Bacon Dan 4 Berhala Minda

Bacon Dan 4 Berhala Minda

  • Post category:Ideologi

Oleh: Farahani R.

Francis Bacon, saya kenali dari diktum Latin ‘ipsa scientia potestas est’. Ertinya, ilmu itu adalah kuasa. Dengan ilmu, mana-mana manusia akan beroleh kuasa menurut akal budinya. Jika baik, bermanfaatlah ilmunya. Jika buruk, memudaratkanlah ilmunya. Selain daripada penyimpulannya terhadap sifat kuasa yang ada dalam ilmu, Francis Bacon terkenal dengan sumbangan patronage pada sejarah, sastera dan falsafah. Beliau turut dianggap sebagai bapa ilmu saintifik kerana mengedepankan asas kaedah saintifik dalam sesuatu kajian.

Beliau melihat dalam proses mental manusia, terdapat 4 berhala yang begitu gagah mempengaruhi pemikiran seseorang. Berhala-berhala tersebut dikenali sebagai ‘berhala puak’ (idols of the tribe), ‘berhala gua’ (idols of the cave), ‘berhala pasar’ (idols of marketplace) dan ‘berhala pentas’ (idols of the theater). Berhala-berhala ini sebenarnya secara figuratif melambangkan kecenderungan minda seseorang apabila dihadapkan dengan sesuatu isu.

Dalam ‘berhala puak’, pemikiran seseorang itu tidak dapat berganjak dari norma, adat dan kebiasaan, rutin dan tindakan sesebuah masyarakat yang dianggotainya. Bagi Bacon, hal-hal tersebut akan menyekat atau membataskan lingkungan fikiran yang boleh bercambah dalam akal manusia. Ini boleh kita kaitkan dengan kebebasan berfikir (free-thinking) yang tidak meletakkan apa-apa nilai sebagai sempadan fikiran.

Bagi saya pula, hal ini memerlukan orang yang berani berfikir dan berani bebas untuk berfikir. Berani berfikir itu dituntut, malah. Namun terkadang keberanian itu dibulatkan sebagai suatu yang patut ditakuti. Berfikir itu dihitamkan sebagai suatu yang haram, suatu kelemahan manusia hanya kerana ia tidak berupaya memikirkan tentang semua perkara sedalam dan seluasnya. Berani berfikir itu ialah sekecil-kecil perlawanan, sekurang-kurangnya terhadap dan kepada nilai yang dikekang oleh sesebuah masyarakat.

Kita boleh mengetengahkan alegori gua oleh Plato. Bayangkan, seorang kanak-kanak dirantai kaki, badan dan tangannya dalam sebuah gua dan ditinggalkan sendirian sehingga ia mencapai usia dewasa. Sepanjang dia dirantai, dia hanya mampu merenungi bayang-bayang dari api yang menyala di hadapannya. Sepanjang dia dirantai, dia hanya melihat dunia menerusi bayang-bayang ini lalu menyimpulkan bahawa dunia itu terdiri daripada lembaga hitam dengan pelbagai bentuk. Apabila dia sudah dewasa, dia dilepaskan ke luar. Alangkah terkejut, takut, terpinga dan tergamam apabila melihat hijaunya hutan, birunya langit, putih gebunya awan, coklat tebal-kasar-kurusnya dahan pokok.

Bagi Bacon, idols of the cave ini lebih kepada batasan akal yang diletakkan oleh diri sendiri disebabkan aliran ideologi politik, ekonomi dan sosial yang diyakini, pengalaman peribadi yang digemari atau dibenci serta sifat, ciri dan tabiat dirinya. Contohnya, seorang Islamis yang hanya melayan karya Jerry D. Gray, Syed Qutb, dan al Mawdudi akan memahami sesuatu isu mengikut lensa fikiran yang telahpun terbentuk hasil dari pembacaannya. Sebut saja Yahudi dan Barat, Israel dan Amerika – tersembul matanya, tertikam jiwanya, sengsara hatinya. Persamaan yang dimiliki oleh kedua-dua ‘gua’ ini adalah dengan Plato, bayang-bayang itulah dunianya manakala dengan Bacon, adalah perkara-perkara yang sudah sebati dengan pandangan dirinya.

