Ang Swee Chai – Dari Penyokong Israel Kepada Aktivis Palestin

Ang Swee Chai – Dari Penyokong Israel Kepada Aktivis Palestin

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Atuk kepada Ang Swee Chai merupakan seorang yang konservatif dan tradisionalis, baginya perempuan tidak wajar mendapat pendidikan kerana ia akan menjadikan wanita isteri yang tidak baik. Tetapi ibu Ang berdegil dan mendaftarkan diri sendiri ke sekolah, ibunya kemudian menjadi guru. Ayah Ang melarikan diri dari atuknya di tanah besar China, kerana tidak mahu berkahwin dengan wanita pilihan atuknya, ayahnya menjadi wartawan di Singapura. Semasa penjajahan Jepun ke atas Malaya, ibu dan ayahnya ditangkap kerana menentang penjajahan dan mereka bertemu di penjara Outram Road di Singapura.

Selepas dibebaskan, mereka mendirikan keluarga. Ibunya balik ke kampung keluarganya di Pulau Pinang untuk melahirkannya. Ang membesar di Ayer Itam, Pulau Pinang bersama adik lelakinya Lee Cyn sebelum keluarganya berpindah semula ke Singapura mengikut ayahnya yang bekerja. Dibesarkan dalam keluarga yang susah, ibunya mendidiknya dengan penuh disiplin, beliau kemudian memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan. Ang kemudian berkahwin dengan seorang peguam dan aktivis, Francis Khoo. Francis dituduh kerajaan sebagai komunis dan pada tahun 1977 mereka meninggalkan Singapura dan berlindung di Britain bagi mengelakkan diri dari ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ibu dan ayah Ang tidak mempunyai agama, tetapi mereka membenarkan anak-anak mereka memilih agama mengikut kefahaman mereka. Ang memeluk agama Kristian semasa menuntut dalam bidang perubatan.

Ang menceritakan bagaimana beliau sememangnya arif berkenaan Israel. Pihak gereja mengajarnya bahawa anak-anak Israel merupakan manusia pilihan tuhan, dan pengumpulan orang Yahudi ke Israel merupakan satu kebenaran pengkhabaran dari kitab mereka. Ada pelbagai sebab beliau menyokong Israel, antaranya kerana Yahudi dibunuh oleh tentera Nazi, Nazi merupakan sekutu Jepun semasa perang dunia. Dengan adanya negara Israel yang mampu mempertahan diri, ia adalah realisasi keadilan dari tuhan.

Beliau juga menceritakan sikap prejudis beliau pada awalnya terhadap bangsa Palestin, gereja Kristian memberitahunya bahawa orang-orang Palestin merupakan teroris dan Philistines seperti yang ditulis sebagai musuh dalam Old Testament. Pandangannya mula berubah ketika melihat berita penjajahan Israel dan pengeboman rakyat awam di Lubnan pada tahun 1982. Tidak tahan melihat kekejaman Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak, beliau meletakkan jawatan di hospital di Britain, menjadi sukarelawan pakar bedah, dan berangkat ke Beirut.

Di Beirut, Dr. Ang Swee Chai berkhidmat di Hospital Gaza. Pelarian Palestin menamakan hospital mereka sempena nama-nama bandar mereka di Palestin, tanda rindu dan pertalian mereka dengan tanah mereka yang dijajah. Kebanyakan penduduk di sekitar kem pelarian di sana merupakan pelarian yang dihalau dari rumah mereka semasa penjajahan Israel ke atas Palestin pada tahun 1948. Berdekatan dengan Hospital Gaza adalah Kem Pelarian Sabra dan Shatila. Melalui pengalamannya, Dr. Ang kagum dengan kebaikan warga Palestin kepadanya sebagai tetamu, beliau juga kagum dengan ketahanan, daya juang, dan kesabaran warga Palestin dalam menghadapi penjajahan Israel.

