|Artikel| Bercanda dengan Rumi

|Artikel| Bercanda dengan Rumi

  • Post category:ARTIKEL

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Sama ada secara langsung atau tidak langsung, anda pasti pernah mendengar nama Rumi, atau nama panjangnya Jalaluddin Muhammad Rumi, seorang tokoh sufi keturunan parsi yang terkenal dengan kebijaksanaannya dan puisi-puisi indah yang penuh dengan hikmah. Beliau lahir di Balkh yang merupakan sebahagian dari Afghanistan hari ini, dan bersemadi di Konya, yang merupakan sebahagian dari Turki hari ini. Ketokohan beliau di dalam dunia Islam merentasi jalur dan perbatasan geografi, karyanya menyentuh dan menggerakkan budaya dari Iran sehinggalah ke Amerika Syarikat.

Karya Rumi dipopularkan di Amerika oleh Coleman Barks, seorang ahli puisi yang merupakan bekas ahli fakulti literatura dari Universiti Georgia. Barks sendiri tidak boleh berbahasa Parsi, tulisan beliau berkenaan dengan puisi Rumi adalah komposisi semula yang di hasilkan semula melalui penterjemahan oleh John Moyne dan Reynold A. Nicholson. Oleh itu tidak sedikit peminat Rumi tegar menganggap olahan Barks sebagai tidak original dari sudut makna, susunan, dan lenggok bahasa. Namun bagi saya yang juga tidak boleh bertutur dalam Bahasa Parsi, olahan Barks mempunyai sumbangannya tersendiri dalam me-Rumi-kan masyarakat. Bagi saya naskah The Essential Rumi beliau masih menggetarkan jiwa walaupun mungkin banyak maksud-maksud yang telah hilang semasa penterjemahan.

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk menceritakan biografi Rumi, kerana anda sendiri boleh membacanya di Wikipedia. Atau membahaskan kritikan terhadap karya olahan Barks. Tetapi saya ingin menyambung tafsiran puisi Rumi dari olahan Barks di dalam The Essential Rumi untuk mencipta ‘lapisan’ baru. Terjemahan di atas terjemahan dalam rantaian sejarah puisi yang panjang.

But don’t be satisfied with stories,
how things have gone with others.
Unfold your own myth,
without complicated explanation,
so everyone will understand the passage,
We have opened you.
–Rumi.

Kita sering hidup dalam angan-angan, kita membaca kisah-kisah manusia lain yang ‘berjaya’, mengagumi mereka, mengulang-ulang kisah, bahkan kita menghafal kisah-kisah mereka. Tetapi sekadar kenangan untuk motivasi itu tidak cukup – kita perlu masukkan diri kita dalam sejarah manusia yang panjang ini.

Kita perlu menyentuh mentari dengan jari sendiri untuk merasai kesejukan. Kita harus tidur di dalam ribut salji sendiri bagi mengetahui maksud kepanasan. Kisah-kisah itu tidak cukup, kita perlu mengorak langkah sendiri, melukis sendiri lukisan kisah hidup, merasa sakit, merasa kalah, merasa pedih, untuk memahami makna hidup, makna bahagia, dan makna berjaya.

Jika kita hanya termenung dengan kisah orang lain, sehingga lupa menulis kisah sendiri, kita menjadi seperti ayam dan lembu sahaja, sepanjang sejarah peradaban tidak pernah dikenang, sekadar hidup dan mati sahaja dalam sejarah yang panjang. Sepatutnya ada kisah yang kita tulis bagi mencubit jiwa-jiwa generasi mendatang, agar mereka mempunyai kisah-kisah baru, jika tidak mereka hanya mengulang hafal kisah yang sama yang kita hafal, keilmuan tidak berkembang, kemanusiaan tidak bertambah kemajuan budayanya.

Namun tika kita menulis itu tidak perlulah kita hebahkan pada manusia, cukup kejayaan kita menjadi penyampai berita. Mereka bertanya “mengapa usahamu begini tidak begitu?”, maka janganlah kau sibuk menjawab dan memberi penerangan, kelak kau lelah, sementara tulisan kisahmu tak sudah! Biar kisah itu siap dahulu, dan mereka tidak akan bertanya lagi selepas itu. Kerana soalan itu enggak lagi pantas, apabila engkau sudah berjaya diatas pentas!

This is not a day for asking questions,
not a day on any calendar.
This day is conscious of itself.
This day is a lover, bread, and gentleness,
more manifest than saying can say.
– Rumi

Ada satu perkara menarik pada ‘minda’ manusia. Ia sering bertanya soalan, berfikir, sehingga manusia itu penat dengan berfikir sahaja! Hari ini bukan lagi hari berfikir, kita harus tutup minda, berhenti berfikir. Hari ini kita perlu merasa hidup dan bertemu dengan jiwa. Tinggalkan minda dan soalan-soalannya yang tidak kunjung putus. Hiduplah dengan jiwa!

Hiduplah sekarang, jangan biar mindamu melayang tetapi hayatilah angin yang bertiup. Sedarkan jiwa dan nikmatilah makanan dengan sebenar-benar nikmat, setiap kunyahan, setiap rasa di lidah, setiap gumpalan yang melepasi kerongkong, jangan berfikir sekarang, sekarang masa makan.

Hari ini hari untuk kita mencintai, rasailah kebahagiaan mencintai manusia lain, baik yang besar mahupun kecil, yang kita gelar kawan, atau yang kita bisikkan sayang. Bercintalah tanpa berfikiran, kerana berfikiran akan membuatkan kau lelah lagi, hingga percintaan itu tidak dapat dinikmati. Jadikan mindamu seperti mesin, ia alat buat kau berfikir, namun setelah kau berfikir berkenaan dengan kerja atau pelajaran atau apa pun, tutuplah ia, tekan butang kuasa, biarkan ia rehat. Tidak perlu berfikir sepanjang masa, hanya ketika perlu sahaja.

Dengan ini, kau bisa nikmati bahagia.

Leave a Reply