Bahan Kimia Semula jadi untuk Kegembiraan

Bahan Kimia Semula jadi untuk Kegembiraan

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Fatimah Salim

Tahukah anda tubuh badan manusia mempunyai pelbagai bahan kimia semula jadi yang memiliki fungsi dan tugas masing-masing. Kesemua bahan kimia ini harus berada dalam kuantiti yang seimbang agar tidak menimbulkan kesan buruk pada tubuh.

Demikian juga dengan perubahan perasaan dan emosi kita yang disebabkan oleh kehadiran kuantiti bahan kimia tertentu dalam bahagian otak kita. Disebabkan kegembiraan ialah tujuan utama setiap manusia, maka mari kita ambil tahu serba sedikit mengenai bahan kimia utama yang bertanggungjawab terhadap perasaan gembira ini.

Bahan kimia utama yang mempengaruhi kegembiraan ialah endorphin, dopamine, serotonin dan oxytocin. Menariknya, kita boleh mengawal kuantiti bahan kimia ini di dalam otak dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengubah sikap yang mana boleh membuatkan kita rasa lebih gembira, seterusnya memotivasikan diri agar menjadi manusia yang hebat!

Endorphin merupakan bahan kimia yang bertanggungjawab menghilangkan/menghalang sensitiviti terhadap rasa sakit secara semula jadi dalam badan (no pain). Antara cara untuk meningkatkan penghasilan endorphin adalah 1) bersenam, 2) bersukan (contoh: hiking), 3) meditasi (solat khusyuk, berzikir, yoga, muhasabah diri), 4) mendengar muzik, 5) ketawa, 6) seks, dan lain-lain.

Dopamine ialah bahan kimia yang dihasilkan bilamana kita fokus berusaha mencapai sesuatu sasaran. Sebatian kimia ini yang dipertanggungjawabkan untuk membuatkan kita berasa bagus, senang hati, juga memotivasikan diri untuk bekerja keras untuk mencapai suatu cita-cita atau tujuan. Antara cara untuk meningkatkan penghasilan dopamine adalah, 1) bersenam, 2) membina kehidupan yang lebih terurus dengan menetapkan sasaran dalam setiap tindakan serta memeriksa perkembangannya, 3) memperbanyakkan aktiviti yang merangsang kreativiti yang mana membantu anda untuk fokus.

Serotonin pula ialah bahan kimia semula jadi yang mempengaruhi sebahagian besar fungsi psikologi tubuh. Ini termasuk kebahagian yang menentukan perasaan dalam hati, nafsu, makan dan tidur. Ianya dihasilkan bilamana kita menerima pujian, mencapai kepuasan, juga bilamana kita berasa penting dan dihargai. Antara cara untuk menggalakkan penghasilan sebatian ini ialah 1) bersenam, 2) memikir hal-hal yang membahagiakan, 3) buat apa yang kita suka.

Oxytocin juga dipanggil bahan kimia perhubungan yang dihasilkan melalui rasa kasih sayang, sentuhan dan kepercayaan kepada seseorang atau sesuatu. Cara untuk menggalakkan penghasilan oxytocin ialah dengan menunjukkan rasa sayang, menyentuh, memeluk dan segala aktiviti sosial yang keangkatan dengannya.

Kajian mendapati bahawa kebahagian mampu melindungi kita daripada penyakit termasuk penyakit kanser. Maka ubahlah cara berfikir ke arah lebih positif untuk menggalakkan perembesan bahan-bahan kimia gembira ini!

Leave a Reply