WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Berakhirnya Sejarah (Siri 1)

Berakhirnya Sejarah (Siri 1)

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Kitab The End of History and The Last Man karangan Francis Fukuyama ini telah lama saya tekuni tapi belum habis-habis, kini saya sudah melepasi 1 per 3 dari keseluruhan buku ini. Disebabkan banyak isi yang dibincangkan menarik untuk dikongsikan, saya cuba menulis dan mengulas isi-isi yang menarik dalam beberapa siri. Buku yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1992 ini bagi saya merupakan teks klasik moden dalam lingkungan pemikiran dan falsafah politik. Thesis utama dalam buku ini adalah sistem demokrasi liberal merupakan sistem akhir dalam sejarah evolusi pemikiran falsafah politik, tidak ada sistem baharu yang boleh menggantikannya, dalam erti kata lain ia adalah sistem yang telah sempurna.

Beliau memulakan perbahasannya dengan membicarakan kecurigaan manusia terhadap perkembangan sejarah. Abad ke-20 dipenuhi peperangan dan kekejaman yang tidak pernah dilihat dalam sejarah manusia seperti yang dilakukan oleh Hitler dan Stalin. Kekejaman ini hanya boleh dicapai menggunakan persenjataan moden hasil usaha sains dan teknologi. Ia membuatkan ramai pemikir curiga dan pesimis bahawa perkembangan sejarah akan melahirkan sesuatu yang bermakna. Ketika kemuncak keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Fasis Nazi, masyarakat German merupakan masyarakat yang paling terkedepan dalam bidang pendidikan, budaya, dan sains. Fukuyama menekankan bahawa kemajuan sains dan teknologi hanya akan menyumbang kepada kebaikan manusia sekiranya ia diiringi oleh kemajuan moral dan etika manusia.

Sementara Fasis German menyaksikan kekejaman spektrum kanan politik, spektrum kiri politik yang ekstrem menyaksikan kekejaman rejim totalitarian komunis. Perbezaan antara authoritarian dan totalitarian bagi Fukuyama adalah kebolehan mengawal organ-organ masyarakat, sehingga rejim totalitarian menjadi ‘immune’ kepada perubahan dan reformasi. Sebagai contoh, bentuk kerajaan despotik lain cuba mengawal gerakan sivil, tetapi kerajaan authoritarian menghancurkan terus gerakan sivil, untuk mengawal masyarakat secara total. Institusi seperti keluarga, agama, persatuan, semuanya dihapuskan dalam usaha untuk menjadikan setiap individu sebagai ‘atom’ yang hanya bergantung pada kerajaan. Sehingga kepercayaan, sistem nilai, semuanya dikawal kerajaan melalui media dan organ propaganda yang sistematik.

Oleh sebab itu sebahagian pemikir melihat demokrasi sebagai lemah, sukar mengawal manusia kerana dalam demokrasi kelemahan kecil akan diperdebatkan, akan sentiasa ada suara yang mengkritik, menaikkan rasa tidak puas hati masyarakat, dan menimbulkan rasa tidak percaya kepada pemerintah. Sementara rejim totalitarian dapat mengawal semua organ masyarakat sehingga bencana besar seperti kebuluran juga tidak dapat menggugat kuasa pemerintah kerana rakyat kebanyakan tidak diberi ruang untuk protes.

Demokrasi liberal secara definisinya merupakan kerajaan yang lemah, mengangkat kebebasan individu bermaksud kerajaan perlu menghadkan kuasanya. Hal ini berbeza dengan corak diktator seperti authoritarian dan totalitarian yang boleh memaksa populasi kearah matlamat-matlamat yang ingin dicapai, sama ada pembinaan ketenteraan, pembahagian sumber, atau pemesatan ekonomi. Namun ada masalah pada corak yang dianggap kuat ini. Kelemahan pertama adalah masalah pada paras idea, iaitu legitimasi. Legitimasi merupakan satu persepsi minda populasi, ia tidak wujud dalam ruang realiti fizikal. Setiap kerajaan perlukan legitimasi, tiada corak pemerintahan yang mampu bertahan hanya dengan ‘kuasa paksaan’ semata-mata. Hitler sebagai contoh, boleh mengerah dan memaksa rakyatnya, namun dia tak mungkin berjaya jika mereka yang berada dalam lingkungan pemerintahannya, pegawai-pegawai atasan kanannya, mempercayai bahawa beliau mempunyai legitimasi.

Dalam sistem demokrasi liberal, pemerintah mendapat mandat dan kepercayaan rakyat, kelemahan kecil biasanya akan dilupakan selepas dikritik, kelemahan besar mungkin dapat diatasi dengan menukar presiden atau perdana menteri. Tetapi dalam corak pemerintahan diktator, yang tidak mempunyai cara untuk mengubah kepimpinan, kelemahan ini akan diikuti dengan kejatuhan rejim tersebut.

Kelemahan kedua adalah kebejatan ekonomi. Corak pemerintahan diktator mungkin boleh memesatkan ekonomi sehingga ke satu paras, ekonomi berasaskan keluli, perkilangan, dan industri berat misalnya boleh dicapai tanpa memberi banyak kebebasan pada populasi. Namun untuk ekonomi dan teknologi yang kompleks, kawalan ketat pemikiran dan pelan ekonomi berpusat, tidak dapat berdaya saing secara lestari. Pengalaman Soviet dan China sebelum Deng Xiaoping, menyaksikan bahawa kemelesetan ekonomi tidak dapat ditutup dengan organ propaganda selama-lamanya. Walaupun totalitarian cuba mengawal pemikiran, namun rakyat Soviet mampu berfikir dan mengetahui mereka ditipu, akhirnya Soviet runtuh dan Deng Xiaoping membuka ekonomi China kepada pasaran antarabangsa.

Walaupun tulisan dan pandangan Fukuyama ini kedengaran sangat ideologikal, beliau kerap menghentam fahaman komunis dan sosialis, dan ada sebahagian rakan-rakan yang mengatakan thesis beliau tidak lagi di pandang berat di fakulti-fakulti universiti hari ini, namun banyak perbahasan beliau sangat menarik untuk difikirkan, jadi jika berpeluang akan kita perbincangkan lagi di siri akan datang, dan terpulang pada pembaca untuk menerima atau menolaknya.

Leave a Reply

Close Menu