebar, lalu memberi uncang berisi syiling emas kepada Ketua Pekan. “Lima syiling, seperti yang dijanjikan.”

Ketua Pekan mengira syiling yang ada dan mengomel sambil berlalu. “Lima syiling untuk lakonan, dulu masa saya muda, sampai 500 syiling emas sehari hanya mahu tengok saya menangis tentang…”

Awal malam itu, Panglima Cheng Shi mengarahkan genderang dimainkan. “Pemanah, sedia.”

“YA!”

“Nyala unggun isyarat!”

Api yang marak tercetus serta-merta.

“Pemanah, nyalakan panah!”

“YA!”

“Pemanah, ke arah timur laut, 200 meter ke atas! Lepas!”

Para pemanah melepaskan panah api. Ia mula membakar kawasan hutan di atas lereng.

“Panglima Wang Ji!”

“Tuan Panglima Cheng Shi!”

“Tunggu sejam, kemudian bawa 40 000 askar naik ke Batu Wangi. Saya mahu 10 000 askar teruskan panahan api.”

“Baik tuan panglima!’

Panglima Cheng Shi memacu kudanya, dan seribu pekuda ikut menyertai dia.

Jamil melihat kebakaran itu menjilat hutan. “Sayangnya. Sini boleh dijadikan kwasan tadahan hujan.”

“Sekurang-kurangnya api itu membakar empangan kayu saya.”

“Ya, saya harap ia gagal tepat pada masanya.”

Panglima Cheng Shi menghampiri dinding pekan. “Ketua Pekan Daud! Apa lagi!”

Pintu pekan terbuka perlahan-lahan. Panglima Cheng Shi memacu kudanya masuk, tetapi terhenti oleh kawat kayu balak.

“Apa erti semua ini? Ketua Pekan Daud, mana janji kamu!”

Seribu askar tombak Halia meluru keluar dari tepi jalan di luar pekan. “SINI JANJI KAMI, TOMBAK TUSUK MATI!”

Para pekuda Cheng Shi cuba berpatah balik ke arah kem Ketumbar, tetapi jalan merela dihalang dinding tombak askar Halia. Jalan yang curam mengelakkan kuda-kuda dari berjalan ke tepi jalan dengan baik. Sebaliknya para pekuda tersungkur dan jatuh berguling-guling ke bawah bukit.

“Jangan patah balik, rempuh masuk!” Panglima Cheng Shi memacu kudanya dengan laju dan melompat melepasi kawat kayu balak. Beberapa pekuda mati apabila kuda mereka tertusuk kayu balak runcing dan mereka terhumban, mematahkan leher. Panglima Cheng Shi mula memacu ke arah balai raya apabila seribu lagi askar Halia menyerbu. Panglima Cheng Shi tidak dapat merempuh kerana kudanya ketakutan, dan dia ditangkap hidup-hidup oleh askar Halia.

Panglima Cheng Shi dibawa ke menara utara pekan. Di sana Panglima Cheng Shi melihat Jamil dan Hadi bermalas-malasan di atas kerusi panjang. Dia dipaksa melutut di hadapan mereka berdua.

“Kamu penipu! Kamu sial! Kamu… pelacur!”

Jamil tersenyum. Hadi bermadah:

Ketumbar hambar ketumbar disambar,

Ketumbar terpukau pemutar khabar.

Jamil membalas:

Cheng Shi takabbur suka beraya,

Mengidam pesta jamah halia.

“Apa, apa erti semua ini?” Panglima Cheng Shi cuba melepaskan diri dari ditahan askar Halia.

Jamil berdiri dan melihat ke arah kem Ketumbar yang terang-benderang. Madahnya lagi:

Setitis hujan menyembah Maharaja Langit,

“Jadikan saya dewa yang bingit,”

“Menyapu tanah dengan ombak sengit!”

Maharaja Langit murka dengan doa hangit,

“Taubatlah kau makhluk pelesit,”

“Bersatu sejuta titik, rahmat atau penyakit!”

Jamil menghalakan kipas tangannya ke arah kem Ketumbar. “Tengok ke hadapan, Tuan Panglima.”

