WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Budak Sejarah Tidak Semua Cerah

Budak Sejarah Tidak Semua Cerah

Oleh: Farahani R.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan isu Heil Hitler, dimana pentas konvokesyen menjadi pentas suatu stunt ‘berani mati’. Seharusnya beberapa minggu lalu saya menulis sebuah draf artikel berupa ‘surat terbuka’ kepada warganegara ini atas beberapa sebab peribadi. Namun saya tersedar ia lahir dari hati yang marah dan sakit. Bukan lagak sejarawan dan intelektual yang saya ingin diingati ramai.

Beberapa masalah saya terhadap pelaku tersebut adalah: Pertama, kerana pelaku tersebut mencemarkan sucinya majlis konvokesyen. Kedua, kerana pelaku tersebut adalah graduan Sejarah dari universiti yang sama saya dilahirkan. Ketiga, kerana apa yang disertakannya menjadi kapsyen gambar ‘sedetik lambaian’ itu jauh dari warna semangat sejarawan dan seluruh jurusan Sejarah khususnya di universiti yang sama.

Di sini saya ingin menukil suatu pembelaan terhadap contengan arang yang menghitam di hati dan wajah para penuntut Sejarah (dan sudahpun lahir darinya sebagai sejarawan). Universiti Malaysia Sabah khususnya dalam silibus dan dari segi ideologi dan idealisme tenaga pensyarah Sejarah, sesekali tidak pernah ingin  ‘mencuci minda’ para ahlinya untuk terpujuk dengan fakta separuh masak.

Sebarang fakta itu diajarkan untuk difaham, dikritik sebaiknya. Sebarang fakta itu diajarkan perlu pembuktian dan penelitian. Sebarang fakta itu diajarkan perlu menyemai tahu dan faham yang mendalam. Sebarang fakta itu diajarkan perlu dianalisis dan diperhalusi siap dengan nota kaki. Disiplin dan etika menulis sejarah itu amat ditekankan, bukan dengan semberono atau hanya salinan beberapa buku menjadi satu.

Proses ini acapkali tidak dilihat oleh sebahagian besar masyarakat, lantaran pada minggu yang sama, wujud petisyen para pelajar SPM yang seolah orang gua baru jumpa ‘api’ dengan platform online petition. Mereka meminta agar subjek Sejarah itu diturunkan markah lulusnya, suatu ikutan dari tuntutan inginkan subjek Matematik Tambahan itu juga wajar diturunkan passing gred beberapa minggu sebelumnya.

Masyarakat melihat proses penulisan sejarah tidak lebih dari membaca dan menulis, merujuk dan memetik kata-kata orang lain. Proses penulisan sejarah tidak lebih dari menghafal dan mengingat tarikh. Di sini ingin saya katakan bahawa saya sendiri kadangkala terlupa tarikh saya lahir dan berapa umur saya sekarang, apatah lagi ingin sekali menghafal tarikh-tarikh seluruh sejarah dunia. Harapnya ini cukup untuk menjawab mitos budak sejarah harus ingat tarikh dunia. Ia membantu, tapi ia tidak terlalu bermakna melebihi kepentingan analisis kritikal pensejarahan.

Para penuntut sejarah khususnya yang belajar secara langsung dengan pakar sejarah serta bakal bergraduat memegang sijil B.A (Hons) dalam Sejarah harus faham bahawa mereka kini memegang status ‘junior gatekeeper’ kepada ilmu sejarah itu sendiri. Maka, tindakan si pelaku tabik Hitler ini mengejutkan saya kerana kapsyennya ditulis seolah pemahaman dirinya terhadap situasi sejarah Perang Dunia, Hitler dan Zionist hanya datang dari media sosial dan blog picisan.

Saya tidak pasti apa kontroversi yang cuba dilangsungkannya dalam wacana masyarakat, melainkan hanya menjadi burung kakak tua kepada para penulis blog yang separuh masak dan tidak lebih dari mendewakan seorang pemimpin totalitarian Eropah. Walhal melawan Eropahlah nadi penciptaan blog mereka, siap mengambil petikan dari entah dari mana. Hipokrit, bukan?

Tanpa Holocaust, para Zionist tidak mempunyai banyak ‘leverage’ dalam meminta bantuan British untuk menyerahkan Palestin kepada mereka. Tanpa Holocaust, Zionist juga sukar memenangi tempat dalam kesedaran politik dan ‘political correctness’ Barat pasca Perang Dunia. Tanpa Holocaust, Zionist akan kurang bahan propaganda untuk mengabsahkan pendudukan mereka di tanah Palestin. Namun diagungkan juga Holocaust itu, malah diselarikannya dengan ‘Selamatkan Gaza’.

