SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
|CERPEN| Mana IC kau?

|CERPEN| Mana IC kau?

Oleh: w. azzuar

        Pojok belakang bas Likas – KK berwarna putih biru, menuju rumah pada saat KK berwarna jingga. Bas singgah di perhentian bas Karamunsing. Tapi, kali ini lama. Aku mengangkat kepala menjenguk ke luar seperti mengintip aib-aib manusia. Apa yang berlaku?

        “Aduh!! Matai!!” ayat pertama muncul setelah tahu misteri berhentinya bas ini.

       Melangkahlah dia dengan gah dan bermaruah menaiki beberapa anak tangga bas itu. Dia memerhati semua warga yang ada di dalam bas seperti  penggembala mengira kambing.

        “Ok IC keluarkan” tanpa basa basi dan pengenalan diri  inilah yang keluar dari mulutnya.

        Aku sempat terkapar-kapar bingung mahu buat apa. Aku keluarkan dompet yang berisi resit, tiket wayang pudar, kenangan, dan yang paling penting kad pelajar. Inilah penyelamat dunia aku, kad pelajar. Sampai sahaja pak polisi itu di depanku, aku terus menghulur kad pelajar. Dia mengambil, mengimbas begitu lama. Barangkali dia membaca dan mentafsir satu persatu huruf yang tertera untuk memastikan aku ini bukan PTI.

      “Mana IC kau?” pak polisi bertanya dengan dahi berkerut barangkali musykil dengan aku yang berwajah nusantara entah belah Indonesia atau Filipina.

      “Maaf tuan, tertinggal IC di tempat mama saya”. Aku terketar sebenarnya, tapi penyamar mesti pandai berlakon ‘cool’ didepan pak polisi.

    “Umur kau 19 sudah wajib bawa IC. Kalau lepasni tinggal lagi saya bawa kau pergi balai.” Diceramahilah aku yang sudah dengar berkali-kali ayat itu. Lalu, pak polisi turun dari bas dengan tangan kosong kerana ternyata semua marhaen di dalam bas adalah warganegara.

     Ya. Inilah aku seperti yang tercoret dalam puisi Hidayu Hatta. “Hidup ditanyakan mati tidak dipersoal.” Ah, cukuplah sedu sedan aku harini. Besok-besok, pasti ada lagi yang terus bertanya “mana IC kau?”, “kenapa kau tiada IC”. Aku remaja yang tidak berapa mengerti kenapa aku lahir begini. Bersekolah, berkawan, merayau-rayau bandaraya KK sama seperti orang lain. Tetapi aku hanya ada surat beranak. Aku lahir disini, tetapi sekadar lidah tak mampu membuktikan hal itu. Yang terperit lagi, bukan semua orang faham dengan keadaan aku. Soalan-soalan itu menyakitkan sebenarnya. Disebabkan sudah berkali diajukan, aku jadi terbiasa disakiti. Hidup bersama orang awam tapi tiada IC. Sakit.

     Masih di dalam bas. Sekarang berhenti di Stadium Likas. Mataku berlari di padang bola yang membawa aku kepada kesakitan lagi. Lumrah anak muda mencari diri pada semua hal-hal yang seronok. Aku hampir bermain di peringkat negeri. Tetapi apakan daya. Bola itu bulat tetapi IC itu segalanya. Serta merta aku dibuang daripada latihan kerana tahu identiti diri aku yang tidak sempurna sesempurna orang yang ada IC. Aku tidak suka merayu, jadi aku dibuang kerana cikgu malas menyusahkan diri mengurus rayuan dan penyertaanku. Hasrat dan pengabdian aku pada bola sepak dihancurkan seperti gelas yang jatuh terpecah. Kawan-kawan mulailah bertanya “Kenapa kau tiada IC?” Aku menerangkan dari A hingga Z kepada hampir lebih 20 orang. Aku tidak menagih simpati, tapi hanya ingin orang lain memahami keadaan aku dengan tidak bertanya dan melelong cerita peribadi aku dengan harga yang murah. Kadang persoalan terus menerus diajukan seperti aku ini penjenayah.

      Hampir sampai ke kawasan Likas. Sekarang bas menggelongsor di tepian pantai yang lumayan indah melihat matahari terbenam. Lumrah sebahagian orang di dalam pengangkutan awam. Mana boleh diam mata daripada melirik dunia luar yang terus ikut berjalan. Jauh di langit, ada sebuah kapal terbang yang menuju entah kemana. Walau kapal terbang tinggi di udara, ia mampu melukakan aku yang kecil di dalam bas dengan kisahku. Tahun ini sepatutnya aku melanjutkan pengajian ke menara gading. Tetapi dengan tiadanya jawapan bilakah IC aku akan siap. Impian aku hanya angan-angan Mat Jenin. Semasa aku disuruh mengisi borang UPU, dengan teruja aku dan kawan-kawan berdiskusi universiti mana kami akan pergi.  Tibalah hari keputusan, dengan semangat dan keterujaan, aku memeriksa keputusan aku. Tetapi yang aku temui hari itu hanyalah sebak yang menyerang dada. Mana ada universiti mahu orang yang ‘degaga’ IC. Aku ambil keputusan untuk masuk tingkatan 6. Kalau murid lain mengisi borang warna putih, aku mengisi borang berwarna ‘pink’. Itulah istimewanya menjadi pelajar berstatus lewat kelahiran. Persekitaran baru, kawan baru dan cikgu baru. Aku pun menjawablah soalan-soalan yang begitu menghairankan manusia manusia ber-IC disekitarku tentang “Kenapa kau tiada IC?”