Panglima Cheng Shi melepaskan diri dari ditahan lalu berlari ke hadapan. Panglima yang gagah berani itu hilang seri mukanya. Empangan kayu tadi terbakar. Ia menjadi terlalu lemah untuk menahan kolam air yang terbentuk. Maka air mencurah turun ke arah kem Ketumbar.

Air yang turun menghanyutkan kem Ketumbar. Pekikan askar-askar Ketumbar yang baru mula berbaris naik mengisi malam yang hening. Batu-batu besar serta kayu-kayu menggilis tanah dan menghempap askar ketumbar yang cuba berpaut pada dahan pokok atau batu.

Cheng Shi ketawa. “Ahah, Ahah, Ahah, Ahahahaahahaahahahah!”

“Aahahahaahahaahahah! Ahahahahaahahaahah!”

Panglima Cheng Shi membaling helmet ke tiang bilik menara itu. Dia menampar-nampar mukanya, menghempas-hempas kepalanya ke tiang yang lagi satu. Akhirnya dia naik ke tepi tingkap menara.

Dan terjun.

Mayat Cheng Shi dikuburkan di tapak perkuburan luar pekan. Askar-askar Halia turun ke kem Ketumbar yang hanyut itu. Jamil sendiri menyertai mereka. Dia berjalan bersama dengan Panglima Hadi, melihat askar Halia mengambil harta rampasan perang.

“Musnah semuanya,” ujar Panglima Hadi.

“Sekurang-kurangnya kamu boleh mengambil senjata dan duit mereka.”

“Jamil, kami perlu lebih ramai orang bijaksana untuk memenangi peperangan ini.”

“Tuan Panglima, saya tidak suka formaliti ketenteraan.”

Hadi menepuk bahu Jamil. “Kamu sertai sebagai penasihat awam.”

Jamil menggeleng kepalanya. “Upah saya mahal, gaji saya pun mahal.”

“Maharaja Enak Ketumbar memberi 500 syiling emas setahun dan dua puluh ekar tanah bagi setiap ahli strategi dan ilmuwan yang sudi membina teknologi negara.”

“Saya akui, itu harganya tinggi juga. Tapi saya mahu pekan Batu Wangi menerima teknologi lama.”

“Tekonologi apa?”

“Paip tembikar.”

Beberapa minggu kemudian, seorang sida-sida datang ke pekan Batu Wangi. Seluruh ahli pekan hadir ke balai raya.

Sida-sida itu diberi isyarat oleh Ketua Pekan Daud; semua yang boleh hadir sudah hadir. Sida-sida itu batuk.

“Menerima edik diraja!”

“PULUH RIBU, PULUH RIBU, PULUH PULUH RIBU!”

“Maharaja Enak Ketumbar merakam rasa girang dan angkuh akan pencapaian pekan Batu Wangi dalam menyelamatkan negara Halia dari pencerobohan negara Ketumbar. Dengan itu, Maharaja menitahkan agar proses pembentukan sistem perpaipan tembikar dimulakan serta-merta, dengan upah dan paip tembikar ditanggung oleh negara Halia. Kamu sekalian seharusnya memperoleh cukup wang dan paip tembikar di dalam pedati-pedati yang disertakan.”

“Pihak negara Halia juga berkenan menerima resume Jamil Skutatoi iaitu jasanya menghanyutkan askar-askar Ketumbar. Justeru, tuanku menitahkan Jamil untuk mengambil kedudukan sebagai seorang Ahli Sains Negara, pada jurusan yang dipilih sendiri. Gaji sebanyak 500 syiling emas setahun dan tanah dua puluh ekar dalam Mukim Ibu Negara disediakan sebagai upah pekerjaan.”

“Sekian.”

Para ahli pekan dalam balai raya sujud dan mengucapkan. ‘Terima Kasih, Tuanku!”

Jamil mengambil edik itu. Semua orang mengucapkan tahniah dan mengusung Jamil Skutatoi, Ahli Sains Negara, pulang ke rumah dengan senyum dan tawa riang.

Leave a Reply