BORNEO DAN ‘PERSOALAN NASIONAL’
Gambar dari The Leaders Online

BORNEO DAN ‘PERSOALAN NASIONAL’

Oleh: Farahani Rosman

‘Kesedaran palsu’ yang dicernakan ini perlu dipecahkan agar kita dapat menyentuh isu-isu kritikal dan membina. Ruang-ruang fikir yang terbina semakin selesa, dan sudah tidak kondusif untuk pertumbuhan intelek kritikal dan membumi. – Farahani Rosman

Dibelek buku Hishamuddin Rais, ditelek depan-belakang. ‘Persoalan Nasional’, judulnya. Bertahun-tahun saya dambakan buku itu. Sekarang baru saya berkesempatan membelinya, dua tiga bulan peram sebentar. Saya buka, dan semakin lama semakin berkerut saya membacanya. Mungkin kerana Hishamuddin Rais bukan ahli akademik, sebaliknya penulis dan aktivis yang rajin mendampingi ahli politik, lalu kerangka fikirnya berhadapan dengan salah satu konsep dalam teori kritikal itu sedikit celaru. Konsep ‘Other’ ini tidak asing lagi menjadi garis penilaian khususnya dalam membicarakan dua atau lebih elemen kuasa atau budaya yang sifatnya berasingan antara satu sama lain. Namun barangkali untuk dibawakan dalam pensejarahan kontemporari Malaysia, ia barangkali suatu percubaan yang kreatif, tetapi berbahaya. Seringkas ulas, konsep ‘Other’ atau ‘Yang Lain’ mendesak kita untuk memisahkan diri Malaysia menjadi Melayu vs Bukan Melayu. Ya, itu-itu sajalah. Saya tidak banyak belajar dari buku nukilan Hishamuddin Rais, kecuali tiga perkara: (1) Teori kritikal perlu diajar di sekolah dan dibincangkan lebih meluas, (2) kerangka kaum dalam konteks Malaysia kurang sesuai ‘dihadapkan’ satu sama lain melainkan diperjelas bahawa ini adalah gambaran pola fikir pemikiran semata-mata, dan (3) ‘Persoalan Nasional’ gagal membawa ‘Persoalan Nasional’. Dalam esei ini, saya akan menjurus tumpu lensa bincang kita dalam pelajaran ketiga; malah berani saya katakan, hampir semua perbincangan mengenai kemerdekaan atau ‘Malaysia’ masih gagal menyelesaikan isu persoalan nasional.

Antara Dua Kutub: Kaum dan Agama

Saya sudah berhenti lama mendengar mana-mana perbincangan, khususnya apa-apa sahaja yang melibatkan merdeka atau persoalan bangsa dan senada dengannya. Ini kenyataan berani, kerana saya awalnya tadi menegaskan bahawa hampir semua perbincangan mengenai persoalan nasional itu gagal. Gagal adalah istilah yang berat, namun oleh kerana sudah terlalu lama dan tampak tidak disahut, disambut dengan terbuka maka saya istilahkan sahaja begitu. Judul ‘Persoalan Nasional’ sememangnya menarik perhatian, umpama ia dapat menelusuri pemikiran nasional – sebenarnya Hishamuddin Rais di pengakhiran kalamnya itu menyatakan dia terbuka membicarakannya – namun ia bukanlah buku pertama yang cuba meneroka persoalan nasional bangsa Malaysia.

Wacana persoalan nasional ini sudah terlalu lama terpekung dalam cawan sendiri. Arahnya pusing-pusing dan tiada penambahan segar boleh didengar selain dua kutub ini: kaum dan agama. Kalau tidak Melayu, mesti tentang Islam. Melayu Islam. Identiti inilah diangkat sebagai hegemoni budaya seluruh Malaysia. Bagi saya, dalam soal pembinaan negara, itu nyata tidak salah. Tetapi amat sedikit yang menyedari satu hal yang mungkin sulit diterima ramai, iaitu kita harus bergerak keluar dari kerangka fikir ini dan mula mengorak persoalan yang lebih wajar kita ketengahkan. Bagi saya, Malaysia lebih dari kaum dan agama. ‘Kesedaran palsu’ yang dicernakan ini perlu dipecahkan agar kita dapat menyentuh isu-isu kritikal dan membina. Ruang-ruang fikir yang terbina semakin selesa, dan sudah tidak kondusif untuk pertumbuhan intelek kritikal dan membumi. Sementara wacana perbincangan mengenai kedudukan Melayu atau Islam ini terwujud jua lingkaran isunya sendiri, tetapi kerajaan sendiri dipegang oleh kaum Melayu Islam. Institusi-institusi kerajaan tersedia untuk memacu, menyelesaikan dan mengangkat permasalahan Melayu Islam. Sekiranya berlaku kegagalan atau kekurangan, ia bermakna sistem itu sendiri terkurang memangkin perkembangan Melayu Islam. Melayu Islam adalah status quo di Malaysia dan terjamin dalam Perlembagaan Malaysia. Melayu Islam adalah suatu keistimewaan, langsung dan tidak langsung dalam sudut penting negara khususnya dalam sosiopolitik Malaysia.

