WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Berakhirnya Sejarah (Siri 2)
sci-fi scene of the meteorites explodes in the sky above the city, digital art style, illustration painting

Berakhirnya Sejarah (Siri 2)

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Dalam siri kedua ini kita masih membincangkan perihal kitab The End of History and The Last Man karangan Francis Fukuyama. Beliau membawakan hujah-hujah untuk menyokong dakwaannya bahawa sistem demokrasi liberal adalah sistem yang telah sempurna bagi pemikiran falsafah politik manusia.

Di abad baru, pada pandangan Fukuyama, authoritarian dan perancangan ekonomi berpusat ala-sosialis telah gagal meninggalkan hanya satu pandangan yang masih teguh berdiri iaitu demokrasi liberal, iaitu doktrin kebebasan individu dan pemerintahan berorientasikan pandangan popular rakyat. Liberalism dan demokrasi merupakan dua konsep yang berbeza. Politik liberal boleh didefinisikan sebagai corak pemerintahan berdasarkan undang-undang yang menghormati kebebasan hak individu dari penguasaan kerajaan. Namun dalam definisi ini sekali pun, Fukuyama menghadapi kesukaran untuk mentafsirkan ‘hak individu’, oleh itu beliau mengambil definisi Lord Bryce yang hanya mengiktiraf ‘hak individu’ dalam beberapa perkara iaitu hak individu dan pemilikan harta, hak beragama, hak berpolitik, dan juga kebebasan media. Di sini mungkin kita melihat sedikit tidak kosisten, Fukuyama menolak hak-hak lain seperti hak-hak berekonomi seperti hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan, hak untuk mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan.

Manakala demokrasi ditafsirkan sebagai hak setiap rakyat untuk mengundi dan mengambil bahagian dalam politik. Dalam definisi ini juga dilihat bermasalah, kerana definisi yang diambil oleh Fukuyama terlalu umum dan tidak mengambarkan situasi praktikal sebenar. Fukuyama melakukan hal ini agar perbahasannya dapat diterima akal oleh itu beliau mengabaikan aspek bagaimana demokrasi boleh dimanipulasikan.

Sejarah universal kemanusiaan bukanlah sejarah penciptaan alam, atau himpunan semua ilmu perihal kemanusiaan, tetapi ia adalah cubaan untuk mencari corak keseluruhan perkembangan manusia yang bermakna. Penulis Yunani Kuno seperti Plato dan Aristotle tidak memberikan demokrasi tempat yang istimewa dalam sejarah, malah mereka berpendapat demokrasi membawa kepada tirani. Beliau memulakan penjejakan terhadap pemahaman sejarah universal ini dari Immanuel Kant, walaupun sejarah penuh dengan peperangan dan kekejaman, Kant berfikir sama ada penguasaan intelek manusia mempunyai perkembangan yang bermakna, contohnya penguasaan matematik yang bersifat kumulatif, tiada seorang manusia yang mampu mencipta semua teori matematik, sebaliknya ia berkembang dari generasi ke generasi. Perkembangan sejarah juga mempunyai penamat, iaitu tujuan, iaitu kebebasan manusia melalui perlembagaan sivil. Persoalan Sejarah Universal oleh itu, cuba untuk menjawab adakah perkembangan sejarah membawa kepada kerajaan republik yang difahami hari ini sebagai demokrasi liberal.

Pemikiran Kant ini kemudian disambung oleh Hegel yang menyatakan bahawa kesedaran kita sering bergantung kepada keadaan semasa kita. Sistem-sistem nilai kita bergantung kepada keadaan semasa. Boleh jadi apa yang dirasakan baik oleh masyarakat terdahulu, tidak lagi dianggap baik oleh masyarakat kini, ia merupakan satu ‘kebaikan yang silap’ setelah disingkap sejarah. Dalam sudut ini, Hegel berbeza dengan pandangan ahli falsafah lain dimana beliau merasakan bahawa ‘sifat semulajadi’ manusia itu berubah malah dicorak oleh mereka sendiri, dalam kata lain, sifat semulajadi manusia adalah untuk menjadi yang tidak sama dengan apa yang ada dahulu. Bagi Hegel sejarah adalah perubahan manusia kepada status kebebasan dan rasional yang lebih tinggi. Proses sejarah adalah bersifat dialektikal, yang mana sistem politik dan sosial sebelum ini mempunyai “konflik dalaman” yang menyebabkan ia runtuh dan diganti oleh sistem baru yang lebih sempurna, masyarakat liberal dianggap telah mencapai tahap tertinggi dan menutup perbahasan dialektik ini.

Dalam menjawab persoalan adakah sejarah mempunyai tujuan perjalanan, iaitu sejarah beredar dalam satu gerakan yang sama ke satu titik akhir, Fukuyama membawakan mekanisma yang menggerakkan sejarah kepada satu arah, arah yang rasional. Mekanisma ini adalah metodologi sains yang membawa kepada kelahiran ilmu sains moden. Sains moden terbina secara kumulatif, seorang pelajar fizik hari ini mungkin mengetahui teori fizik yang lebih maju dari Isaac Newton, disebabkan dia lahir pada zaman yang terkemudian. Selepas lahirnya sains moden, ia tidak dapat diterbalikkan, manusia tidak boleh berpatah balik dari progress sains, tiada ahli politik yang dapat memansuhkan mana-mana teori sains. Oleh itu kemajuan sains moden merupakan mekanisma yang dapat menerangkan pergerakan sejarah dalam satu arah, kepada satu titik akhir.

Kemajuan sains moden telah melahirkan sistem hidup baru, kehidupan konsumerisma juga letupan perkembangan ekonomi yang memberikan impak negatif pada alam sekitar. Kemajuan ini tidak semestinya membuatkan manusia gembira, ia menjadikan manusia mengejar produk-produk dalam siri kitaran tanpa henti, apabila produk baharu dapat dibeli, ada produk baharu lain yang dicipta, menjadikan manusia mengejar dan terus mengejar tanpa puas. Dalam menekuni masalah ini, Fukuyama membawakan pemikiran Rousseau bahawa untuk gembira manusia perlu keluar dari kitaran kemahuan ini dan hidup bersama alam sebagai sebahagian dari alam. Namun, bagi Fukuyama walaupun kritikan Rousseau ini begitu mendalam menusuk kemajuan sains moden, ia mungkin akan mewujudkan gerakan untuk menyelamatkan alam sekitar, tetapi ia tidak akan membawa masyarakat keseluruhannya kembali kepada kemajuan pre-industri.

Untuk mendalami lagi mekanisma yang menyokong perkerakan sejarah kepada satu titik akhir yang dipanggil sebagai sistem demokrasi liberal, kita akan sambung pada siri ulasan berikutnya.

Leave a Reply

Close Menu