Membenci Yahudi juga tidak sepatutnya menjadi prinsip keimanan seorang Muslim. Jika ingin dibentuk prinsip keimanan itu dengan membenci Yahudi, maka apa yang anda lihat di dunia ini hanyalah ketakutan pukul rata terhadap seluruh kaum tersebut. Sedangkan yang harus dibenci adalah pemikiran dan perlakuan Zionist dan ultra kanan Israel, bukanlah Yahudi secara keseluruhannya.

Sentimen anti-semitik boleh diukur dari penerbitan buku-buku laris yang senada dengan perkara-perkara luar capaian faham masyarakat Malaysia seperti struktur Freemason, tanggapan idea New World Order dan secret society Illuminati. Secret society itu wujud, cuma ia ekslusif pada mereka yang percaya. Manakala New World Order itu hanyalah idea perebutan kuasa politik dan imperialisme budaya baharu. Idea NWO yang dibahukan salahnya pada Yahudi sebenarnya adalah teori konspirasi yang diambil cetusannya dari H.G Wells, seorang penulis sains fiksyen terkemuka.

Berbalik semula kepada pembentukan minda analitikal budak sejarah, lazimnya saya mendapati kebanyakan graduan Sejarah itu hebat-hebat kedudukan mereka kini. Mashyur gah nama universiti dan jurusan itu sendiri kerana kemampuannya melahirkan generasi pemikir yang produktif kepada masyarakat. Malah, saya menikmati garapan idea dan penulisan mereka kerana ketelusan menganyam pandangan bernas serta mencuit perasaan tahu dan maklum dalam kalangan masyarakat.

Tetapi pada masa yang sama, saya tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir yang lebih suka bermain dengan perasaan dan emosi masyarakat berbanding menongkah arus majoriti jika majoriti itu salah. Itu tertakluk pada pemikiran dan prinsip peribadi masing-masing, walaupun sudah dicurah ilmu-ilmu memperbetul mana yang silap. Mungkin minda mereka masih belum cerah, ataupun mereka sememangnya mempunyai kepentingan tersendiri untuk memecahbelah perpaduan dan kepintaran rakyat.*

*[Di sini saya memaksudkan mereka yang sedar akan kesilapan masyarakat namun tidak mencegah, malah mengiyakan masyarakat sesat. Budak sejarah tahu sejarah dan mampu berfikir merentasi semangat zaman dan perbezaan waktu tetapi lebih suka membiarkan masyarakat, termasuk diri dan orang sekelilingnya lemas terkapai dalam lautan ‘misinformation’].

Oh sudah saya lihat beberapa budak sejarah yang terbentuk menjadi lalang masyarakat dan bukannya berfungsi sebagai pencerah minda rakyat. Namun apa yang baik dari fikiran mereka, saya ringankan semula kepada masyarakat agar lebih mudah diertikan maksud idea mereka. Jadi kehadiran pelaku ini di pentas kontroversi gagal menghadirkan sebarang elemen terkejut dalam diri saya. Tapi jika satu hari nanti, si pentabik Hitler ini mampu menzahirkan kajian yang bagus, maka saya tidak akan teragak-agak menurunkannya untuk konsumpsi masyarakat.

Anggap sajalah tulisan saya yang tidak seberapa ini adalah penghargaan dan penilaian semula terhadap martabat ‘gatekeeper’ dalam ilmu sejarah dan hubungannya dengan masyarakat. Sudah pasti, saya menyokong usaha ramai untuk mengangkasakan sejarah khususnya sejarah rakyat untuk membina identiti bangsa.

Tetapi adakalanya, saya juga melihat naratif itu kadang kala ‘tempang’ sebelah. Budak sejarah tidak diajar untuk ‘berjalan tempang sebelah kaki’. Itu beza kita dengan penulis sejarah terutamanya yang kerap meremehkan persoalan falsafah sejarah, penghakiman moral, pengutipan maklumat dan kewaspadaan menyimpulkan sesuatu dapatan. Lebih parah apabila mereka menjadi terlalu yakin hingga berani menerbitkan buku di pasaran arus perdana dengan kualiti kajian caca-merba.

Leave a Reply

Close Menu