Apa Berlaku Kepada Manusia Klon?
Image by © Matthias Kulka/Corbis

Apa Berlaku Kepada Manusia Klon?

  • Post category:Sains

Oleh: Nur Huda

Pengklonan bukan lagi perkara baru yang dibicarakan pada hari ini. Idea ini telah wujud lama sebelum pengklonan sebenar berjaya dilakukan. Ia bermula pada tahun 1938 apabila Hans Spemann, seorang  saintis dari Jerman mencadangkan satu ujikaji yang dinamakan “fantastical experiment”. Dalam ujikaji ini, nukleus dalam satu sel dikeluarkan dan digantikan dengan nukleus yang diambil dari sel lain. Inilah asas kepada teknik pengklonan.

Pengklonan ialah kaedah menghasilkan bayi yang mempunyai maklumat genetik yang sama dengan ibu atau bapanya atau seseorang yang lain. Telur dari ibu diambil dan dikeluarkan nukleusnya -yang mengandungi DNA/genetik ibu. Kemudian nukleus dari sel orang yang ingin diklon diambil dan dimasukkan ke dalam sel telur tersebut. Telur tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam rahim ibu dan diberi rangsangan supaya membahagi. Pembahagian sel telur ini akan menghasilkan embrio, seterusnya menjadi fetus dan akhirnya dilahirkan sebagai bayi manusia.

Credit FLHS_annief @twitter.com

Pengklonan bukanlah perbuatan manusia yang berlawanan dengan fitrah atau mengubah ciptaan tuhan. Ia boleh saja berlaku secara semula jadi dan telahpun berlaku berzaman-zaman lamanya. Filem dan televisyen, bagaimanapun, men’dramatik’kan perkara ini secara berlebihan sehingga ia kelihatannya seolah-olah satu fenomena rumit (ada kalanya seakan mistik) yang akan mengganggu gugat kehidupan normal manusia. Pengklonan digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan dan kita perlu berwaspada kerana ia boleh menghancurkan tamadun manusia dan memusnahkan kemanusiaan.

Seringkali dalam filem dan TV, apabila seseorang diklon, klonnya adalah pendua yang tepat kepada dirinya. Setiap inci tubuhnya, setiap liang, bonggol, bintik, kedut adalah serupa dengan klon asal. Jika kita menonton Star Wars: Attack of the Clones, tenteranya memiliki paras dan sifat yang sama. Kita tidak boleh membezakan seorang askar dengan yang lain, kerana mereka mempunyai DNA yang sama. Di dalam dunia sebenar, sepasang kembar seiras berkongsi DNA (genetic) yang sama. Tetapi mereka tidaklah 100% serupa, tetap boleh dibezakan. Ini kerana genetik hanyalah sebahagian daripada ciri yang menentukan rupa paras dan bentuk fizikal seseorang. Terdapat ciri-ciri lain yang menyumbang kepada pembinaan fizikal seseorang, seperti pemakanan, aktiviti fizikal, sikap dan pilihan untuk berekspresi.

Credit creation.com

Klon juga digambarkan memiliki pemikiran, bakat artistik, kebolehan kognitif dan sikap yang sama. Dalam filem The Boys From Brazil, Nazi mengklon Adolf Hitler. Filem ini menggambarkan seorang pemimpin paling berpengaruh, paling besar, paling jahat dan paling segala yang tidak baik dihidupkan semula. Bagaimanapun umum mengetahui bahawa personaliti dan pencapaian Hitler banyak dipengaruhi oleh zaman kanak-kanaknya, persekitaran politik pada waktu itu dan pendidikan yang diterima olehnya. Menduplikasi genetic sahaja tidak boleh melahirkan seorang lagi Hitler.

Apabila terdapat anggapan bahawa ciri fizikal dan personaliti klon menyerupai manusia asal, klon manusia dianggarkan tidak ada kebebasan berfikir, menilai dan berekspresi. Tanggapan ini memberi asas kepada kepercayaan bahawa satu bala tentera boleh ditubuhkan secara klon. Pilih sahaja seorang general tentera yang paling handal dan bengis, ambil DNA dan ciptakan beribu-ribu klon dirinya. Terdapat banyak teori konspirasi tentang perkara ini. Filem Judge Dredd dan Attack of the Clones memaparkan fenomena ini. Dalam filem ini, semua askarnya patuh dan menurut arahan penciptanya. Dalam dunia realiti, mencipta beribu klon adalah sama seperti menghasilkan ribuan adik-beradik kembar. Setiap seorang dari mereka akan ada perangai dan fe’el masing-masing. Juga tidak semestinya patuh kepada arahan ibu bapa mereka.

