Apa itu Jejak Karbon?

Apa itu Jejak Karbon?

­Oleh:  Nurhuda Manshoor

Setiap aktiviti manusia sentiasa mempunyai pengaruh terhadap alam sekitar, salah satunya ialah aktiviti yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau. Gas rumah hijau yang dibebaskan dari aktiviti inilah yang memerangkap haba yang masuk ke atmosfera bumi, menyebabkan berlakunya pemanasan global. Jumlah pelepasan gas rumah hijau akibat aktiviti manusia adalah apa yang disebut jejak karbon (carbon footprint). Jejak karbon ini penting untuk difahami supaya kita dapat mengetahui berapa banyak kesan yang ditimbulkan dari setiap aktiviti kita.

Konsep jejak karbon datangnya dari idea jejak ekologi, satu konsep yang mula diperkatakan pada awal tahun 1990an. Jejak ekologi adalah jumlah kawasan yang diperlukan untuk mengekalkan aktiviti atau populasi. Ia termasuk impak alam sekitar, seperti penggunaan air dan jumlah tanah yang digunakan untuk pengeluaran makanan. Perbezaannya, jejak karbon biasanya dinyatakan sebagai unit ukuran berat pengeluaran karbon dioksida (CO2) atau gas yang setara dengan CO2 dalam setahun.

Jejak karbon ialah jumlah pelepasan CO2 dari semua aktiviti manusia atau entiti lain (organisma, kenderaan, bangunan, kilang dll.). Ia termasuk pembakaran bahan api fosil dalam pembuatan, pemanasan dan pengangkutan, serta menghasilkan elektrik untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Di samping itu, pelepasan gas rumah hijau yang lain, seperti metana, nitrous oksida, atau klorofluorokarbon (CFC) juga dikira di dalam konsep jejak karbon ini.

Secara teknikalnya, jejak karbon adalah sumbangan setiap individu kepada pelepasan gas rumah hijau. Ini boleh dikira dengan berapa banyak karbon dioksida atau gas setara yang telah dibebaskan ke atmosfera akibat tindakan dalam kehidupan harian kita. Kita tidak akan tahu secara tepat, tetapi anggaran jejak karbon untuk setiap aktiviti yang kita lakukan boleh memberi idea dalam memilih aktiviti yang lebih sihat kepada alam sekitar.

Mempertimbang jejak karbon penting kerana kesan rumah hijau yang mengakibatkan pemanasan global mengganggu ekosistem bumi. Gangguan ekosistem membunuh spesies penting yang memainkan peranan dalam menjaga spesies lain dalam populasi tertentu. Ini mengakibatkan jangkitan, penyakit, dan berlebihan/kekurangan populasi di dalam spesies tertentu. Seterusnya ia boleh menyebabkan ketidaksuburan tanah, pencemaran air dan udara, serta kemarau dan banjir. Malah, akan sampai ke satu tahap di mana banyak negara tidak lagi boleh mengeluarkan makanan. Ini akan mewujudkan krisis ketidakcukupan makanan yang melibatkan berbilion manusia di dunia. Perkara ini telah pun mula berlaku dan perlu ditangani segera.

Jejak karbon ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu jejak karbon primer (primary carbon footprint) dan jejak karbon sekunder (secondary carbon footprint). Jejak karbon primer adalah jejak karbon yang dihasilkan daripada proses pembakaran langsung bahan bakar fosil, contohnya penggunaan kenderaan bermotor. Sedangkan jejak karbon sekunder, adalah jejak karbon yang dihasilkan dari proses kitaran produk yang digunakan, dari pembuatan sehingga penguraian. Satu contoh jejak karbon sekunder ini adalah produk yang digunakan atau dimakan setiap hari, lebih banyak produk diguna/dimakan, semakin besar jejak karbon.

Bagaimana kita dapat mengetahui jumlah jejak karbon dari kegiatan kita? Terdapat banyak kalkulator jejak karbon di internet. Contohnya di sini https://www.carbonfootprint.com/calculator.aspx . Secara umum, untuk mengira jejak karbon dari aktiviti individu atau isi rumah, aktiviti yang dikira termasuklah pengambilan makanan, aktiviti perjalanan dan penggunaan elektrik di rumah.