Dalam naratif perdana sejarah merdeka, Melayu Islam juga dijadikan aktor utama sebagai wira-wira negara yang terkorban mempertahankan negara. Bagaimana dengan wira bukan Melayu yang lain? Premis ‘Persoalan Nasional’ tidak akan dapat menjawab soalan ini, kerana sudah disebut, Bani Melayu adalah satu identiti yang berbeza dengan Bani Cina. Dengan mantik yang tersedia, wira (atau keperwiraan) Cina dan India sepatutnya tidak wujud kerana Bani Melayulah wira Tanah Melayu. Jika dia adalah wira, maka dia adalah Melayu. Hal inilah, jika kita panjangkan aliran idea ke luar buku, tafsiran teorinya benar-benar merosakkan fabrik sosial masyarakat. Hal ini juga membuktikan keperluan para penulis untuk berhati-hati dengan komentar, tafsiran dan penelitian mereka menggunakan teori untuk diaplikasikan dalam sosial sesebuah masyarakat.

Di Mana Sabah dan Sarawak?

Tidak lebih dari 5 kali Sabah dan Sarawak disebut, itupun amatlah ringkas sekenyataan dua sehingga tiada apa yang konkrit untuk difahami.

Janganlah dimuluk-mulukkan istilah persoalan nasional selagimana pembicaranya tidak mengangkat Sabah dan Sarawak. Teguran ini terpakai buat semua lapangan wacana berkisarkan identiti nasional, bersifat kebangsaan dan paling penting, mendakwa sedang membicarakan ‘Persoalan Nasional’. Buku Hishamuddin Rais sendiri menampakkan beliau tidak tahu (atau tidak mahu tahu) banyak tentang Sabah dan Sarawak. Tidak lebih dari 5 kali Sabah dan Sarawak disebut, itupun amatlah ringkas sekenyataan dua sehingga tiada apa yang konkrit untuk difahami. Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada Malaysia, mempunyai identitinya sendiri dan sifat kewilayahan yang tinggi. Kesetiaan nasionalisme mereka terkadang melebihi kepentingan negeri berbanding negara, sehinggakan idea keluar dari Malaysia sudah dilihat sebagai suatu idea alternatif sekiranya Putrajaya berterusan dilihat tidak mempedulikan keperluan-keperluan Sabah dan Sarawak.

Namun itu adalah soal polisi, kepimpinan dan kehendak politik. Tumpuan saya adalah bagaimana mendudukkan Sabah dan Sarawak dalam wacana kemerdekaan, atau persoalan nasional. Jika Hishamuddin Rais mendakwa ‘Persoalan Nasional’ adalah Bani Melayu vs Cina dan India, maka saya perluas lagi tafsiran teorinya kepada Borneo vs Malaya. Sentimen ini tetap ada berpeleseran sekitar Borneo Malaysia, dan tersembunyi dalam kalangan masyarakat. Ditambah lagi dengan persoalan wacana Malaya-Sentrik, Sabah dan Sarawak semakin terasing dalam perbincangan mengenai identiti nasional seolahnya yang penting cuma Melayu Islam. Seperti apa yang saya sebutkan awal tadi, Melayu Islam adalah status quo dan budaya utama Malaysia. Melayu Islam Semenanjung, walau bagaimanapun, ramai yang lemas dalam keistimewaan mereka sehingga apabila memimpin sebarang wacana tentang identiti nasional, identiti merekalah disebutkan dari saat awal hingga penutup. Tiada langsung menyebutkan perihal Sabah dan Sarawak, sama ada atas apati mereka tentang Sabah dan Sarawak atau mereka sebenarnya tidak sedar bahawa Sabah dan Sarawak juga perlu dibincangkan sebagai sebahagian dalam wacana kebangsaan.