Sebelum pembunuhan beramai-ramai di Kem Sabra dan Shatila berlaku, pejuang pembebasan Palestin (PLO) berundur dari Beirut sebagaimana yang dipersetujui melalui perjanjian damai. Dr. Ang ketika itu menulis “ini merupakan kali pertama saya sedar bahawa pejuang PLO (yang beliau anggap sebagai teroris pada mulanya) mempunyai rumah dan keluarga di Lubnan, mereka berundur meninggalkan isteri, anak, adik-beradik, dan ibubapa mereka”. Warga Palestin menyerahkan semua senjata-senjata mereka. Jalan-jalan dibersihkan dari sekatan. Pada 14 September 1982 bekalan air dan elektrik dipulihkan semula. Mereka percaya dengan janji Amerika Syarikat dan negara-negara besar bahawa mereka akan selamat dan dapat hidup dengan aman. Namun kem pelarian mereka kemudian dikepung, dan militia yang dikoordinasi Israel masuk dan membunuh orang-orang awam dengan kejam, ketika itu baru Dr. Ang sedar, dan berharap PLO tidak berundur supaya dapat mempertahankan keluarga mereka. Peristiwa ini direkodkan oleh Dr. Ang dalam memoir beliau ‘From Beirut to Jerusalem’ yang diterbitkan pada kali pertama oleh Grafton Books & Times Book International pada tahun 1989.

Membaca memoir Dr. Ang membuatkan emosi terganggu. Pelbagai perasaan hadir; sedih, marah, kecewa, segalanya datang meruntun jiwa, baru mukasurat ke-70 sudah habis air mata berderai. Pelbagai kisah menyayat hati diceritakan semula, berkenaan sebuah bangsa yang dihalau dari tanah mereka oleh Israel pada 1948 dan menjadi pelarian di Lubnan, namun apabila menjadi pelarian mereka tetap dibunuh apabila Israel menyerang Lubnan pada tahun 1982. Dr. Ang bertanya, ke mana lagi mereka patut pergi?

Beliau menceritakan bagaimana semasa pembunuhan berlaku, ada seorang wanita dan kanak-kanak dibawa ke hospital, wanita tersebut cedera ditembak di perut. Selepas pembedahan dia perlukan transfusi darah. Dia terdengar jururawat memberitahu doktor beg darah yang diberikan kepadanya adalah yang terakhir, manakala anak tersebut turut perlukan transfusi jenis darah yang sama. Wanita tersebut tidak mahu beg darah tersebut supaya dapat diberikan pada anak kecil itu, dia meminta ubat tahan sakit untuk menahan sakit. Tidak lama selepas itu, wanita tersebut mati.

Beliau juga menceritakan kisah seorang budak bernama Mahmoud, yang merupakan pesakit Dr. Ang yang cedera pergelangan tangan ketika membantu ayahnya membina rumah sebelum kejadian pembunuhan. Semasa Dr. Ang berjalan di kem selepas kejadian pembunuhan, Mahmoud datang dan memeluk beliau, dia sangat gembira melihat Dr. Ang masih hidup. Kemudian, ramai kanak-kanak datang mengelilingi beliau, mereka ternampak kamera dan menyuruh gambar mereka ditangkap bagi ditunjukkan kepada dunia. Walaupun rumah mereka telah musnah, ibu ayah mereka telah dibunuh, mereka masih lagi mampu tersenyum dan mengangkat tangan dengan simbol kemenangan. Ketabahan mereka mengagumkan.

Beliau kemudian menjadi co-founder organisasi Medical Aid for Palestinians (MAP) dan merupakan aktivis Palestin yang sering diundang berucap di perhimpunan menuntut kebebasan Palestin. Pengalaman beliau berkhidmat di Lubnan membantu pelarian Palestin mengubah hidupnya selama-lamanya, menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra-Shatila menjadikan beliau insan yang tidak sekali-kali akan menyerah kalah terhadap kezaliman dan penindasan. Dalam suratnya kepada suaminya Francis Khoo, Ang menulis “Kita hanya dua insan kerdil dalam sejarah pembebasan ini. Aku sudah melihat wajah kematian, aku telah melihat kuasa dan kehodohannya, tetapi aku juga melihat jauh ke dalam matanya, dan di situ ada ketakutan. Anak-anak kita generasi baru akan tiba, dan mereka tidak takut”.

This Post Has 2 Comments

  1. Man

    Mana nak cari buku ni

    1. Syed Ahmad Fathi

      Saya beli buku beliau di Kedai buku IPSI di alamat No 197, Jalan Argyll, 10050 George Town, Pulau Pinang. Koordinat: 5.422343, 100.328831

Leave a Reply