Memecah idols of the cave dalam minda tidak semudah melawan doktrinisasi masyarakat. Ia memerlukan kesedaran kendiri agar dapat menerbitkan suatu aksi yang cukup gagah lalu mengubah pemikiran diri sendiri. Ia memerlukan sikap toleransi, keterbukaan dan pendedahan meluas terhadap dunia di luar kelazimannya. Ia memerlukan kesabaran, kepercayaan dan curiosity yang mendalam terhadap perkara yang awalnya asing daripada apa yang diketahuinya. Kerana itulah, kita mudah menjumpai warga berintelek yang masih terpenjara mindanya dan dalam kes yang lebih teruk, teguh menegakkan suatu pendirian tanpa segan mengkafirkan orang yang berbeza pandangan.

Berhala ketiga adalah berhala yang amat dekat dalam situasi kini iaitu idols of the marketplace. Untuk memahami idea ketiga ini, kita boleh merujuk pada pemikiran Wittgentstein mengenai asosiasi perkataan dengan realiti. Ringkasnya, maksud sesuatu perkataan itu diletakkan mengikut tujuan sesuatu perkataan itu digunakan. Misalnya, ‘negara’ boleh dimaksudkan sebagai ‘rumah’ atau home jika perkataan itu dihubungkan ertinya dengan sesuatu yang selesa, dekat dan disayangi. Menurut Bacon, biasanya berhala ketiga ini terjadi dalam diskusi politik sesama lain. Lebih mudah difahami jika saya menggunakan frasa moden yang lebih tepat: retorik pengucapan awam.

Dalam dunia perhubungan dan pengucapan awam, perkataan ialah suatu yang berbahaya. Ia boleh menimbulkan apa-apa reaksi yang dikehendaki oleh penutur tersebut. Marah, sedih, lapar, dahaga, gembira, takut… apa-apa sahaja boleh diluncurkan menggunakan struktur perkataan yang betul. Oleh sebab ini, retorik politik yang nyata contohnya dalam kempen dan ceramah politik, begitu ramai pengikut yang khayal mengiyakan penuh perasaan di depan seseorang tokoh politik yang sedang berucap. Karismatik hanya suatu faktor penarik, namun pilihan kata yang diucap dengan sempurna mampu membutirkan tindakan yang dimahukan oleh kelompok masyarakat yang tidak dapat melanggar tarian berhala ketiga di hadapan pentas dewan panas yang disewa oleh duit politik.

Berhala keempat, idols of theatre – bukannya patung props biasa, atau patung wayang kulit yang digerakkan dengan lemah-lembut. Berhala keempat ini hampir mirip dengan ukiran berhala pertama tadi, iaitu apabila wujudnya suatu klasifikasi atau set nilai yang dianggap ‘benar’ oleh masyarakat (termasuk anggotanya). Bacon berpandangan bahawa untuk melawan berhala keempat ini, kita harus mengosongkan apa yang kita tahu (atau apa yang kita rasa kita tahu). John Locke mewujudkan konsep tabula rasa yang bermaksud ‘papan kosong’, yang asalnya lahir daripada ketidaksetujuan Locke terhadap sifat minda yang lahir dengan sedikit pengetahuan sejak azali lagi. Locke berkata bahawa bayi tidak tahu apa-apa dan pengalamanlah yang mengisi asas pengetahuan manusia.

Dogma – itulah yang perlu dilawan oleh manusia demi mencapai pengetahuan sejati. Membuang dogma yang sudahpun meresapi tahap pengetahuan kita juga suatu cabaran. Oleh itu, peranan sastera adalah kaedah yang tuntas (sekurangnya-kurangnya bagi saya) untuk melawan dogma lalu mencapai tabula rasa. Surrealisme dalam karya seni membuktikan perlawanan berhala keempat ini boleh dimenangi. Beralaskan surrealisme juga, wujudlah fantasi-fantasi yang unik dan ditulis, memenuhi imaginasi terliar manusia. Filem dan kisah fiksyen mencabar realiti, manakala media sosial mencabar hiperrealiti.

Mampukah kita meruntuhkan keempat-empat berhala minda ini? Barangkali soalan yang lebih afdal untuk ditanyakan ialah: mana satu berhala minda ini yang masih bertapak dalam minda anda? Harus saya berikan tandanya apabila anda berjaya memecah kesemua berhala ini. Percayalah – anda tidak akan tahu apa yang anda dapat percaya dalam dunia ini. Jika akhirnya selepas menangkis keempat-empat berhala ini, anda masih percayakan sesuatu: mungkin itulah yang paling benar. Bagi saya, yang benar itu Tuhan. Mungkin cara Bacon ini cara menjadi skeptis yang paling berani untuk menggapai kenyataan yang betul-betul betul.

Leave a Reply