Beg itu Masalah Kamu Sekarang

Beg itu Masalah Kamu Sekarang

  • Post category:CERPEN

Oleh: Aakmal Yusop

Daud sedang menunggu di pondok bas. Bas yang terakhir sudah berlalu dua jam lalu.  Dia menggigil, menoleh ke kiri, kemudian ke kanan. Dia melihat telefon pintarnya. “Ish, mana orangnya ini?” Dia masih menggalas beg galasnya, walaupun klip pengikatnya tidak dipasang. “Kenapalah aku lupa jaketku?”

Dia masih memandang ke hadapan apabila dia dapat merasakan besi menguis lehernya. “Henpon kau.”

Daud menepis besi itu ke tepi. “Jangan kacau.”

“Hoi, henpon kau atau aku tabak.”

Daud mengeluh. “Kalau kau boleh, mari.”

Daud dapat merasakan tangan ditarik ke belakang untuk mengayun. Dia melepaskan beg galasnya, menghempas beg itu ke arah badan perompak itu, dan merebahkan badan perompak itu. Daud menumbuk penyerang itu sepuluh kali di kepala. Giginya patah tiga batang, mukanya lunyai dengan darah, dan perompak itu tercungap-cungap. Dia mula teresak-esak.

Daud melihat ke arah kirinya. Dia berdiri. Dia menginjak perut perompak itu, lalu meludah ke mukanya. “Nah, ini beg masalah kau sudah.” Daud memecut selaju-lajunya.

Perompak itu duduk. Dia mula menangis, memeluk beg yang ditinggalkan kepadanya. Seorang wanita datang ke arahnya. “Daud, kamu OK kah?”

Perompak itu melihat ke arah perempuan itu? Macam mana dia tahu namanya? “Tidak, boleh hantar saya ke hospital?”

“Boleh.” Perempuan itu mengeluarkan taser dan menekannya pada badan perompak. Perompak itu terkena renjatan dan dia pengsan.

Perompak itu bangun beberapa jam kemudian. Dia cuba mengangkat tangannya ke dahi, namun ia ditahan oleh tali kulit. Dia cuba mengangkat kakinya, dan ia juga sama. Perompak itu panik dan mula berteriak. “Lepaskan, lepaskan!”

Perempuan tadi masuk ke dalam. Dia membawa beg galas tadi. Pakaiannya masih sama, tapi sekarang dia mengenakan baju makmal yang di butang rapi serta stetoskop di lehernya.

“Selamat pagi, Rawatan Daud 215. Apakah perasaan anda sekarang?”

Perompak itu menarik-narik seluruh badannya, berusaha untuk melepaskan diri dari katil empuk yang menjeratnya. “Aku bukan Daud yang ada nombor!  Aku Daud bin Ilyas dari Petagas! Kamu salah orang ini!”

“Kamu Daud dari Petagas? Bagus, kamu sudah boleh mencipta fantasi berkenaan diri sendiri.” Perempuan itu keluar dan masuk semula dengan mesin-mesin yang ganjil. “Kami berminat untuk lebih tahu berkenaan siapa Daud dari Petagas ini. Sila tunggu sebentar, kami pasangkan dahulu mesin pengimbas otak.”

Daud dari Petagas menceritakan semua yang dia tahu tentang dirinya. Dia tiada dokumen, dia hanya sempat bersekolah hingga Tahun 3 sebelum dibuang. Dia cuba mencari kerja tapi dia mesti mempunyai IC untuk bekerja. Ketiadaan kerja yang memerlukan IC memaksanya merompak, dan sekarang dia tersangkut di tempat orang gila bermain doktor.

Perempuan itu mengusap-usap kepala Daud, membuatkan Daud menangis ketakutan. “Lepaskan saya, saya bukan Daud yang kamu mau.”

Doktor itu mengeluarkan suatu benda segi empat dari beg galas tadi. “Kami perlukan subjek baru, dan dari kalangan manusia. Malangnya kami tidak boleh mengambil mereka yang mempunyai kad pengenalan diri. Jika tidak, projek kami akan… digendalakan selamanya.” Doktor perempuan itu meletakkan objek segi empat itu di dada Daud, dan ia mula menggali ke dalam Daud. Daud mengerang ketakutan walaupun ia tidak sakit.

Perempuan itu senyum manis. “Mungkin kamulah Daud yang kami perlu. Stuart, inject 20 cc of ketamine.

Beberapa hari kemudian adalah di antara bangun dan mimpi. Daud dibedah dan diselongkar, dia dipaksa berjalan, mengangkat tangan, toleh kiri, toleh kanan. Dia cuba berteriak, dia cuba menangis, dia cuba meraung. Adakah suaranya keluar? Adakah suaranya didengari? Adakah suaranya diendahkan?

Dia tidak meraung lagi. Sudah berapa minggu dia tidak meraung? Tiga, empat, lima, enam? Dia melihat ke kiri dan kanan. Sekumpulan doktor melihat ke arahnya. Dia mendapati dirinya ditutup oleh kain lut cahaya.

Ladies and gentlemen, I present before you the culmination of our efforts. Behold, the new line of synths, Daud Series 3.0!” Doktor perempuan itu menarik kainnya dan Daud 3.0 diraikan dengan tepukan tangan gemuruh. Dia melihat ke badannya. Dada dan perutnya terbuka seperti hud almari, dan pelbagai skru dan nat menghiasi isi badannya. Matanya mempamerkan data aktiviti dalaman badannya.

Daud tidak dipedulikan untuk sementara waktu apabila para hadirin meraikan doktor perempuan itu. “Congratulation Melissa, your work is excellent!”, “You will be the harbinger of modern synth technology!”, “Ma’am, I am proud to be your assistant.” “We will continue our funding for this project for the centuries to come.”

Doktor Melissa menerima kesemua penghargaan itu dengan merendah diri. Setelah para pelabur dan saintis lain beredar untuk jamuan, Doktor Melissa menutup hud dada dan perut Daud.

Subject Daud 3456, you are to return to storage chamber for deactivation. We will continue our work tomorrow.”

“Yes, Doctor, proceeding.”

Daud 3456 berjalan dengan ringan seperti manusia. Dia masuk ke dalam pod yang dikhaskan untuknya. Dia berehat di dalam pod itu, dan menekan suis yang menutup pod itu.  

Leave a Reply