Antara kepercayaan tentang klon ini ialah tentang penciptaan manusia sempurna. Secara teorinya, jika DNA yang dikeluarkan itu diubahsuai dengan membuang ciri-ciri negatif dan ditambahkan ciri positif sebelum dimasukkan ke dalam telur yang baru, manusia sempurna boleh dihasilkan. Dalam filem Twins, DNA dari enam lelaki dari pelbagai bidang professional telah dicampurkan untuk menghasilkan anak pintar yang memiliki pelbagai kemahiran. Dalam G.I. Joe, saintis COBRA menggabungkan DNA Napoleon, Julius Caesar, Hannibal dan Attilia the Hun untuk melahirkan Serpentor yang bijak, bengis dan gagah. Malangnya reality tidak seindah teori. Tidak ada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan kebijaksanaan adalah faktor genetik. Kita mungkin pernah melihat anak seorang professor pintar dalam akademiknya, atau anak seorang usahawan berjaya menjadi kaya. Ia seolahnya diturunkan secara genetik, tetapi pertimbangkan juga persekitaran dan peluang yang mereka ada berbanding anak-anak lain.

Filem seperti Alien: Resurrection, The Island dan The 6th Day menunjukkan bahawa klon boleh mempunyai memori yang dimiliki oleh manusia asal. Ini bermakna klon mendapatkan memori dan kebolehan secara automatik. Tanpa perlu menghadiri kelas dan latihan, klon boleh berbahasa Inggeris, Sepanyol atau Perancis, memandu kereta, menunggung motorsikal, berlawan, bersilat, berkungfu dan sebagainya. Hakikatnya tidak ada satu pun penemuan sains yang membuktikan organisma hidup boleh menyimpan memori dan pengalaman mereka di dalam kod genetik untuk membolehkan diperturunkan kepada anak-anak. Semua memori disimpan di dalam otak, bukan DNA.

Ada teori konspirasi yang mengatakan bahawa negara kuasa besar menghasilkan ratusan ribu tentera hasil teknologi klon. Jika benar, kerisauan terhadap penggunaan teknologi klon ini memang ada asas yang kukuh. Persoalannya, bagaimana puluhan malahan ratusan ribu individu klon ini hendak dihasilkan? Banyak filem menunjukkan klon tiba-tiba bangun dari pembaringan di dalam makmal. Tidak diketahui bagaimana tulang, otot dan seluruh tubuh serta organnya dibina. Filem The 6th day menunjukkan tubuh Adam seolah dicetak dari maklumat DNAnya. Dalam filem Matrix, rahim buatan (artificial womb) digunakan untuk menempatkan fetus dan menyokong perkembangannya. Ini lebih logik, cuma tidak diketahui bagaimana rahim ini di buat, walaupun ia tidaklah mustahil. Realitinya, setiap telur yang diklon perlu dimasukkan ke dalam rahim ibu untuk hidup dan berkembang menjadi manusia. Jika kita hendak menghasilkan beratus ribu tentera kita juga perlu beratus ribu perempuan untuk mengandung dan melahirkan mereka.

Credit: lifenews.com

Jika manusia boleh diklon sepertimana dalam filem, bolehlah kita mencipta manusia mengikut keperluan. Negara boleh mengklon beribu-ribu Sylvester Stallone untuk dihantar berperang di dalam hutan. Ladang-ladang dan kilang boleh mengklon pekerjanya yang paling rajin, kuat dan sihat untuk berkerja. Ahli politik boleh mengklon pengikutnya supaya taat, patuh dan menurut arahan, seberapa ramai yang mereka mahu. Saya juga ingin mengklon diri sendiri untuk melakukan kerja-kerja pejabat, kerja rumah dan aktiviti sosial sementara saya berehat di rumah menonton sinetron.

Kesimpulannya, klon manusia tidak lebih dari menghasilkan seorang kembar kepada manusia lain. Kembar ini memiliki kod genetik yang sama dengan manusia asal, itu sahaja. Dia boleh mempunyai hobi berlainan, pengalaman dan memori berbeza serta perasaan, sentimen dan sensitiviti tersendiri. Kembar ini juga boleh jadi berlainan umur. Ini kerana DNA yang diambil perlu dimasukkan ke dalam telur, perlu dimengandungkan dahulu dan kemudiannya dilahirkan dan dibesarkan. Jadi jika anda ingin mengklon diri sendiri untuk mendapatkan rakan sebaya yang sekepala dan sehati sejiwa, lupakan saja.

Leave a Reply