SENI DAN SASTERA

SENI UNTUK MASYARAKAT

  • borneokomrad1@gmail.com
|CERPEN| Akhirnya dia menjadi kanak-kanak semula

|CERPEN| Akhirnya dia menjadi kanak-kanak semula

Oleh: Anasakina Ismail

Dalam proses seharian pembelajaran di Sekolah Alternatif Teluk Layan pasti akan terpandang satu sosok tubuh kecil bernama Atirah. Anak kecil berumur 13 tahun yang bagi aku sangat matang dan bertanggungjawab. Tak pernah tidak hadir ke sekolah dan pastinya dia hadir bersama adiknya Nadia yang berumur 11 tahun dan bayi kecil Anirah berusia 3 tahun. Dia antara yang paling muda dalam kelas A Samad Said bagi kelas yang sudah mahir membaca dan menulis.

Tubuh kecilnya itu menyimpan satu tanggungjawab yang besar. Tak pernah sekali kami melihat Atirah memarahi adik-adiknya dan sentiasa lembut mengurus adik-adiknya. Pernah kami memberitahu Atirah untuk tidak membawa Anirah ke sekolah kerana ianya akan menganggu Atirah untuk belajar memandangkan adiknya masih kecil. Tapi bilangnya tiada orang di rumah. Ibu bapanya bekerja dan dia terpaksa bawa adiknya ke sekolah sekiranya dia mahu belajar. Mendengarkan perkara itu kami turutkan sahaja. Malah Anirah tidak terlalu menganggu sesi pembelajaran di sekolah. Dia akan duduk di tepi kakaknya sambil mewarna malah sekali sekala menjadi pembantu di sekolah.

gambar hiasan

Tetapi hari itu, hari yang sangat berbeza. Hari itu mahasiswa dari Fakulti Sains Sukan UMS melakukan aktiviti sukan bersama anak-anak di Sekolah Alternatif Teluk Layan. Kami ketika itu memantau segala aktiviti yang dijalankan. Aktiviti yang dijalankan ketika itu adalah mencari harta karun dalam timbunan pasir pantai.

Anak-anak ketika itu berlarian bersemangat sambil menguis-guis pasir mencari harta karun dalam pasir pantai. Lama proses pencarian itu tiba-tiba satu sosok tubuh kecil keluar dari gelanggang dan melompat keriangan. Ketika itu aku melihat Atirah melompat keriangan sebab dia orang yang pertama menjumpai harta karun tersebut berbanding kumpulan lain.

Pada ketika itu, aku terkejut lihat riak wajah Atirah sangat gembira. Masih melompat dan mengangkat hadiah harta karunnya dan ahli kumpulannya melompat gembira di sisi Atirah. Lantas aku menarik tangan Cikgu Dayang.

“Dayang! Kau tengok Atirah!” aku menarik tangan Dayang sambil menunjuk ke arah Atirah yang melompat-lompat gembira.

“Hah! Atirah!” Dayang melihat situasi itu juga terkejut.

Entah tak semena-semena aku dan Dayang berpadangan antara satu sama lain dan mengalirkan air mata. Iya, kami berdua menangis. Saat aku menulis cerita ini aku masih lagi menangis. Satu perasaan yang susah untuk digambarkan.

Akhirnya dia menjadi kanak kanak semula!

Ketika itu, kami melihat Atirah seperti kanak-kanak berusia 7 tahun yang melompat gembira. Bukan Atirah selama ini kami hanya nampak yang sangat bertanggungjawab dan matang. Hari itu dia mengeluarkan sisi kanak-kanaknya yang selama ini dia sembunyikan bagi mengalas tanggungjawab sebagai orang dewasa menjaga adik-beradiknya.

Aku sendiri sangat kagum dengan Atirah apabila dalam usia sebegitu dia sangat matang dalam pemikirannya. Aku masih ingat apabila sesi makan tengahari dia menyuapkan seluruh tapau nasinya kepada Anira tanpa menjamah sedikit pun nasi itu. Dan ketika pulang dari sekolah aku memerhatikan Atirah dan Nadiah sedang menutup Anirah dengan kain selendang supaya tidak terkena pancaran matahari yang sangat panas petang itu. Sempat lagi Atirah melambaikan tangan dan tersenyum manis sambil mendokong Anirah minta pamit pergi untuk pulang ke rumah yang jauhnya terpaksa mengharungi bukit dan semak.

Aku masih kagum dengan dirinya. Bagi aku sendiri aku tidaklah sematang Atirah dalam menjalani kehidupan seharian yang begitu mencabar sekiranya aku dalam dirinya. Aku fikir aku yang mengajar anak-anak Sekolah Alternatif Teluk Layan tentang pembelajaran seharian kepada mereka tetapi sebenar aku tersilap. Bukan aku yang mengajar, tetapi mereka yang mengajar aku tentang makna sebenar kehidupan.

Leave a Reply

Close Menu