    Aku tidak salahkan ibu bapa. Sudah jodoh mempertemukan mereka dan melahirkan aku yang statusnya diragui ini. Apa boleh buat. Hakikatnya, bukan aku seorang sahaja yang dikurniakan nasib sebegini. Aku pernah berjumpa kenalan lama yang senasib denganku. Dialah manusia yang paling memahami derita antara kami. Walaupun di usia muda, sudah banyak hasrat dan bakat yang tidak tercapai dan terserlah dek masalah dokumen. Kami bertukar derita dan cerita dengan gembira dan bahagianya. Tupac pernah bilang “We were young and we were dumb, but we have heart”. Walaupun masih muda, tapi sudah membawa perasaan yang sebak ke mana-mana tempat yang asyik menanyakan soal IC. Tiada siapa peduli soal perasaan kita. Mahu tidak mahu, hidup mesti diteruskan dengan harapan setiap pagi semoga JPN menelefon harini kononnya permohonan kewarganegaraan sudah diluluskan. Ah, ini lagilah harapan palsu.

       Kami habitat terancam di tengah masyarakat. Ada bakat, ada ilmu dan ada pengalaman. Tetapi tiada IC. Saat mahu mengisi borang  atau menyertai apa-apa, pasti terkedu pada syarat yang dikenakan iaitu ‘warganegara sahaja’. Jadi di mana negara asalku ini? Mamaku selalu bilang “Akan dapat juga tu, tapi tidak tahu bila”. Aku berdoalah agar dapat IC sebelum aku kahwin supaya anak aku tidak rasa apa bapanya rasa. Ciaa, ayat tipikal bapa-bapa. Ada yang salahkan pengurusan kerajaan, ada yang salahkan ibu bapa tetapi aku memilih tidak salahkan siapa-siapa. Kadang hati kecil ada terdetik salahkan kerajaan. Ah, aku masih budak mentah, jangan tuduh semberono.

       Akhirnya, belum tiba destinasi sebenar, aku menekan lonceng bel bas apabila hampir di depan pintu masuk Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Aku terlalu banyak ditimpa sendu dan sebak harini. Masanya kembali, setelah putus harap pada manusia.  Yang aku syukuri, hanya mengadu kepada Allah sahaja tidak ditanyakan “Mana IC kau?” . Aku bebas di Masjid Bandaraya ini untuk meneroka setiap sudut, setiap sejadah untuk sujud. BEBAS. Tiada syarat di hadapan Tuhan untuk aku ajukan permintaan. Syurga juga tidak perlu mendaftar dengan IC. Allah tempat bergantung harap dan aku yakin Allah ingin mengajarkan sesuatu. Aku perhati dan mengambil pedoman dengan jelas. Ramai kawan-kawanku yang menyia-nyiakan peluang mempunyai IC mereka. Aku sangat ingin melanjutkan pelajaran tetapi mereka dengan peluang yang ada,  masih berfoya-foya dan tidak serius dalam belajar. Ternyata nikmat yang kecil amat besar bagi orang lain. Allah mahu aku belajar untuk menghargai segala yang kecil dan bergantung harap hanya padanya. Tidak semestinya  kerana IC aku dapat rezeki, semestinya kerana Allah yang Maha Bijaksana dalam caturannya.

       Segala derita dan ujian, akhirnya berbalik kepada Allah. Aku akhiri hariku dengan rebahan di atas katil yang sudah tidak empuk. Merenung siling dalam kamar yang malap. Fikiran terbeban dek nasib diri. Kadang aku terfikir, aku sebenarnya hanya malu dengan nasibku yang tidak sama dengan orang lain. Bukan kerana kurangnya penciptaan fizikalku, tapi kehidupan aku yang sentiasa diragui sama ada warganegara atau pendatang. Ah, sudahlah. Aku berdoa semoga esok pagi tiba-tiba ada sekeping kad berwarna biru dengan  wajahku yang kacak tertera.

This Post Has 6 Comments

  1. Terima kasih admin. Saya sangat suka dengan penulisan ini. Cerpen yg admin hasilkan ini sangat dekat dengan saya. Teruskan berkarya admin, teruskan berjuang untuk golongan stateless. Semoga admin dibawah lindungan dan rahmat Ilahi

  2. Aduhh… sgt menyentuh perasaan ni cerpen
    Pasti ditulis dr lubuk hati yg paling dalam
    Mengharap akan ada sambungan
    Cerpen ini mewakili suara insan yg mengetuk pintu kemanusiaan

  3. Penulisan mu tulen…teruskan berkarya

Leave a Reply

Close Menu