Mungkin ada yang membidas, menyatakan Sabah dan Sarawak juga ada yang Melayu, ramai pula yang Islam. Islam adalah agama yang dianuti seluruh dunia, manakala kaum Melayu itu rumpunnya sangat luas sehingga sempadan, latar politik dan identiti kemelayuannya memisahkan Melayu Malaysia, Melayu Siam, Melayu Borneo Malaysia, Melayu Brunei dan lain-lain. Mungkin ada lagi menambah suara sumbang, angkatlah wacana sendiri – itu solusi yang dangkal dan kurang berkesan dalam mengeratkan kohesi dan integrasi sosial. Di peringkat masyarakat awam, sememangnya jarang wujud diskriminasi antara bumiputera melainkan ia adalah masalah sikap dan sistem secara mikronya. Namun saya membayangkannya lebih besar dari setakat layanan sosial: jika Sabah dan Sarawak terus berbincang sesama sendiri tentang sesama sendiri dan Malaya, manakala Malaya membincangkan sesama sendiri tentang sesama sendiri sambil mengangkat identiti Melayu Islam Semenanjung lebih penting dan utama dalam sejarah pembentukan bangsa, saya fikir ia juga mengugat kesejahteraan, kesefahaman dan kepercayaan dua tanah yang terpisahkan laut ini.

Persoalan Nasional

Malaya disyaitankan sebagai suatu kuasa politik yang maha jahat, licik dan merugikan sementara wira yang akan melawan syaitan ini adalah diri sang calon politik; akan memperjuangkan tidak lebih daripada dirinya sendiri, kepentingan parti, dan barulah, kepentingan pengundi konstituennya

Sentimen kewilayahan dibiarkan melarat, sementara Malaya tidak tahu apa mahu dibuat dengan Sabah dan Sarawak. Malaya sudah berusaha mengangkat isu-isu masyarakat, tidak kurang juga sekali sekala menjemput panel yang boleh bercakap tentang Sabah dan Sarawak. Malaya sudah melakukan apa yang dianggap boleh berlaku adil untuk menyetarakan perhatian antara isu di Malaya dan isu di Borneo Malaysia. Itu langkah asas yang baik, dan perlu dipergiat lagi oleh semua institusi keilmuan yang aktif berperanan sebagai penyebar ilmu kepada masyarakat. Tetapi itu sahaja, sudah pasti tidak cukup.

Pertama sekali, naratif Sabah dan Sarawak dalam Sabah dan Sarawak itu sendiri perlu ditukar. Sikap masyarakat Sabah dan Sarawak terhadap Malaya boleh berubah, dengan melihat dahulu kepimpinan yang mereka pilih, undi dan sokong pada pilihan raya. Kepimpinan inilah yang menjadi barisan depan dan utusan suara rakyat di Parlimen, sekiranya mereka hadir untuk bersuara dan bukan untuk mengumpul lemak di punggung, perut dan kepala. Rakyat Borneo Malaysia perlu memahami bahawa apa yang disebut-sebutkan oleh orang politik ketika kempen pilihan raya khususnya apa-apa yang melibatkan Malaya sebenarnya hanyalah berkonsepkan Otherness, sekali lagi saya tegaskan, perosak fabrik masyarakat Malaysia. Malaya disyaitankan sebagai suatu kuasa politik yang maha jahat, licik dan merugikan sementara wira yang akan melawan syaitan ini adalah diri sang calon politik; akan memperjuangkan tidak lebih daripada dirinya sendiri, kepentingan parti, dan barulah, kepentingan pengundi konstituennya.

