WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Bila Waktu Mereka Belajar?

Bila Waktu Mereka Belajar?

Oleh: Azwan Irwan

Seminggu sudah berlalu, anak-anak Sekolah Alternatif Tawau terpaksa bercuti demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua orang.

Setiap hari akan ada sahaja yang bertanya bila mereka akan bersekolah semula, tidak kira murid mahupun ibu bapa mereka. Bagi pandangan aku, anak-anak mahupun ibu bapa mereka ni sebenarnya punya kerisauan yang sangat jelas dari sudut pembelajaran apabila di luar waktu persekolahan. Aku boleh sahaja ingatkan mereka setiap hari untuk belajar di rumah dan itulah yang aku ungkapkan sebelum habis waktu persekolahan.

“Anak-anak cikgu, balik rumah nanti jangan lupa belajar ya”

“Okay, cikgu!” Jerit semua anak-anak muridku.

Dan ini adalah situasi yang sedang berlaku sekarang. Sebagai seorang cikgu mahupun ibu bapa anak anak ini, sememangnya mengharapkan agar mereka tetap belajar ketika berada di rumah. Tetapi, pernahkah kita berfikir bahawa kehidupan anak-anak ini sebenarnya tidak sama dengan kehidupan kita mahupun dengan anak-anak yang beruntung di luar sana?

Sepanjang aku menjadi cikgu untuk mereka dan tinggal bersama-sama dalam komuniti mereka, kehidupan mereka selepas waktu persekolahan tidaklah seindah yang kita mungkin bayangkan. Ada di antara anak-anak muridku yang bergegas pulang untuk pergi sambung bekerja, ada yang pulang dari sekolah terpaksa memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-adik mereka disebabkan orang tua mereka sedang bekerja, ada yang pulang dari sekolah terus pergi ke kebun membantu orang tua mereka, ada yang pulang dari sekolah terus mencuci pakaian-pakaian mereka, ada yang terus pergi ke laut untuk mencari lauk santapan keluarga mereka dan banyak lagi hal yang tidak terbayangkan sebagai seorang anak anak kecil yang masih bersekolah. Sungguh perasaanku melihat kesungguhan anak-anak muridku meneruskan hidup mereka setiap hari sangat menyentuh hati dan memberi motivasi untuk diriku sendiri!

Bila waktu mereka belajar? Secara jujurnya anak-anak muridku kebanyakannya tiada ruang ataupun masa untuk mereka belajar ketika berada di rumah. Mereka penat memikirkan dan menjalankan tanggungjawab mereka setiap hari dalam kehidupan yang tidak menyebelahi mereka sebagai seorang anak-anak yang masih kecil.

Di tambah lagi dengan PKPDB yang sedang dijalankan sekarang, sudah pasti punca pendapatan dan bekalan makanan keluarga mereka sangat terjejas. Persoalan besar yang sangat jelas dalam kehidupan keluarga anak-anak muridku adalah persoalan tentang ekonomi, itu sahaja. Mereka tiada pilihan lain selalin memikirkan benda yang sangat penting dalam kehidupan mereka.

Marilah kita bersama sama berdoa agar keadaan yang melanda bumi kita ini segera pulih dan kembali seperti sedia kala. Semoga juga nasib anak-anak seperti mereka yang ratusan ribu di luar sana mendapat perhatian dan kasih sayang dari semua orang dan juga diberikan hak pendidikan yang sepatutnya!

Pendidikan Untuk Semua

#SekolahAlternatif
#BorneoKomrad

Leave a Reply

Close Menu