BERSAKSI ATAS NAMA AKU!

January 21, 2021 0 Comments

OLEH: IZZAT DAHELAN

Gelap malam menganggu kejelasan dan awas mataku. Langkahku telah membuat kesilapan. Kesilapan yang memberi penyesalan terhadap kehidupan yang panjang.

Tubuhku terbuang ke dalam sebuah lohong hitam yang dalam. Dalam. Sangat dalam. Jika aku dapat melihat pertukaran siang dan malam, tempoh mencapai penghujung lohong hitam itu sekurangnya mengambil masa sepuluh hari sembilan malam.

Mungkin. Aku sendiri tidak pasti.

***

Aku tersedar.

Tersedar daripada lelap yang aku sendiri tidak tahu bilakah lenanya. Tubuh yang sudah sedia ada longlai terdampar di tanah yang busuk. Busuk seperti bau bangkai haiwan.

Sekeliling gelap dan pohon-pohon yang mengerikan seakan hidup dan memerhatikan aku. ‘Mereka’ seolah-olah sedang mengutuk keberadaanku di sana. Mata-mata bersinar dek kerana sinar yang mungkin rembulan di langit sedang menatap geram ke arahku. Geram seperti di lubuk hati pemilik mata itu adanya berjuta-juta biji benih dendam yang telah tumbuh menjadi perasaan tak terungkapkan.

Perlahan aku bangkitkan tubuh yang longlai. Aku usap wajah yang telah dibelasah tangisan kekecewaan. Mata yang telah terseksa dengan kepedihan asin air mata aku gosok perlahan. Pedih. Kepedihan itu tidak sepedih hati yang sedang direjam para pembasmi kemanusiaan. Tubuhku sudah hampir menjadi jenazah yang mati. Hanya menanti waktu untuk diadili oleh Tuhan.

Tuhan? Bukan Tuhan itu.

Tapi Tuhan yang diceritakan kepadaku sewaktu kecil bahawa Dialah penulis perjalanan cerita kehidupanku ini.

Aku berjalan terhuyung-hayang menuju arah sesat. Aku tidak tahu tubuhku ini akan dihantar kemana. Penunjuk arahku adalah rasa. Sepasang kaki milikku menjadi awak-awak kapal yang menggerakkan tubuh ke destinasi keinginan si Nahkoda Rasa.

Di dalam kegelapan ini, aku pasti.

Aku mati.

Bila?

Tidak lama lagi.

Aku akan baring di liang kuburku yang entah dimana letaknya.

Bila mereka mencari aku, aku tidak lagi ada di manapun yang mereka harap aku berada.

***

Sepanjang perjalanan tanpa arah menuju depan, aku dimaki dan dinista oleh hidupan hutan ganjil itu. Segala keburukan aku lakukan yang bertentangan dengan kalam Tuhan disebut ulang. Telingaku terasa pedih. Darah mengalir dari telingaku. Bau darah yang mengalir keluar sangat busuk.

Aku berserah. Langkah masih aku teruskan.

Pohon-pohon di hutan itu membenarkan telahanku sebelum ini. ‘Mereka’ sedang berbicara lembut seperti bersiulan bersama angin.

Berbicara tentang aku.

Segala ketertinggian dan darjat kehidupan yang telah aku raih selama menjadi manusia disebutkan.

Diulang, diulang, diulang, diulang dan diulang.

Pada awalnya, semuanya menyenangkan, lama-kelamaan segala ketertinggian yang disebut satu-persatu oleh pohon-pohon itu membuat aku jengkel!

Kepalaku semakin membesar. Hendaknya tidak pecah. Kerana langkahku masih degil untuk bergerak menuju depan yang tidak pasti.

Kata nista, makian, pujian dan penobatan dari pohon-pohon dan haiwan-haiwan hutan ganjil itu semakin menghilang. Hilang. Hilang dengan perlahan. Dan hilang dengan meninggalkan persoalan yang ganjil.

Kedua telingaku berhenti mengalirkan darah yang busuk. Kepalaku berhenti mengembang dan kembali kepada muasalnya.

Aku mendongak mencari Tuhan. Apa yang aku lihat hanyalah langit serupa cermin. Aku sedang menatap diriku sendiri yang sedang parah dengan segala kepedihan. Jasad yang pernah terlihat agung suatu ketika dahulu kini seperti pengemis yang dibelasah para ‘anjing’ pemerintah.

Mengapa ketika aku mencari Tuhan, aku hanya bertemu dengan diriku sendiri? Atau adakah aku ini Tuhan?

Atau aku yang menciptakan Tuhan?

Aku bingung. Ganjil. Aku benci perasaan ini.

Alangkah baiknya jika aku mati di dalam rahim ibuku, ataupun pada saat aku dilahirkan.

Mengapa ibu memangku diriku?

Mengapa dia menyusuiku?

Andai saja aku tidak dilahirkan ke dunia ini, mungkin lebih baik. Aku tidak perlu menanggung sengsara dunia sebegini.

***

Firasatku mengatakan bahawa langkah ini sudah sampai destinasinya. Tidak mutlak, tetapi mungkin sudah sampai setara kudratku.

Setelah kuputuskan membuat sembilan langkah menuju depan yang tidak pasti. Aku dikuasai perasaan ganjil yang tidak dapat aku jelaskan. Perasaan ganjil di hutan yang serba ganjil.