Kedua, sikap Malaya sendiri dalam memahami identiti sebenar Malaysia. Suatu kelebihan di Sabah dan Sarawak adalah kepelbagaian kaum dan agama yang ada, masing-masing dengan dialek dan bahasa tersendiri, tidak mengugat semangat wilayahnya. Hampir tiada perebutan hegemoni kerana masing-masing ada ruang tersendiri yang sudi diberikan sewajarnya atas prinsip ‘orang negeri’. Sabah tidak dinobat milik satu kaum, satu agama sahaja. Kelebihan ini mungkin boleh dicontohi oleh Malaya, khususnya dalam ruang identiti. Dari pandangan luar, Melayu boleh bertoleransi dengan kepelbagaian namun belum tentu mereka boleh menerima dan berintegrasi dengan kebudayaan yang lain dengan identiti asal diri mereka. Melayu Islam memang menjadi status quo dan terjamin dalam Perlembagaan, tetapi tidak ramai antaranya mengguna sebaiknya keistimewaan daripada kukuhnya jaminan itu untuk berkongsi ruang dengan identiti selain dirinya. Tempurung tanjaknya cuma tentang Melayu dan itu sahajalah Malaysia ini, sehingga bagi sebilangan Melayu Islam mendakwa, “Malaysia untuk Melayu, dan yang lain boleh pergi mampus.” Malang sekali apabila nada ini masih boleh kita kutip di alam maya, sama ada itu adalah letusan seseorang yang kurang berilmu adab atau persepsi sebenar seseorang yang menganggap dirinya pejuang bangsa Melayu terakhir di dunia. Namun begitu, alam maya bukanlah pengukur sebenar pemikiran masyarakat meskipun ia boleh menjadi tingkap untuk kita singkap sedikit sebanyak kepelbagaian persepsi minda yang ada di Malaysia ataupun tentang Malaysia. Nilai eksklusifnya Melayu tidak ditetapkan oleh parti politik; ia ditetapkan oleh kaum itu sendiri secara kolektif.

Ketiga, salah satu kegusaran saya sebagai anak Sabah adalah ironi dalam pendidikan sejarah negara serta keperdanaan naratif-naratif Malaya-Sentrik yang ada di Malaysia. Suatu selitan peribadi di sini; mengapa orang Sabah dan Sarawak begitu fasih tentang sejarah Tanah Melayu, berbanding warga Tanah Melayu tahu tentang Sabah dan Sarawak? Mengapa warga Tanah Melayu lebih tahu, dekat jiwanya pada sejarah Indonesia yang terang-terang adalah negara lain, tetapi dua wilayah besar yang senegara dengannya diketepikan? Bagi saya, sebelum kita terjun ke dalam sejarah negara lain dengan penuh semangat setia cinta jiwa raga ghairah, lebih afdal sekiranya dikhatamkanlah dahulu sejarah negara khususnya Sabah dan Sarawak sebagaimana anak Sabah dan Sarawak diajar perihal Tanah Melayu lebih banyak dan mendalam di peringkat asas berbanding belajar tentang negerinya sendiri. Sementara sejarah Tanah Melayu itu berkait rapat antara satu negeri ke satu negeri, sejarah Sabah dan Sarawak kurang mempunyai kaitan itu dan memerlukan suatu analisis khusus terhadap kedua-dua konteks sejarah negeri ini. Maka, sejarah negara kita perlu ada tiga komponen lingkup ruang untuk difokuskan yakni Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Keempat, prasangka antara satu sama lain yang boleh diselesaikan dengan pendidikan dan pembelajaran berterusan antara satu sama lain. Begitu juga dengan pembinaan minda yang progresif, kritikal dan sedar. Kita boleh memuji percubaan Hishamuddin Rais untuk memanfaatkan teori bagi memahami minda politik masyarakat, walaupun teorinya agak ‘berbahaya’ dan boleh menambah prasangka tanpa ada kefahaman sebenar tentang struktur, mekanisme dan sistem politik, kerajaan dan pentadbiran. Masyarakat awam tidak disyaratkan untuk memahami kompleksiti yang saya sebutkan, tetapi cukuplah sekiranya wujudnya kesedaran untuk ragu terhadap sesebuah kenyataan dan menyimpan persoalan yang sesuai ditanyakan kelak kepada ahli ilmuan ataupun dengan carian kendiri dalam laman-laman yang berkredibiliti. Kita perlu sedar tentang prejudisme, bias pengesahan (confirmation bias) dan banyak lagi falasi logik yang boleh berlaku dalam proses pemikiran kita.

