Apabila Kebajikan Membunuh Keadilan

Apabila Kebajikan Membunuh Keadilan

  • Post category:Pendapat

Oleh: Nurhuda Manshoor

Maka bersidanglah para pembesar dan bangsawan, mencari rumus memaruahkan satu bangsa yang katanya pemalas dan tidak malu untuk menerima bantuan kebajikan. Mereka memberi bantuan, kemudiannya bantuan itu memberi mereka kuasa bercakap besar, seolahnya penerima layak diperlecehkan, direndah-rendahkan dan disindir-perli, tanpa diperinci kenapa perlu mereka dibantu.

Kenapa perlu kerajaan menyediakan bantuan kebajikan dan sara hidup, mendanai agensi kebajikan yang menyediakan makanan dan tempat berlindung, atau memberi pelepasan cukai kepada syarikat korporat yang melakukan CSR? Padahal boleh sahaja kerajaan menggubal undang-undang supaya semua orang mendapat keadilan dalam menuntut hak kemanusiaan mereka; mendapat pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pekerjaan ‘bermaruah’ dengan gaji manusiawi.

Apabila ada kisah anak tanpa dokumen yang dinafikan hak rawatan kesihatan, ada pula suara yang menyuruh bayarkan sahaja kos rawatan tersebut. Habis cerita. Ceritanya tidak habis begitu sahaja. Kebajikan yang dilakukan oleh orang perseorangan atau kumpulan kecil/besar, tidak akan menjamin keadilan untuk semua orang.

Kerja-kerja kebajikan biar sebesar mana pun, tidak akan dapat merangkumkan kesemua yang memerlukan, tidak akan dapat lari dari kecenderungan (bias). Cenderung kepada kumpulan yang dipilih untuk dibantu, cenderung kepada lokasi yang dapat diakses, cenderung kepada kebolehnampakan sesuatu masalah dan keperluan. Dengan adanya undang-undang yang menyebelahi masyarakat, semua golongan dilindungi dari ketidakadilan, tanpa perlu bergantung kepada kebajikan.

St Augustine sudah pun memberitahu kita lebih seribu tahun yang lalu “Charity is no substitute for justice withheld”. Kebajikan tidak boleh menggantikan keadilan yang disekat. Seringkali kerja kebajikan lebih terlihatkan apabila dilakukan oleh orang-orang kaya dan berkuasa. Orang-orang kaya menubuhkan yayasan bagi mengelakkan cukai, korporat melakukan CSR yang dikecualikan cukai oleh kerajaan. Ia membuka ruang kepada orang-orang kaya dan berkuasa menggunakan kekayaan mereka untuk mendapatkan kepentingan mereka sendiri dan bukan kepentingan umum. Aktiviti filantropi sebegini mempromosikan individu/korporat, tanpa mengeluarkan belanja dari poket mereka sendiri, tetapi dengan pelepasan cukai. Sekiranya cukai dibayar, kerajaan boleh menyediakan perkhidmatan sosial yang lebih menyeluruh kepada masyarakat. Amalan sebegini membuka jalan penindasan dengan menyekat masyarakat dari menerima keadilan.

‘Filantropi’ adalah pintu masuk kepada kekuasaan. Ia boleh menyebabkan penerima terjerat dengan keberhutangan kepada pemberi. Kata-kata “tangan yang di atas lebih mulia dari yang di bawah” mengagungkan pemberi dan meruntuhkan harga diri si penerima. Amalan filantropi sebegini menonjolkan lagi ketidaksamarataan. Filantropi memberi rasa ‘feel good’ kepada pemberi dan membuat penerima merasa ‘terhutang’, menjadikan pemberi lebih berkuasa ke atas penerima.

Bantuan, derma dan zakat yang disediakan menuntut pemohon menyediakan dokumen itu ini, mengisi berhelai-helai borang, berjumpa orang itu ini, mendapat sokongan dari sana-sini, menunggu untuk tempoh yang tidak pasti, menelefon bertanyakan status permohonan… Padahal mereka dalam keadaan terdesak, yang memerlukan bantuan segera. Mereka seolahnya mengemis, padahal menuntut hak yang sepatutnya mereka dapat.

Orang miskin tidak memerlukan kebajikan, tetapi keadilan. Mereka tidak sepatutnya menjadi miskin di dalam dunia yang dipenuhi orang-orang kaya dan berkuasa. Keperluan asas untuk menjamin peluang kepada orang miskin perlu dilaksanakan. Mereka boleh sahaja bermandiri jika dasar kerajaan melindungi hak mereka. Mereka tidak harus dipaksa untuk merasa bersyukur kepada ‘penyelamat’ mereka.