Bagi kegunaan isi rumah, secara amnya dikira dari berapa kWj elektrik digunakan dalam satu tahun. Bagaimanapun, jejak karbon untuk penggunaan elektrik isi rumah bergantung kepada jenis loji kuasa yang digunakan, sama ada menggunakan arang batu, bahan api berasaskan petroleum, nuklear, atau menggunakan tenaga boleh diperbaharui (solar, angin, geotermal atau elektrik hidro).

Pengambilan makanan juga dikira dari jenis produk makanan, kerana setiap produk menghasilkan jejak karbon yang berbeza. Contohnya daging menghasilkan jejak karbon yang tinggi berbanding sayuran. Ini adalah kerana penghasilan daging memerlukan proses yang panjang berbanding sayuran, dan setiap peringkat proses tersebut ada jejak karbon tersendiri. Lokasi penghasilan produk juga perlu diambil kira. Contohnya sayur yang diimport menghasilkan jejak karbon yang tinggi semasa proses pengangkutan.

Mari kita lihat bagaimana di dalam satu aktiviti sahaja boleh menghasilkan banyak jejak karbon.

Sebagai contoh, kita pergi ke kedai membeli buah-buahan, sayuran dan daging. Aktiviti memandu ke kedai membakar sejumlah bahan api, yang meninggalkan jejak karbon (banyak/sedikit bergantung kepada jenis bahan api yang digunakan). Kedai tersebut pula menggunakan tenaga elektrik, juga menyumbang kepada jejak karbon. Di samping itu, produk yang dijual di kedai tersebut semuanya dihantar di sana menggunakan pengangkutan. Jejak karbon di dalam proses pengangkutan adalah bergantung kepada jenis bahan api dan jarak perjalanan. Barangan di dalam kedai dibungkus dengan kertas atau plastik, di mana penghasilan kertas/plastik juga mempunyai jejak karbon tersendiri. Selain itu, buah-buahan, sayur-sayuran, dan daging yang dijual kedai semuanya ditanam atau dihasilkan di ladang. Ladang menggunakan jentera yang juga membakar bahan api. Bahan buangan hasil pertanian mereput menghasilkan metana, yang mempunyai kesan rumah kaca sebanyak 25 kali lebih besar daripada CO2.  Semua elemen tersebut apabila digabungkan akan memberi jumlah jejak karbon untuk aktiviti tersebut.

Apabila kita mengambil kira aktiviti yang menyumbang kepada jejak karbon, kita akan mudah untuk mengubahsuai aktiviti tersebut supaya jejak karbon boleh dikurangkan.

Mengambil contoh di atas, kita boleh berjalan kaki pergi ke kedai yang berdekatan dengan rumah. Boleh membuat pembelian di waktu siang dan memilih kedai yang tidak dibuka 24 jam. Pilih produk tempatan, yang dihasilkan pada jarak tertentu (boleh membuat pertimbangan sendiri, 20, 30 atau 50km radius) dari kawasan anda. Makan makanan mengikut musim di kawasan tempatan, makanan yang di luar musim perlu diimport dari kawasan lain. Pilih untuk tidak menggunakan pembungkus sekali guna, bawa beg atau bakul sendiri. Pilih produk yang dihasilkan oleh pekebun kecil, yang kurang/tidak menggunakan jentera berat. Di samping dapat mengurangkan jejak karbon, boleh juga membantu ekonomi pekebun. Jangan membeli makanan secara berlebihan. Makanan yang terbazir akan rosak dan dibuang serta mereput menghasilkan gas metana. Pilih untuk memakan ulam-ulaman atau masakan yang tidak mengambil masa yang lama, untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

Kita tidak akan boleh menghapuskan jejak karbon secara total, tetapi sedikit usaha kita mungkin memberi kesan yang besar kepada pengurangan gas rumah hijau. Di samping itu, aktiviti mengurangkan jejak karbon sebenarnya juga boleh menjimatkan perbelanjaan harian, tanpa mengurangkan kualiti hidup kita.

Sebelum kita melakukan sebarang aktiviti, fikirkan dahulu tentang jejak karbon aktiviti tersebut.

Leave a Reply