Kelima, memandangkan saya sudah terlalu banyak menyebutkan ketidaksesuaian teori yang teraplikasi dalam buku Hishamuddin Rais (khususnya untuk sirkulasi umum), maka saya juga harus berlaku adil dan menyeimbangkan perbincangan esei dengan mengemukakan pandangan saya sendiri. Untuk memahami isu persoalan nasional, cukuplah jika saya katakan bahawa pendekatan terbaik bagi menyelesaikannya adalah dengan membincangkan identiti Malaysia dan krisisnya. Trend biasa dalam wacana ini sekali lagi akan terikat kepada Melayu, Cina dan India sebagai kaum-kaum teras serta bagaimana untuk mengalakkan komunikasi antara satu kaum dengan kaum yang lain. Sebenarnya dalam peringkat masyarakat, semua dapat bergaul dengan baik dan terbuka rentas kaum. Jadi itu bukan soalan yang betul.

Soalan yang betul adalah, dalam isu manakah yang boleh kita bersatu hati? Krisis identiti Malaysia terlihat jelas apabila kita fokus pada reaksi sesuatu kaum dalam satu-satu isu dan melekatkannya pada kerangka binari serta reaksionari. Itu bukanlah suatu pendekatan yang baik apabila kita mahu menyelesaikan persoalan nasional. Persoalan nasional adalah persoalan kesatuan kita sebagai satu identiti negara dan diperpanjangkan latitud kesefahaman kita merentasi isu-isu masyarakat. Dalam sukan, kita melihat perkara ini. Dalam serangan ke atas Malaysia, kita turut melihat perkara ini. Namun dalam sesetengah hal pula, kita bertentangan antara satu sama lain. Pertentangan ini kebanyakannya lebih berasaskan ketakutan, kekeliruan, ketidakfahaman, prasangka dan mencabar status quo atau identiti masing-masing. Malaysia adalah negara pelbagai identiti, maka integrasi identiti inilah yang perlu disepakati. Kesatuan hati meladeni isu-isu itulah yang harus dibangkitkan; bukannya sekadar mencelup segalanya pada sikap, sifat berunsur spekulatif dan tersandar segalanya dengan natijah kaum serta pola fikir perkauman. Bendalir ideologi tidak tersekat pada kaum; ia tersekat pada paras dan takat pemikiran seseorang.

Hanya pada waktu pandemik inilah, ramai tersedar dari ilusi perkauman dan keagamaan serta mendongak ke atas kayangan. Karenah elit-elit ekonomi dan politik pelbagai bangsa berdansa, bertumbuk, bercumbu, berpeluk di sana. Baru tersedar semula tentang kelompok-kelompok kelas masyarakat yang ada di Malaysia. Realitinya, polisi ekonomi kita khususnya dalam pentakrifan miskin dengan pengenalan T20, M40, B40 juga sepatutnya awal kita petik sebagai perbezaan kelas masyarakat berbanding perkauman. Namun begitu, ramai leka dengan kerangka perkauman sehingga tidak perasan bahawa dasar dan polisi pentadbiran kerajaan sendiri sudah bergerak jauh daripada itu. Kita sudah melepasi 2020, ilusi wawasan ‘kereta terbang’. Isu perkauman adalah mainan politik era 70-an hingga 2000-an, dimana sesetengah ahli masyarakat juga terikut-ikut dengan gelanggang yang bukan setarafnya. Politik adalah politik, politik adalah arena tanpa moral. Politik adalah cara untuk mencapai kesepakatan, bukan penentu kehidupan seharian jelata. Terbukti sekali lagi, apabila UMNO dan PN berpisah sekalipun tetap juga yang sakit akan terus sakit, yang pergi akan tetap pergi, yang sihat tetap berjuang sehari lagi. Matahari tetap naik, lalu terbenam. Kita tetap kena pakai pelitup muka. Kita tetap menunggu vaksin. Kita tetap berdoa agar kita tidak terjangkit Covid-19. Hidup kita terus seperti biasa. Persoalan nasional tidak wajar dibataskan sempit pada perkauman itu sahaja, apatah lagi menterjemahkannya dalam ideologi dan identiti politik. Persoalan nasional adalah kemenjadian, kesatuan, kesepunyaan dan kebersamaan rentas kaum, agama demi kepentingan dan pembangunan negara yang inklusif.

Leave a Reply