SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
|Cerpen| Dongeng Sampah

|Cerpen| Dongeng Sampah

Oleh: Muhammad Julazman Jupri

Semua pemandu lori kelihatan bingung. Mereka terkial-kial seperti sedang mencari sesuatu. Mereka sepertinya telah kehilangan sesuatu. Mereka terkejut apabila melihat segala tempat yang menjadi kebiasaan bagi mereka datang untuk menghantar sampah bagai kehilangan tempat untuk mereka membuang segala kekotoran dunia ini. Mereka sememangnya sudah hidup sebati dengan tempat ini. Segala bau yang busuk dan jijik itu adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Namun, sampah-sampah itu tiba-tiba hilang. Ke mana perginya sampah?

Jika sampah-sampah tersebut hilang, ini bermakna mereka juga akan turut kehilangan pekerjaan. Sampah adalah hidup dan mati mereka. Selama ini sampahlah yang telah banyak memberikan mereka kehidupan. Sampahlah yang menghidupkan keluarga dan anak-anak mereka, sampahlah yang membesarkan dan menampung segala persekolahan anak-anak mereka. Sampahlah punca utama rezeki mereka. Bayangkan bagaimana kehidupan mereka jika ketiadaan sampah?

Semua pemandu lori tersebut pulang dengan kosong. Mereka pulang berpusu-pusu sambil membunyikan hon sebagai tanda protes dan ketidakpuasan hati mereka. Mereka tidak berpuas hati kerana segala sampah-sampah tersebut hilang begitu sahaja. Apa yang kebiasaannya tidak digunakan lagi akan dinamakan sebagai sampah. Segala barangan seperti besi, plastik, botol, kertas, pakaian mahupun bayi yang dibuang juga kebiasaannya digelar sampah. Yang membuang bayi juga layak digelar sebagai sampah. Sampah masyarakat.

Kebiasaannya, penduduk kotalah yang sering kali membuang sampah. Mereka sewenang-wenangnya sahaja membuang sampah di merata-rata tempat walaupun tong sampah telah disediakan. Tetapi jika tong tersebut telah penuh mereka hanya akan membiarkan segala sampah tersebut bertaburan keluar sehingga mendatangkan bau yang kurang menyenangkan.

Bila sudah terjadi perkara yang kurang menyenangkan, barulah semua masyarakat hendak menyalahkan pihak Majlis Perbandaran. Walhal, segala kemudahan seperti tong sampah telah disediakan namun tidak digunakan dengan cara yang betul. Terkadang, pihak Majlis Perbandaran juga menghadapi masalah apabila terdapat sampah yang terlalu banyak. Seolah-olah penduduk yang tinggal di bandar ini berak sampah setiap hari.

“Arahkan semua kakitangan kita untuk bermesyuarat sekarang. Saya tidak mahu ada seorang pun yang tidak datang. Faham?”

“Faham tuan.” Kata aku.

Tuan Pengarah Majlis Perbandaran memanggil semua kakitangan untuk mengadakan mesyuarat tergempar. Mereka semua ingin mencari tahu ke mana segala sampah yang ada di bandar ini. Adakah semua penduduk bandar telah berhenti untuk membuat sampah? Ke manakah mereka membuang segala sampah yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka?

“Kamu ada apa-apa maklumat mengenai sampah-sampah yang hilang di bandar kita ini?” Soal Tuan Pengarah kepada kakitangan lain.

Semua terdiam. Mereka semua kelihatannya bingung.

“Kami pun tidak mendapat apa-apa maklumat tuan. Berita ini sangat mengejutkan kami semua.”

“Betul tu, tuan. Kami semua berasa pelik. Ke mana semua sampah-sampah itu pergi? Bukankah sampah-sampah itu adalah sebahagian daripada kehidupan mereka?”

Tidak ada seorangpun yang tahu ke mana segala sampah-sampah itu pergi. Mereka semua bingung dengan situasi yang melanda bandar mereka pada ketika ini. Tuan Pengarah mengarahkan semua kakitangan untuk turun padang dan pergi menyiasat di mana penduduk kampung membuang sampah mereka.

Semua kakitangan bergegas keluar daripada bilik mesyuarat. Mereka semua terus menukar pakaian masing-masing. Daripada berbaju kemas dan bertali leher kepada berbaju biasa seperti masyarakat lainnya. Mereka berpecah kepada beberapa kumpulan dan mencari tahu di segenap pelosok bandar tersebut.

Hampir selama sejam mereka pergi mencari tahu di mana keberadaan sampah yang selalu menjadi mercu tanda dalam bandar ini. Tetapi nampaknya mereka tidak menjumpai apa-apa pun. Mereka semua kelihatan penat. Mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke pejabat mereka semula. Mereka tahu pasti Tuan Pengarah akan memarahi mereka semua kerana tidak mendapat apa-apa bukti mengenai sampah tersebut.

“Tuan. Kami tidak menjumpai apa-apa bukti, tuan. Puas kami mencari di seluruh pelosok bandar ini tetapi tiada apa-apa bukti.” Kata salah seorang kakitangan dalam pejabat itu.