Mengapa Tuhan menciptakan hutan seperti ini? Jika aku Tuhan, mengapa aku tidak tahu bahawa aku pernah menciptakan hutan ini? Adakah aku Tuhan itu? Atau aku sekadar permainan Tuhan?

Di sekelilingku terdapat kantung-kantung bewarna putih yang besar berupa kepompong. Aku dekati sebuah kepompong gergasi itu lalu tanpa berfikir menyentuh luaran bewarna putih kepompong itu. Pecah!

Berterabur segala anggota badan dan organ-organ manusia.

Jantungku berdegup dengan sangat kencang sekali. Aku dapat merasakan jantungku seperti mahu melepaskan diri dari kurungan jasadku yang kian uzur.

Tanpa bertanya kepada rasa, kaki berlari lebih sesat berbanding sebelumnya. Jika tadi perjalanan diatur oleh si Nahkoda Rasa, kini nahkodanya telah mati dalam kejutan hakikat. Sepasang kaki yang pada awalnya duduk di jawat awak-awak kapal, kini mengatur arah dengan penuh kebingungan.

Kiri, kanan, depan, belakang, undur, maju dan semakin bingung. Aku tidak dapat mengawal jasadku sendiri. Adakah ini bukti aku bukan Tuhan?

Jika begitu, dimanakah Tuhan ketika aku mencari?

Ketika seseorang tersadung, aku akan mengucapkan kata-kata yang membuatnya bangkit. Aku menghulurkan tangan agar dia kembali berdiri. Namun, apabila giliranku merasa susah. Aku takut menghadapinya. Aku tidak mampu untuk berdiri. Dimana Tuhan yang pernah menjanjikan imbal balik setelah aku, manusia, membuat kebaikan?

Aku melanggar sebuah tembok dihadapanku. Kepalaku berdarah. Aku mendongak mencari hujung atas tembok itu. Tetapi tidak kelihatan, sepertinya ini adalah penghujung dunia.

Aku duduk menyandarkan diri di tembok itu.

Seorang manusia tua berjalan ke arahku sambil terkekeh-kekeh. Mungkin si Tua itu mentertawakan keadaanku.

Aku yang bingung, takut, sedih, kecewa dan dirundung pelbagai rasa hanya mampu menatap. Jika itu Tuhan, selamatkan aku. Jika itu utusan pencabut nyawaku, cepat. Aku tidak mampu menanggung seksaan ini.

Segala yang aku khuatirkan dan takutkan telah berlaku. Aku tidak beroleh kesejahteraan atau ketenteraman, dan kesusahanku tidak sudah-sudah.

Semakin dekat, semakin perlahan dan awas langkah si Tua itu.

“Kau adalah Dia. Dia adalah ciptaan-Nya. Kau jadikan Dia pencipta. Kau menyembah berhala fikiran.”

Dahiku berkerut. Bingung mendengar bicara si Tua.

“Hidup bukan serupa neraka. Hidup itulah neraka. Syurga itu tawaran buat yang lemah. Dunia fana’ adalah tawaran buat yang kuat,” sambung si Tua sambil mengusap kepala tongkat daripada akar kayu itu dengan tangannya.

“Apa yang engkau cuba sampaikan kepada aku?”

“Nikmati hidupmu.”

“Engkau mahu aku menikmati hidupku? Keldai akan puas dengan memakan rumput. Lembu pun diam bila ia memakan rumput kering. Tetapi aku manusia dan bukannya binatang! Bagaimana aku dapat memakan makanan yang tawar, tidak bergaram? Aku tidak akan dapat nikmati kehidupan ini!” balasku penuh rasa geram? Ganjil? Bingung? Marah? Sedih?

Aku sendiri tidak tahu.

Si Tua menatapku kosong. Dia tidak menjawab persoalanku. Hanya menyambung bicaranya yang tidak aku ketahui apakah intinya.

“Mereka telah ‘mati’ sebelum mati. Mereka mati kerana tidak ada harapan. Seperti pengembara di tepi anak sungai yang kering. Meratapi silam, melupakan hari depan. Cinta yang dikejar telah menjadi racun yang membawa diri ke ranah kehancuran. Ketertinggian hidup telah menenggelamkan bahtera kehidupan. Jasad hanya tinggal jasad. Kehidupan tanpa harapan berlalu lebih cepat berbanding pintalan tukang tenun.”

Aku semakin bingung.

“Segala sesuatu itu engkau. Manusia yang hidup dalam penyesalah adalah manusia yang hidup dalam kepompong yang mati. Akan terus mati sehingga waktu mati yang sebenarnya tiba. Itu semua bukanlah salah Tuhan. Tuhan yang mereka sembah juga tidak tahu akan hal itu kerana mereka tidak memberikan pengetahuan itu kepada Tuhan mereka. Engkau masih hidup di luar kepompong yang mati itu. Pilihlah, antara sujud menyembah atau berdiri menghadapi hidup bumi.”

Selesai bicaranya, si Tua hilang.

Aku berdiri lalu mendongak ke arah langit. Bukan cermin yang sedang aku tatap. Tetapi namaku yang terlakar di dada langit kelam.

“TUHAN.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *