SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
|CERPEN| Sahabat dan Luka Lama

|CERPEN| Sahabat dan Luka Lama

 Oleh: Hafal Abu

Senyumannya buat aku teringat kembali kepada ketakutan lalu.

Cukup sekali salam kukuh dengan Naiem selepas handover report daripada Amin, dia senyum dengan lebar. Wajahnya, hampir seiras dengan si Rui. Tubuhnya tinggi dan selalu memakai sweater ber-hoodie tutup kepala. Iya, pejabat kami sejuk nak mampus. Tubuhnya aku rasa sama gempal dengan Rui sebelum dia jadi kaki mabuk. Suaranya halus. Suara halus lelaki pemalu tetapi tegas bila berkata.

Oh, tentang berkata. Rui bukanlah seorang yang banyak bercakap. Berkali-kali jugalah aku cuba merapatkan diri dengan dia waktu awal berkenalan dulu. Kami pergi bermain futsal bersama-sama di bekas padang tenis. Selepas habis main futsal, kami lepak di tangga padang. Sambil-sambil itu aku cuba memecah bongkah ais antara kami. Aku buat apa aku suka dan mampu. Aku kritik habis kawan sekumpulan kerja lab, dia diamkan diri saja. Mendengar dan tertawa sedikit-sedikit. Sekadar tanda dia memberi perhatian.

Ada masa, kami bermain Dota. Main Dota dengan internet paling teruk di dewan universiti sampai ke CC terbaik di KK. Tentang Dota, entah berapa ratus jam kami bermain bersama sebelum berpisah untuk sekian lama.

Bukanlah aku benci kepada dia, tetapi sebagai kawan rapat, memang begitu kuat perasaan yang ada pada kami.

Iyalah, kami banyak persamaan. Sama introvert, pendiam, pemendam, terlalu banyak berfikir sampaikan dia minum bertin-tin bir dan aku Coca-Cola (Coca-Cola juga minuman kegemarannya), dan yang paling utama suka bersendirian.

Cuma bezanya, dia tidak ada motosikal, aku ada. Jadi, aku tunggang motosikal ke sana sini, dia naik bas entah ke mana. Selalu menghilang tanpa jejak. Nak hubungi pun susah.

Buat Rui, kau tahu kau siapa, dan kita banyak kali bergaduh sampai tidak bertegur sapa. Masih kau ingat saat kita bergaduh semasa berbasikal pulang dari kafe kucing di Kurashiki (ah! celaka! kafe kucing pula tutup!). Cukup dengan kesilapan aku menunjuk jalan, kau bengang terus diam dan membiarkan perasaan janggal itu muncul. Oh, cukup panjang dan menyeksakan. Sebelum itu kita begitu gembira berbasikal naik turun bukit bersama, kemudiannya kau matikan perasaan itu begitu saja. Kau kayuh ke depan pantas, kemudian aku potong habis. Aku tunggu di bawah bukit, kau terus maju pulang ke asrama. Betul. Kau marah betul.

Aku sebagai kawan lama kau, aku faham dengan perangai kau. Ah, kerja kita di kilang juga begitu. Aku silap kira jumlah tray kita basuh, kau tidak puas hati, kita berbalah mana kiraan sebenar, kau terus conteng mana kau rasa betul, kemudiannya kita bisu. Aku rasa masa dan sunyi akan selesaikan masalah kita, dan kita berdua sama berfikiran begitu.

Sungguh, aku takut akan perkelahian dalam persahabatan kerana berdiam diri bukanlah sesuatu yang kawan rapat selalu akan buat dan itu tandanya kita ada masalah besar.

Rui, sewaktu kau minta maaf kepada aku di Soja, aku rasa itu selepas kau fikir-fikir balik tentang perjalanan persahabatan kita. Sekurang-kurangnya kau kemalangan motosikal pertama kali dengan aku sewaktu hujan. Kita risau akan jemuran di rumah dan terus pecut. Oh ya, sebelum itu aku tunjuk kepada kau perempuan yang aku minat di satu tempat. Namanya Olen.

Ingat? Kita memecut laju, kereta Hilux belok ke kiri, dan bam!

Oh. Kau seakan-akan pelakon dalam drama yang akan kehilangan kawan. Dan aku semacam dalam video lagu syahdu. Melihat air hujan jatuh perlahan ke arah kaca pelindung muka perlahan-lahan. Mendengar suara kau seperti kucing kehilangan ibu.

Tentang kucing, kau memang sayang pada kucing.

Sekarang, aku tidak tahu apa khabarmu. Dan aku tidak mahu bertanya, biarkan begitu. Bukankah kita semua begitu? Berpisah tanpa kata panjang? Kebanyakan kita berdiam diri dan tidak mahu berjumpa lagi.

Rui, kini aku seperti di Soja dulu. Tempat aku juga terasing dari kota. Duduk bersila di atas welcome mat door, tidak, aku tidak minum Coca-Cola lagi. Ini teh bunga. Kurang gula.

Hey, aku jarang tulis penulisan panjang kebelakangan ini. Dan kalau ada, ia setentunya hal istimewa.

Kau istimewa bagi aku. Mahukah kita berjumpa? Entah. Jumpa sekejap sekali sekala, Dota berjam-jam, gelak ketawa terbahak-bahak, kemudiannya aku mahu berpisah secepat mungkin.

Aku tidak mahu ada perbalahan lagi antara kau dan aku. Tidak mahu ada sepi dan janggal kerana hidup aku sudah tepu dengan elemen-elemen ini.

Dan aku terpaksa hadap bayangan kau di pejabat untuk entah berapa tahun lagi.

Kami tidak berkawan. Aku harap ianya berkekalan.

Borneo Komrad

Membangun gerakan anak muda dan mahasiswa yang mandiri dan pro kepada rakyat kelas bawah.

Leave a Reply

Close Menu