“Tak jumpa apa-apa? Macam mana boleh tak jumpa? Ke mana hilangnya segala sampah-sampah tersebut?” Marah Tuan Pengarah sambil menghempas meja yang ada di hadapannya.

Mereka semua terdiam. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Mereka tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Semuanya mengeluh dan kepenatan. Entah ke mana sampah itu hilang. Tiba-tiba…

“Tuan! Tuan, saya dah tahu di mana semua sampah-sampah tersebut!” Sambil tercungap-cungap akibat kepenatan berlari.

“Hah? Di mana semua sampah tersebut?”

“Ada di sebalik bangunan tinggi di hadapan kita ini tuan. Segala sampah-sampah itu telah menjadi tinggi seperti bangunan tuan. Err.. lebih tinggi dari bangunan sebenarnya.” Kata dia sambil membuka langsir dan menunjuk ke arah longgokan sampah yang sangat tinggi melebihi bangunan tempat kami berdiri sekarang.

“Siapa punya angkara ni? Bagaimana saya tidak pernah tahu-menahu tentang bangunan sampah yang mereka dirikan tu?”

Semua saling berpandangan antara satu sama lain. Tuan Pengarah kelihatan bingung memikirkan tentang bangunan sampah yang tiba-tiba sahaja wujud di bandar mereka. Dia sendiri selaku Tuan Pengarah tidak pernah diberitahu tentang kewujudan bangunan sampah tersebut.

“Kenapa tidak ada seorangpun yang tahu tentang kewujudan bangunan sampah ini di bandar kita? Kamu semua makan gaji buta!”

“Kami juga baru melihat bangunan tersebut tuan. Selama ini pandangan kami ditutupi oleh segala langsir yang menutupi ruang pejabat ini.” Jawab salah seorang kakitangannya.

 “Oh. Jadi selama ini kamu tidak pernah turun padanglah untuk memantau segala aktiviti pembuangan sampah di bandar kita ni? Habis tu macam mana kamu semua boleh menyiapkan segala laporan kamu kalau kamu sendiri tidak pernah turun padang?” Soal Tuan Pengarah.

Tuan Pengarah kelihatan berang dengan sikap kakitangannya yang tidak tahu-menahu satupun tentang aktiviti pembuangan sampah di bandar mereka. Dia asyik berjalan mundar-mandir sahaja. Keresahan jelas terpampang di wajahnya.

“Bagaimana dengan perusahaan tempat pelupusan sampah anak saudara saya? Kemungkinan besar syarikat anak saudara saya akan lingkup. Para buruh pasti tidak mempunyai pekerjaan untuk dilakukan. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Perkara ini sangat merugikan syarikat anak saudara saya.”

“Kami mendapat laporan bahawa syarikat pelupusan sampah anak saudara tuan terpaksa ditutup kerana para pekerja ramai yang berhenti dan berpindah ke tempat pembuatan bangunan sampah itu, tuan.”

“Apa? Mereka sudah melampaui batas! Adakah syarikat mereka mempunyai lesen untuk membina bangunan sampah tersebut? Adakah syarikat mereka telah berdaftar di bawah Majlis Perbandaran?”

“Mereka belum berdaftar, tuan.”

“Kalau begitu, kita boleh saman mereka kerana membuat bangunan sesuka hati dalam bandar kita. Bandar ini ada peraturan. Mereka tak boleh berbuat sesuka hati mereka.” Tegas Tuan Pengarah.

Tuan Pengarah dengan segera mencapai baju yang terletak pada kerusinya. Dia bergegas keluar meninggalkan ruang pejabat.

“Tuan nak ke mana?” Soal kakitangannya.

“Ke tapak pembinaan bangunan sampah tu. Saya hendak menyiasat sendiri tentang perkara ini. Hal ini tak boleh dibiarkan lagi.”

Beliau terus berlalu meninggalkan semua kakitangannya. Dia mengarahkan kakitangan yang bertugas di kaunter pejabat untuk menghubungi pemandunya untuk datang. Dia kelihatan betul-betul resah dan tidak menentu.

Tidak berapa lama kemudian, pemandunya tiba. Beliau bergegas mengarahkan pemandunya ke tempat tapak bangunan sampah tersebut. Perjalanan ke sana tidak berapa jauh daripada pejabat Majlis Perbandaran tetapi terpaksa mengharungi beberapa lampu trafik dan selok-belok beberapa jalan yang sempit.

“Kita sudah sampai, tuan.” Kata pemandunya.

Tuan Pengarah kehairanan melihat persekitaran bangunan sampah tersebut. Berpusu-pusu orang ramai yang datang untuk membuang sampah mereka. Ada juga yang sanggup mendirikan khemah dan menetap di sekitar tempat pelupusan sampah ini. Tiba-tiba Tuan Pengarah menahan beberapa orang yang pergi ke tempat pelupusan sampah berkenaan.

“Mengapa kamu semua sanggup menghantar segala sampah kamu sendiri ke sini? Bukankah selama ini Majlis Perbandaran sedia mengambil segala sampah di hadapan rumah kamu sendiri?”