Begitupun, kerja kebajikan bukanlah semestinya dilakukan individu kaya, berkuasa dan berpengaruh sahaja, tetapi juga oleh orang-orang yang serius berjuang untuk memenuhi keperluan, orang yang sanggup menempuh masa-masa yang sukar, orang yang memutuskan untuk memberikan sebahagian besarnya pendapatan mereka yang kecil. Ini juga bukanlah satu perbuatan amal yang mampu menyelesaikan masalah yang mendasari orang miskin dan terpinggir, tetapi lebih kepada tindakan solidariti.

Agihan makanan dan tempat perlindungan sementara adalah tindakan segera untuk menangani kecemasan, untuk memastikan orang tidak kelaparan, atau terpaksa tinggal di tempat yang tidak selamat dan tidak layak dihuni. Tidak seorang pun, termasuk individu yang bertindak secara langsung dalam program tersebut, patut menganggap perkhidmatan ini sebagai penyelesaian kekal masalah tersebut.

Namun begitu, kelihatannya seolah-olah aktiviti agihan makanan dan food bank telah menjadi tindakbalas piawai untuk masalah kelaparan. Food bank tumbuh dengan meliar, di kawasan awam, di rumah-rumah ibadat, di universiti dan sekolah. Adalah ditakuti apabila amalan ini menjalar liar, masyarakat sivil merasakan inilah penyelesaian kepada masalah kelaparan dan melupakan keperluan untuk menuntut kepada gaji yang lebih manusiawi.

Rumah-rumah perlindungan yang disediakan oleh orang perseorangan atau perkumpulan, melalui crowd funding atau ditaja oleh badan korporat dan keagamaan, boleh sahaja menjadi alasan kepada kerajaan untuk tidak menunaikan hak perumahan mampu milik kepada masyarakat. Kita sedang menyaksikan program perumahan bersubsidi kini semakin berkurang kalaupun tidak terhapus secara total.

Adakah kita telah tiba kepada satu situasi di mana kerja amal ini telah menyebabkan pihak berwajib menjadi lalai dalam melaksanakan tanggungjawab memberi keadilan sosial kepada masyarakat?

Perlu juga kita bertanyakan tentang kesan sampingan kerja amal ini. Penting untuk mengetahui bagaimana kerja amal kita mungkin akan merencat perlaksanaan keadilan sosial kepada masyarakat. Padahal itulah tujuan utama kerja amal dilakukan. Kebaikan individu dan kumpulan kecil tidak boleh membantu menyelesaikan masalah yang mendasar. Keadilan sosial yang dikuatkuasakan oleh dasar-dasar kerajaan sahaja boleh memastikan kesejahteraan semua ahli masyarakat, yang mana tidak boleh dicapai dengan kerja kebajikan.

Kerja amal memang diperlukan, tetapi kerja amal yang terlalu panjang adalah memudaratkan. Kerja-kerja ini tidak sepatutnya memberi ilusi bahawa kebajikan adalah penyelesaiannya. Kerja amal tidak dapat memberikan penjagaan kepada semua yang memerlukannya. Kerja amal yang sangat baik, termasuk kerja sukarelawan yang mulia, tidak seharusnya menjadi cara untuk membiarkan pemerintah keluar dari memenuhi tanggungjawab mereka untuk membiayai dengan betul, dan mengambil tanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat.

Keadilan sosial mesti dilaksanakan tanpa ada kompromi. Kita patut bersedia untuk berkorban supaya ia dapat dicapai. Kerja yang kita lakukan sepatutnya menarik perhatian pihak berwajib tentang keadaan kemiskinan, dan bertindak terhadapnya. Kita mesti memberitahu pembuat dasar supaya masalah itu ditangani di peringkat negara, supaya semua ahli masyarakat mendapat manfaat keadilan melalui perlaksanaan undang-undang.

Kerja amal tidak akan menjadi kebajikan sebenar sehinggalah keadilan dilaksanakan. Hanya polisi sosial dan undang-undang yang memperkasakan golongan bawahan akan menjamin bahawa semua orang akan diberikan perlindungan asas, hak, dan kesejahteraan material. Kita perlu mengambil bahagian dalam advokasi perundangan, mengubah dasar atau amalan kerana menjamin keadilan untuk semua bukan merupakan satu pilihan tetapi satu tugas yang tidak boleh dielakkan untuk seluruh masyarakat.

Leave a Reply