“Memanglah selama ini pihak Majlis Perbandaran sedia mengambil segala sampah kami tetapi kalau kami menghantar segala sampah kami ke sini secara sendiri, mereka akan mengenakan caj kepada kami sebanyak RM5 untuk setiap sampah yang kami bawa.”

“Habis tu kenapa kamu beria-ia hendak hantar sampah ke sini? Sedangkan kami tidak pernah mengenakan sebarang caj ataupun bayaran kepada kamu.”

“Tetapi kami akan diberikan sebuah kupon cabutan bertuah yang membolehkan kami bergelar sebagai jutawan dalam sekelip mata.”

“Kupon? Jutawan? Ini tidak masuk akal. Pasti kamu semua sudah kena tipu.”

“Tapi tuan, ada sudah orang yang kena dan dia terus menjadi kaya-raya.” Jelas mereka lagi.

“Ini semua gila. Yang jelas mereka semua tidak mempunyai lesen berdaftar daripada Kementerian Kewangan. Mereka bergiat secara haram. Mereka semua akan saya bawa ke muka pengadilan.”

“Yang pastinya tiada lagi masalah sampah, tuan.” Jawab yang lain pula sambil berlalu pergi.

Tuan Pengarah masih tidak berpuas hati dengan segala jawapan mereka. Dia masih berpendapat bahawa cara pelupusan sampah ini haram kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan tempatan.

“Nampaknya syarikat ini telah berjaya mengubah segala pemikiran masyarakat kita, tuan.” Kata pemandu  tersebut.

“Mengubah pemikiran masyarakat kita? Apa yang berubah? Sampah tetap sampah. Tidak pernah berubah. Kotor, busuk dan jijik.”

“Itu pada pandangan tuan. Tetapi masyarakat telah percaya bahawa sampah yang selama ini kita anggap kotor, busuk dan jijik itu adalah suatu yang indah dan berharga. Lihat saja berapa ramai masyarakat yang sanggup datang ke sini semata-mata hanya untuk membuang sampah.”

Tuan Pengarah seakan-akan tidak percaya akan kenyataan tersebut. Dia berasa sangat marah dan kebingungan. Jika hal ini tidak dicegah berkemungkinan dia akan diberhentikan kerja.

“Kamu kenal dengan pengurus syarikat ini? Tolong bawa saya untuk berjumpa dengannya!”

“Sangat kenal, tuan. Dia tidak susah untuk ditemui. Tanpa temu janji pun beliau tetap sudi berjumpa dengan sesiapa sahaja yang mahu berjumpa dengannya. Itupun dia, tuan. Lelaki yang berbaju putih dan bermisai tu.” Sambil menunjuk ke arah pengurus syarikat tersebut.

Tuan Pengarah dengan perasaaan marah terus meluru ke arah pengurus syarikat tersebut.

“Tuan Pengarah. Gembira saya dapat berjumpa dengan tuan. Satu kebanggaan buat syarikat saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Ataupun tuan datang ni untuk buang sampah juga?”  

“Saya mendapat tahu awak menjalankan operasi pelupusan sampah ini tanpa lesen. Betulkah?” Soal Tuan Pengarah tanpa menjawab soalan daripada pengurus syarikat tersebut.

“Pembetulan. Bukan tanpa lesen tuan tetapi tanpa diberikan lesen.”

“Samalah tu!”

“Saya telah memohon lesen. Segala syarat telah saya patuhi. Saya rasa sudah banyak kali saya turun naik ke pejabat Majlis Perbandaran untuk berurusan tetapi jawapan yang saya terima tetap sama berkali-kali ‘permohonan tuan sedang dalam proses’. Tiap tahun saya membuat permohonan dan tiap tahun jugalah pihak tuan memproses permohonan saya.”

“Kenapa tidak terus datang berjumpa dengan saya?”

“Saya ada meminta untuk terus berjumpa dengan tuan tetapi PA tuan asyik bertanya tentang temu janji. Apabila saya hendak meminta untuk membuat temu janji dengan tuan, PA tuan menyatakan segala tarikh telah penuh dengan aktiviti tuan. Jadi, bagaimana saya hendak berjumpa dengan tuan kalau tuan asyik sibuk dengan urusan tuan sahaja?”

“Kamu mengutip wang dari penduduk bandar ini! Tidak adil bagi mereka. Perbuatan kamu untuk menipu mereka adalah satu kesalahan!”

“Tuan. Tuan. Tuan. Keadilan hanya ada di negara dongeng, tuan. Bukan di sini. Kami sendiri tidak pernah melihat keadilan. Bagaimana pula kami hendak mempercayai tentang kewujudan keadilan.”

“Dongeng? Kamu mengatakan keadilan yang ada di bandar ini hanya sebagai suatu dongeng?”

“Iya. Hanya dongeng yang direka-reka oleh tangan tuan sendiri. Sama seperti segala cerita tentang sampah-sampah ini. Segala-galanya hanya dongeng.”  

Leave a Reply

Close Menu